TEMERLOH – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Temerloh menggagalkan cubaan menyeludup 1,350 liter diesel bersubsidi dengan nilai rampasan RM47,000 termasuk barang kes dalam serbuan di Mentakab, tengah hari kelmarin.
Ketua Penguatkuasa PPDNKK Temerloh, Mohd Yusoff Othman berkata, kejayaan itu berikutan penahanan seorang lelaki Melayu dan seorang lelaki India memandu dua lori yang diubahsuai pada bahagian tangki ketika mengisi minyak di sebuah stesen di sini.
Menurutnya, pihaknya melancarkan operasi di seluruh daerah ini dua minggu lalu dan usaha memerangi penyeludupan itu ditingkatkan apabila harga minyak dan diesel naik 20 sen, 3 September lalu.
“Penguatkuasa PPDNKK berjaya mengesan sebuah lori lima tan yang mencurigakan di sebuah stesen minyak di jalan Karak tengah hari semalam (kelmarin).
“Empat resit pembelian 275 liter diesel subsidi ditemui daripada lelaki tersebut dan didapati bahagian dalam tangki diubahsuai dan 1,100 liter diesel yang baru dibeli berjaya ditemui dalam tangki khas di atas lori,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, kebiasaannya lori dengan muatan lima tan hanya mampu mengisi 200 liter diesel pada satu-satu masa.
Katanya, ketika siasatan dijalankan ke atas lelaki terbabit, sebuah lori muatan tiga tan cuba memasuki kawasan stesen minyak itu tetapi pemandunya berpatah balik apabila menyedari kehadiran penguatkasa PPDNKK.
“Dua penguatkuasa kami berjaya mengejar lori terbabit dan hasil pemeriksaan menemui sebuah tangki simpanan khas di atas lori terbabit dengan di dalamnya tersimpan 250 liter diesel dipercayai cuba diseludup.
“Kedua-dua lori ini diubahsuai pada bahagian tangki, minyak yang diisi pada tangki biasa akan disedut ke tangki khas di atas lori,” katanya.
Beliau berkata, kes itu adalah yang ketiga direkodkan berlaku di daerah Temerloh tahun ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
0 comments:
Post a Comment