Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 3, 2013

EMPANGAN HIDROELEKTRIK ULU JELAI BAWA MASUK PELABUR

CAMERON HIGHLANDS - Pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Jelai dapat merancak pertumbuhan ekonomi dan menarik kemasukan pelabur sekali gus memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat negeri ini.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, projek yang mampu menjana elektrik 382 megawatt itu bukan sahaja membekalkan elektrik tetapi dapat menyemarak industri pelancongan tempatan.

Titah baginda, empangan hidroelektrik yang bernilai RM2.4 bilion itu akan menjadi mercu tanda dan tarikan terbaharu bagi pelancong yang ingin ke Cameron Highlands melalui jalan Sungai Koyan dan sebaliknya.

"Empangan ini apabila siap nanti dapat menjadi tarikan terbaharu dan secara tidak langsung dapat memberi peluang ekonomi kepada penduduk tempatan terutama masyarakat Orang Asli yang tinggal di sekitar kawasan ini.

"Mereka boleh berniaga secara kecil-kecilan menjual produk kraf tangan berasaskan sumber hutan seperti rotan, buluh, rebung buluh, madu lebah dan sebagainya kepada orang ramai yang singgah atau berhenti rehat di kawasan empangan ini," titah Tengku Abdullah.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas merasmikan lencongan Sungai Bertam bagi Empangan Projek Hidroelektrik Ulu Bertam, Kampung Susu di sini kelmarin.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G. Palanivel , Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Abdullah turut meluangkan masa melawat kerja-kerja membina terowong air yang akan berfungsi untuk melencongkan aliran air bagi membolehkan pelaksanaan kerja asas di empangan tersebut.

Titah baginda, daripada taklimat yang diberi Naib Presiden (Bisnes Baru dan Projek Utama) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Mohd. Nazri Shahrudin, TNB dan kontraktor utama, TM Salini, projek itu dapat disiapkan mengikut jadual dan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2016.

Apabila siap nanti, titah baginda, kawasan Ulu Bertam yang sebelum ini jauh ketinggalan daripada pembangunan kerana kedudukannya yang terpencil dan tidak mempunyai perhubungan jalan raya akan menjadi sibuk kerana Jalan Sungai Koyan akan menjadi laluan utama ke Cameron Highlands bagi penduduk yang duduk di kawasan Pahang Barat.

Sehubungan itu, Tengku Abdullah bertitah, dengan adanya Projek Empangan Hidroelektrik Ulu Bertam tersebut masyarakat Orang Asli tidak seharusnya menjadi pemerhati sebaliknya mengambil peluang berniaga di sepanjang laluan tersebut yang dijangka akan sibuk tidak lama lagi.

0 comments:

share2