Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 16, 2014

TIDAK PERNAH LANTIK WAKIL KUTIP DERMA TAHFIZ BUKIT RANGIN




KUANTAN - “Saya tidak pernah melantik wakil mengutip derma untuk maahad tahfiz,” kata pengasas Maahad Tahfiz Muhammadi Bukit Rangin, Tengku Muhammad Tengku Jaafar, 69 selepas menerima panggilan daripada beberapa penderma.

Katanya, penderma mendakwa, individu itu menyamar sebagai wakil Maahad Tahfiz berkenaan dan memaklumkan berita kebakaran disiarkan dalam Sinar Harian.

Menurutnya, beberapa penderma terbabit menghubunginya pagi semalam dan memaklumkan didatangi ‘wakil’ maahad itu dan meminta mereka memberi derma atau memasukkan ke dalam akuan bank yang diberikan.

“Saya menerima panggilan dari Kuala Lumpur yang bertanyakan mengenai wakil yang saya lantik dan mereka nyaris tertipu membabitkan wang berjumlah RM2,000 ” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, atas nasihat rakan-rakan, pihaknya akan membuat laporan polis dan menunaikan solat Hajat supaya memberi petunjuk kepada mereka yang berniat jahat mengaut keuntungan di atas musibah yang berlaku ke atas anak yatim dan miskin itu.

Tengku Muhammad memberitahu, pihaknya tidak pernah membabitkan orang ramai mengenai masalah yang berlaku di maahad itu, sebaliknya cuba mengatasinya bersama-sama pengurusan.

“Jika ada yang ragu-ragu dengan sebarang aduan atau wakil pengutip derma membabitkan maahad ini, boleh terus hubungi saya,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan kejadian kebakaran membabitkan satu blok bangunan yang menempatkan asrama, surau dan bilik bacaan di maahad tahfiz berkenaan.

Bagaimanapun, Tengku Muhammad berkata, buat sementara waktu, kantin menjadi tempat pengajian kepada kesemua 17 pelajar terbabit walaupun menerima banyak tawaran penempatan.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada ramai yang menawarkan tempat untuk pelajar tetapi kami membuat keputusan untuk terus tinggal dan belajar di sini kerana masih ada tempat sesuai,” katanya.

Beliau mengakui, selepas musibah itu, banyak derma yang diterima dan semua itu akan digunakan untuk kebaikan pendidikan pelajar selain memanjangkannya kepada maahad tahfiz yang bakal dibuka di Raub dan Negeri Sembilan.

Dalam kejadian kebakaran kelmarin, kesemua pelajarnya tinggal sehelai sepinggang manakala kemudahan harian dan pelajaran mereka turut hangus.

Awal Disember tahun lalu, maahad berkenaan terjejas teruk selepas semua kelengkapan musnah ditenggelami banjir.

Kejadian malang itu turut menarik simpati Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang berkenan melawat dan memberi sumbangan selain akan memanjangkan masalah itu kepada ayahanda dan kekandanya, Tengku Abdullah.


Sumber : Sinar Harian

0 comments:

share2