Raub - Perancangan pembinaan kereta kabel dari Bukit Fraser ke bandar Raub bakal dilaksanakan kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, sebuah syarikat tempatan telah dilantik bagi membuat kajian supaya projek tersebut dapat dilaksanakan segera.
Menurutnya, Bukit Fraser merupakan salah satu pusat pelancongan yang tersohor. Apabila projek bernilai jutaan ringgit itu dilaksanakan nanti, ia secara tidak langsung akan meningkatkan pembangunan daerah ini dan sekali gus dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke destinasi ini.
“Bukit Fraser semakin menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana pelbagai kemudahan infrastruktur tambahan bernilai jutaan ringgit telah ditingkatkan dalam usaha menambah lagi pembangunan dan prasarana di sana,” katanya.
Tambahnya, lebih 15,000 pelancong mengunjungi Bukit Fraser setiap bulan dan bilangan tersebut dijangka akan terus bertambah lagi apabila projek dijalankan kerajaan termasuk pembinaan kereta kabel siap mengikut jadual.
“Dengan adanya projek kereta kabel yang merupakan kereta kabel kedua negeri ini selain di Genting Highlands akan menambah lagi peluang perniagaan kepada peniaga dan usahawan kecil Raub,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggesa Majlis Daerah Raub supaya membina lebih banyak ruang perniagaan di daerah itu bagi menampung kekurangan tempat dan kawasan perniagaan untuk peniaga menjalankan perniagaan.
“Pembinaan ruang dan kawasan perniagaan tersebut bukan sahaja akan dapat menempatkan para peniaga di dalam satu kawasan tersusun yang lengkap pelbagai kemudahan, malah dapat mengindahkan lagi bandar Raub,” katanya.
0 comments:
Post a Comment