Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 31, 2013

ORANG MELAYU TIDAK LAGI DIHORMATI


SEJAK kebelakangan ini, semakin rancak pula pihak-pihak tertentu 'menyerang' atau sengaja mencari isu berkaitan dengan orang Melayu dan melakukan penghinaan terhadap agama Islam. Puak-puak yang melakukan perbuatan tersebut seolah-olah sudah tidak ada rasa gerun atau hormat kepada orang Melayu.

Kehebatan orang Melayu dan kekuatan politik mereka melalui UMNO yang menjadi tonggak pemerintahan negara seolah-olah sudah tidak dihiraukan lagi. Justeru dari semasa ke semasa, kita terus dihidangkan dengan perbuatan-perbuatan biadab yang mencabar kesabaran orang Melayu dan umat Islam.

Keadaan itu berlaku kerana kita berpecah belah sehingga menyebabkan perasaan gerun kepada kekuatan politik orang Melayu semakin luntur. Sesetengah pihak bukan Melayu tidak khuatir dengan sebarang tindakan mereka kerana di pihak mereka sudah ada orang Melayu yang akan membela dan mempertahankan apa yang mereka lakukan.

Orang Melayu yang berbuat demikian kerana sudah kemaruk mahu berada di tampuk kekuasaan, oleh itu apa juga yang mereka lakukan ia berdasarkan kepada kepentingan politik kepartian dan bukannya kepentingan ummah, apatah lagi agama Islam.

Sebab itulah, kita mendengar ada istilah 'pendakwaan terpilih' yang dilafazkan oleh kalangan pemimpin Melayu sendiri biar pun terhadap kes menghina Islam. Mereka membuat kenyataan itu kerana kononnya ingin menjadi pembela kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Tetapi mereka sengaja melupakan bahawa pembelaan tidak bertempat inilah yang memungkinkan rasa gerun kepada orang Melayu dan rasa hormat kepada agama Islam semakin luntur.

Malahan kerapuhan hubungan dalam kalangan orang Melayu yang berpegang kepada Sunnah Wal Jamaah turut diuji apabila wujudnya gerakan mahu menyebarkan ajaran Syiah di negara ini. Sekali lagi kita melihat bagaimana dalam isu, pemimpin-pemimpin Melayu berbeza pendapat.

Di pihak kerajaan mereka mahu tindakan tegas diambil bagi mempertahankan kesucian Islam manakala di pihak yang satu lagi pula ada dalam kalangan pemimpin mereka cuba membuat kenyataan sinis tetapi menampakkan tidak kecerdikan beliau dalam menangani isu apabila bertanya,''Syiah itu benda apa? Kuih berbuka puasa? Saya pun tak tahu apa Syiah. Ingat kuih buka puasa. Kawasan saya buat bubur lambuk."

Selain itu, orang Melayu juga dilihat lemah apabila biar pun mereka sudah membuat keputusan contohnya dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Besut atas semangat hak demokrasi mereka sebagai pemilih.

Bagaimanapun bagi parti yang kalah ada pemimpin mereka dengan mudah menganggap penduduk kawasan itu lalai dan mengetepikan tanggungjawab terhadap agama kerana memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Bagi pemimpin Pas bertaraf ulama itu, kalau undi Pas barulah menjalankan tanggungjawab kepada agama.

Demikianlah begitu mudah dalam kalangan orang Islam menjatuhkan hukum sesama sendiri tanpa mempedulikan sama ada ia bersesuaian dengan ajaran Islam atau tidak. Begitu juga apabila ada isu yang melibatkan orang Melayu, contohnya guru Melayu dengan pelajar-pelajar bukan Melayu, orang Melayu tidak bersatu untuk mempertahankan guru tersebut, sebaliknya apa yang kita saksikan ada pihak bukan Melayu yang membela kaum mereka tanpa terlebih dahulu mahu menyiasat sama ada sesuatu dakwaan itu benar atau tidak.

Dan turut mendapat perhatian bagaimana apabila ada kes-kes melibatkan 'kesalahan' yang dilakukan oleh orang Melayu begitu hebat sekali tekanan, desakan dan asakan supaya tindakan diambil tetapi apabila ada kes melibatkan bukan Melayu ia kadang kala senyap begitu sahaja.

Selain itu, puak-puak tertentu semakin berani mengetengahkan tuntutan mereka tanpa mempedulikan perasaan orang Melayu, oleh itu tidakkah semua ini menunjukkan orang Melayu semakin lemah?

Dalam situasi sekarang adalah wajar, orang Melayu memikirkan peringatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mereka memperkukuhkan jemaah kerana umat Islam dilihat lemah sehingga memberi ruang kepada badan politik yang lantang mencabar agama Islam, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan raja-raja Melayu.

''Perkara ini sepatutnya boleh membangkitkan kesedaran kita. Kalau kita tidak bersatu, kita akan menghadapi masalah lebih besar pada masa akan datang," kata Muhyiddin ketika berucap di majlis berbukan puasa anjuran Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, di Ipoh, kelmarin.

Mungkin seperti biasa, puak-puak pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas akan menganggap Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO cuba memainkan isu perkauman, tetapi apakah kerana ia menyentuh soal menyeru orang Melayu bersatu ia akan dianggap perkauman. Kenapakah perlu hendak menjaga hati pihak lain sehingga seruan dan ingatan kepada orang Melayu pun dianggap perkauman?

Muhyiddin membuat peringatan itu kerana tidak mahu orang Melayu terus dilihat lemah sehingga memungkinkan orang lain sudah tidak berasa gerun dan menghormati mereka.

Perasaan gerun itu bukanlah bermakna orang Melayu akan menindas kaum lain, apatah lagi merampas hak mereka, tetapi untuk memastikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan tidak diganggu gugat, selain memastikan perbuatan biadab menghina agama Islam tidak bermaharajalela.

Oleh itu pilihan yang ada kepada orang Melayu adalah menggabungkan seluruh kekuatan mereka untuk kembali bersatu atas nama persaudaraan Islam.

Tidak mengapalah kalau orang Melayu dalam PKR dan Pas tidak mahu terlibat, biarlah mereka terus memburu impian untuk sama-sama meraih kuasa dengan parti cauvinis, DAP. Tetapi dalam masa yang sama, mereka juga harus diberi peringatan supaya bersedia menghadapi tindak balas orang Melayu, jika kedua-dua parti itu dilihat sekadar 'pak turut' sahaja.

Walaupun kita memahami, merekalah yang akan menjadi 'pembela tidak bertempat' kepada pihak-pihak tertentu namun majoriti orang Melayu lain sudah tentulah tidak duduk diam.

Dalam soal ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu perlu mendengar nasihat Muhyiddin yang menegaskan, mereka mempunyai tanggungjawab baharu untuk berani tampil ke depan berjuang dalam satu saf bersama kepemimpinan negara dan jangan berbalah sesama sendiri.

Mungkin ada pihak merasakan sekarang masa sesuai untuk meranapkan kuasa politik Melayu kerana orang Melayu berpecah belah.

Tetapi dalam masa yang sama mereka juga harus diperingatkan demi menjaga keharmonian dan keutuhan kaum di negara ini, hentikanlah perbuatan melihat orang Melayu lemah sepanjang masa.

Ingatlah, tindakan biadab, melampau dan berlebih-lebihan pihak-pihak tertentu termasuk sesetengah parti politik yang semakin tidak tahu menghormati sensitiviti orang Melayu dan umat Islam boleh membawa akibat buruk kepada negara.

0 comments:

share2