Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 13, 2014

TEKANAN, GAYA HIDUP DAN POLITIK PUNCA RASUAH


HARAPKAN pegar, pegar makan padi!

Perumpamaan ini sesuai ditujukan kepada pihak yang diamanahkan untuk menjalankan tugas sebaik mungkin sebagai penguat kuasa tetapi hakikatnya menjadi dalang ke atas kes-kes jenayah yang dilaporkan oleh media massa sejak akhir-akhir ini.

Dilaporkan juga mereka ini menerima habuan besar berbentuk wang tunai bagi melepaskan kegiatan jenayah. Apa sudah jadi dengan penguat kuasa yang tidak putus-putus terlibat dengan kegiatan rasuah?

Sedangkan kajian-kajian akademik menunjukkan rasuah menyebabkan ketidakcekapkan ekonomi dan meningkatkan kadar kemiskinan sesebuah negara serta memberi kesan negatif ke atas inovasi keusahawanan dan pelaburan. Maka, kita wajib hindarkan agar rakyat dapat menikmati kesejahteraan ke atas kemakmuran ekonomi negara.

Walaubagaimanapun, sebelum kita bercakap mengenai cara menanganinya, terlebih dahulu kita perlu melihat faktor-faktor berlakunya rasuah. Mana mungkin kita boleh menanganinya tanpa mengetahui faktor-faktor berlakunya rasuah di Malaysia.

Alhamdulillah, saya bersama-sama rakan-rakan penyelidik lain iaitu, Zaleha Othman dan Fathilatul Zakimi telah berjaya menyiapkan satu kajian berkenaan dengan rasuah. Hasil dapatan kajian menunjukkan beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya kes-kes rasuah di Malaysia.

Umumnya, rasuah boleh terbahagi kepada dua kategori iaitu sama ada secara kecil-kecilan dan melibatkan orang bawahan atau secara besar-besaran melibatkan pihak atasan yang mempunyai kuasa. Tiga faktor utama berlakunya rasuah adakah faktor ekonomi, faktor moral dan faktor politik.

Faktor ekonomi pula terbahagi kepada dua iaitu tekanan kewangan dan tekanan semasa dek kerana kehidupan moden. Tekanan kewangan ini lebih kerana pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi walhal banyak komitmen perlu dilangsaikan setiap bulan. Maka, akhirnya rasuah diambil oleh mereka yang mengalami tekanan kewangan.

Tekanan semasa melibatkan cara hidup rakyat Malaysia yang sekarang ini kelihatan ke arah materialistik. Sebagai contoh, kejayaan masyarakat moden Malaysia kini lebih diukur dalam bentuk materialistik seperti mempunyai wang yang banyak, kereta mewah dan rumah yang besar.

Apabila seseorang memandu dengan kereta kecil berkuasa rendah, mereka ini disindir oleh orang yang memandu kereta mewah. Ini sedikit sebanyak menggambarkan betapa kehidupan rakyat Malaysia sudah jauh berubah ke arah materialistik. Tanpa kekayaan materialistik seseorang itu dianggap gagal dalam hidup. Maka, ia secara tidak langsung mendorong seseorang itu terlibat dengan rasuah kerana tanpa rasuah mereka tidak mampu menjalani kehidupan berasaskan materialistik tadi.

Faktor kedua lebih ke arah faktor moral. Ia juga terbahagi kepada dua iaitu “pencemaran" moral dan lemah dalam pegangan agama. “Pencemaran" moral ini bermaksud, si perasuah itu bersifat pentingkan diri sendiri dan juga tamak haloba. Apabila tidak menghiraukan hak orang lain dengan mengambil hak orang lain, maka ia sanggup melakukan rasuah. Sifat individualistik ini juga menggambarkan seseorang itu berasakan diri sendiri sahaja yang betul, maka apa sahaja yang dilakukannya bertujuan untuk manfaat diri sendiri.

Kita boleh lihat senario semasa yang kelihatan jelas sifat individualistik dijaja oleh segelintir pihak berkiblatkan pemikiran barat yang songsang lagi bercelaru. Apabila kecelaruan ini ditanamkan dalam jiwa, maka, seseorang itu tidak peduli orang lain dan sanggup melakukan kegiatan rasuah.

Sifat tamak juga boleh dikenalpasti sebagai faktor berlakunya rasuah. Si perasuah bukannya tidak cukup makan atau tidak mampu membeli barangan keperluan asas tetapi kerana terlalu tamak, jumlah banyak macam mana pun masih tidak cukup. Sifat tidak bersyukur dengan apa yang ada menyebabkan mereka ini tamak. Kalau orang lain rumahnya setingkat, mereka ini mahu rumah mereka bertingkat-tingkat. Harta mereka pula kalau boleh bukan setakat di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain.

Faktor ketiga yang tidak kurang pentingnya melibatkan faktor politik. Terbahagi kepada tiga iaitu, pengaruh, dana kewangan dan “imuniti". Ini kerana politik mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan rakyat Malaysia. Misalnya, sejak lima tahun lalu, kehidupan rakyat Malaysia dibelenggu dengan kisah-kisah politik sahaja. Boleh dikatakan tiap-tiap hari. Bagi mereka yang mempunyai pengaruh politik, ia diandaikan mempunyai kehebatan tersendiri sampaikan berasakan diri sendiri boleh menggunakan pengaruhnya dalam gejala rasuah.

Selain pengaruh, dana kewangan yang diberikan oleh syarikat-syarikat korporat kepada parti-parti politik tidak wajib diisytiharkan. Apabila adanya ruang ini tidak mustahil akan berlakunya politik-bisnes yang akhirnya terjebak dengan gejala rasuah. Dana-dana ini sewajarnya diaudit supaya tidak berlakunya dana yang tidak diketahui puncanya.

Yang terakhir melibatkan faktor politik ialah berkenaan “imuniti". Apabila seseorang itu mempunyai hubungan dengan seseorang yang mempunyai pengaruh politik yang kuat, maka ia berasakan dirinya mempunyai “imuniti" daripada dikenakan tindakan undang-undang. Maka, jenayah rasuah yang dilakukannya dianggap “imun" daripada sebarang tindakan.

Ada beberapa lagi faktor lain yang tidak dikupas dalam artikel ini iaitu faktor sosial, kuasa, sistem dan proses, tingkah laku manusia, persekitaran dan kompetensi. Insya-Allah, jika berkesempatan saya akan mengupasnya di dalam artikel akan datang.

Laporan kajian ini, Insya-Allah, akan dibentangkan kepada pihak-pihak berkenaan bagi memberi manfaat dalam menangani rasuah, seterusnya meningkatkan kemampanan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

1 comments:

  • Anonymous says:
    January 14, 2014 at 5:42 AM

    Kuantan terlalu kerap banjir, kerajaan tak terfikirkah utk tukar pentadbiran negeri/ibu negeri? Terlalu sukar setiap kali bencana dan mengganggu banyak urusan. Mungkin dipindahkan ke kawasan lebih strategik seperti Temerloh, selain kedudukan di tengah2, ia memudahkan urusan seluruh masyarakat negeri Pahang. cadangan adalah di kawasan sekitar bypass Temerloh-Mentakab, setakat ini ia bebas banjir. fikir-fikirkan..

share2