Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 9, 2014

LEBIH LIMA HARI TIDAK HUJAN




Kuantan - Musim kering ketika ini mengakibatkan cuaca panas dan peningkatan bacaan suhu maksimum di beberapa daerah meningkat kepada lebih 30 darjah Celsius daripada musim sebelum ini.

Jabatan Meteorologi melalui laman webnya mencatatkan suhu maksimum di Temerloh iaitu 35.4 darjah Celsius manakala Kuantan dan Muadzam Shah masing-masing 32.3 darjah Celsius dan 34.1 darjah Celsius.

Beberapa daerah lain iaitu Bentong, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin tidak menerima hujan selama lebih lima hari dan Jabatan itu juga meramalkan tiada hujan sepanjang minggu ini bermula semalam.

Keadaan cuaca kering turut mengakibatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di beberapa stesen berubah tetapi tidak melebihi tahap sederhana.

Sehingga jam 5 petang semalam, IPU di Balok Baru dicatatkan 89 dan masih dalam tahap sederhana manakala di Indera Mahkota dan Jerantut masing-masing 52 dan 35 iaitu pada paras baik.

Menurut kenyataan melalui laman web itu juga, tinjauan keadaan cuaca kering yang alami di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka akan menjadi sedikit lembap menjelang April 2014.

Bagaimanapun, taburan hujan dijangka pada paras purata sepanjang tempoh ramalan kecuali di kawasan Barat Sarawak dijangkakan mengalami keadaan lebih kering.

Kenyataan itu turut memaklumkan pada fasa pertengahan Monsun Timur Laut dan kebanyakan tempat telah mengalami keadaan cuaca kering. Faktor penyumbang keadaan kering ini adalah disebabkan atmosfera yang stabil, dan dalam masa yang sama menyebabkan pembentukan awan yang sedikit.

Di Semenanjung, dijangkakan seluruh kawasan menerima taburan hujan pada paras purata dengan jumlah hujan antara 100 mm hingga 300 mm sepanjang tempoh ramalan.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sepanjang jalan utama di beberapa kawasan di bandar Kuantan mendapati banyak pokok kering dan tanah merekah serta kesan kebakaran hutan.

Antara kawasan yang masih menunjukkan sisa kebakaran dan asap ialah Jalan Kuantan Pekan manakala kesan kebakaran sepanjang Jalan Beserah menuju Balok pula hanya terdapat kesan kering.

Selain itu, cuaca kering menyebabkan keadaan padang di Taman Gelora terpaksa disembur air bagi membolehkan latihan bagi pemain bola sepak diteruskan.

0 comments:

share2