Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberi jaminan harga tepung dan gula tidak dinaikkan berikutan pengurangan subsidi petroal RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.
Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, pengeluar dan pengilang telah memberi persetujuan serta jaminan tidak akan menaikkan harga bahan makanan itu susulan kenaikan harga bahan bakar tersebut.
Menurutnya, beliau sudah mengadakan rundingan dan sesi dialog bersama pengeluar serta pengilang tepung dan gula dari seluruh negara dua hari lalu dan mereka bersetuju serta berjanji tidak menaikkan harga bekalan makanan tersebut.
"Pengguna juga tidak perlu risau kerana mereka turut memberitahu bekalan tepung dan gula mencukupi bagi menampung keperluan orang ramai," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Penghulu dan Penggawa Malaysia 2013 di sini hari ini.
Sehubungan itu, Hasan menegaskan, tiada alasan khususnya bagi peniaga makanan menaikkan harga jualan mereka sewenang-wenangnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya menjalankan sebanyak 30,538 pemeriksaan membabitkan pelbagai premis di bawah Ops Harga sejak pengumuman penurunan subsidi bahan bakar terbabit bermula 3 September lalu.
Daripada jumlah tersebut, kata beliau, sebanyak 130 kes diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 manakala 27 kes lagi mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
"Kita juga telah mengeluarkan sebanyak RM16,550 nilai kompaun dan merampas barangan yang bernilai mencecah RM55.382 juta," katanya.
Tambah Hasan, rekod terbabit menunjukkan kes kenaikan harga tidak seperti yang dihebohkan segelintir pihak yang sebenarnya cuba mempolitikkan isu tersebut.
Malah, tambah beliau, pusat aduan kementerian itu juga hanya menerima sebanyak 36 kes berhubung kenaikan harga dan pihaknya turun padang menyiasat aduan tersebut dengan segera.
0 comments:
Post a Comment