Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 11, 2013

JIMATKAN PENGGUNAAN AIR


JERANTUT - Masyarakat peneroka di tiga tanah rancangan Felda daerah ini diminta menjimatkan penggunaan air pada musim perayaan Aidilfitri sepanjang minggu ini.

Pengurus Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Jerantut, Ahmad Ramzi Jamaludin berkata, tiga kawasan itu adalah Felda Sungai Retang, Felda Padang Piol dan Felda Lepar Utara kerana dikategorikan sebagai lokasi yang kritikal.

Menurutnya, nasihat itu diberikan berikutan kebanyakan anak perantau pulang ke kampung masing-masing di daerah ini sehingga menyebabkan jumlah penggunaan air tinggi pada musim perayaan.

"Paip sedaya upaya untuk menjamin bekalan air dapat dibekalkan sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri dan berharap kerjasama penduduk supaya lebih berjimat.

"Kita juga menyediakan pelan perancangan serta alternatif tertentu untuk kerja membaik pulih jika berlaku gangguan air sepanjang musim perayaan ini berikutan penggunaan bekalan itu semakin meningkat," katanya selepas menyumbangkan 42 buah kotak air mineral kepada wakil Jawatankuasa Masjid Tengku Ahmad, Bandar Jerantut di sini baru-baru ini.

Katanya, jika penduduk terbabit mengikut langkah itu akan menjamin keselesaan masyarakat Islam berhari raya di samping mengurangkan tekanan rendah air di lokasi kritikal berkenaan.

Ahmad Ramzi memberitahu, masalah air di Kampung Baharu, dekat sini yang dilaporkan di dalam akhbar tempatan baru-baru ini akan diselesaikan oleh Paip sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

Jelasnya, Paip akan melaksanakan langkah alternatif dengan mengambil bekalan air dari kawasan bandar Jerantut bagi mengatasi kekurangan sumber itu di kampung tersebut.

"Kami memberi jaminan kepada penduduk berkenaan tidak akan mengalami masalah terputus bekalan apabila kerja pemantauan lokasi tekanan rendah dapat diatasi kelak," katanya.

0 comments:

share2