MALAYSIA akan bertemu Australia pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-23 buat kali kedua berturut-turut di Stadium Sultan Azlan Shah di sini, esok.
Walaupun kalah 6-2 kepada Australia pada aksi akhir pusingan awal di sini, semalam, Malaysia menempah slot final dengan perbezaan jaringan berbanding juara Asia, Korea Selatan.
Australia menamatkan kempen pusingan awal dengan rekod bersih dalam lima perlawanan untuk mengumpul 15 mata manakala Malaysia dan Korea Selatan berkongsi 10 mata.
Sebelum aksi akhir perlawanan pusingan hari ini, Korea Selatan perlu menang ke atas Afrika Selatan dengan sekurang-kurang lapan gol untuk memintas Malaysia.
Bagaimanapun, Korea Selatan hanya mampu mengalahkan Afrika Selatan 5-2.
Keputusan tersebut meletakkan Malaysia di tangga kedua manakala Korea Selatan kecewa dengan kedudukan tangga ketiga, sekali gus terlepas peluang ke final.
Pada final tahun lepas, Australia menewaskan Malaysia 3-2 untuk merangkul kejuaraan buat kali ketujuh.
Dalam pada itu, Malaysia terpaksa akur dengan kecemerlangan skuad Australia apabila tunduk 6-2.
Bagaimanapun, jurulatih negara Muhammad Dharmaraj Abdullah bangga dengan prestasi anak buahnya yang berjaya memecahkan kekebalan benteng pertahanan Australia untuk menjaringkan dua menerusi Faizal Saari pada minit ke-61 dan 70.
Australia, yang melakukan persiapan ke Piala Dunia di The Hague, Belanda, Mei ini, hanya melakukan satu jaringan menerusi Nicholas Budgeon pada minit ke-17 untuk mendahului 1-0 pada babak pertama.
Bagaimanapun, Australia, dengan ranking nombor satu dunia berbanding Malaysia di ranking ke-13, melancarkan serangan bertali arus pada babak kedua untuk menghasilkan lima lagi gol.
Chris Ciriello menjaringkan dua gol pada minit ke-38 dan 59, Russell Ford (42'), Daniel Beale (43') dan Jeremy Hayward pada minit ke-46.
Dalam pada itu, Afrika Selatan memberi kejutan awal apabila mendahului Korea Selatan 1-0 pada minit ke-18 menerusi jaringan Ignatius Malgraff.
Bagaimanapun, Korea Selatan bangkit semula untuk menyamakan kedudukan menerusi Jung Man Jae pada minit ke-22 sebelum mendahului kedudukan empat minit kemudian menerusi jaringan Kang Moon Kweon.
Pada babak kedua perlawanan, Korea Selatan bekerja keras untuk menjaringkan banyak gol bagi menyingkirkan Malaysia namun hanya mampu menghasilkan tiga lagi gol menerusi jaringan Hyun Hye Sung pada minit ke-42, Kang Moon Kyu (68') dan Jang Jong Hyun pada minit ke-70.
Afrika Selatan, yang tercorot dalam tangga kedudukan enam pasukan itu, merapatkan jurang jaringan menerusi Brandon Panther pada minit ke-69.
0 comments:
Post a Comment