Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 15, 2014

BUKAN SEMUA PERKARA RAKYAT DAPAT BERJIMAT


KELMARIN, apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menegaskan tiada lagi amaran akan diberikan kepada peniaga-peniaga yang dikesan menaikkan harga barangan, ramai yang mahu agar penegasan ini bukan sekadar cakap-cakap yang mungkin boleh jadi satu lagi amaran.

Dalam keadaan pengguna atau rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana kini bergelut dengan isu kenaikan harga barangan, amalan biasa sebelum ini iaitu memberi amaran demi amaran sepatutnya sudah tidak perlu lagi.

Ini kerana ia hanya mengundang rasa marah orang ramai. Mereka mahu kementerian yang bertanggungjawab dalam menangani isu harga ini segera bertindak. Tidak perlulah tunggu-tunggu lagi.

Memberi amaran terakhir atau amaran keras sudah tidak boleh diterima lagi. Lebih-lebih lagi dalam berhadapan dengan kedegilan peniaga-peniaga yang tetap mengambil kesempatan dengan kenaikan harga petrol, gula, tarif elektrik, ais dan lain-lain untuk menaikkan harga barangan atau makanan yang mereka jual.

Kementerian ini sewajarnya bersiap sedia dengan penguatkuasaan kerana apa saja barangan yang diumumkan naik pasti dikatakan memberi kesan kepada peniaga-peniaga yang mahu meraih untung berlebihan ini dengan kenaikan harga berganda, yang tidak masuk akal.

Inilah cabaran besar yang perlu dihadapi kementerian ini yang setiap tindakan atau kenyataan yang dikeluarkan pasti menjadi perhatian ramai. Bukan mereka mahu mencari kelemahan dan kesilapan, hakikatnya orang ramai menaruh harapan tinggi pada kementerian ini untuk meringankan beban mereka.

Seorang kawan bercerita kepada saya, dulu nak cari ikan, ayam, daging atau barangan untuk memasak yang murah, boleh beli atau didapati di pasar-pasar basah. Sekarang tidak lagi. Harga barangan di pasar basah lebih mahal. Lebih baik beli di pasar raya.

Katanya, harga daging dan ayam termasuk ikan kembung telah naik tinggi sejak tahun lalu, tak akan nak suruh orang ramai bela lembu atau ayam pula untuk berjimat-cermat.

Menurutnya, saranan beberapa pihak agar orang ramai berjimat, membeli hanya ketika perlu, sudah tentulah tidak sesuai untuk rakyat keseluruhannya.

Ini kerana yang berpendapatan rendah dan termasuk yang berpendapatan sederhana, mereka tidak ada wang lebih untuk dibazir-bazirkan tak tentu pasal dalam keadaan sekarang. Hakikatnya, hendak membeli barangan atau perkhidmatan yang benar-benar perlu pun tidak cukup duit, bagaimana pula mahu berjimat?

Melihat kepada respons-respons rakyat melalui tinjauan media cetak atau media sosial, mereka tidak punya banyak pilihan dan tidak boleh membuat banyak perubahan untuk menjimatkan itu dan ini.

Ditambah lagi dengan barangan atau perkhidmatan yang satu persatu diumum naik, tapi gaji yang tidak naik-naik terutamanya sektor swasta, apa lagi yang mampu mereka lakukan selain meluahkan rasa tidak puas hati dan marah.

Maka sudah sewajarnya, isu kenaikan harga barangan ini ditangani secara bijak dan jangan beri saranan-saranan yang tidak sesuai dalam keadaan ekonomi sekarang.

Jika benar kenaikan sesuatu barangan atau perkhidmatan tidak menjejaskan sangat kehidupan rakyat, bertindak tegaslah kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan ini.

0 comments:

share2