Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 1, 2013

Tiger Valley - Tarikan Pelancongan Baru Pahang


TEMERLOH - Cadangan pembukaan 'Tiger Valley' di Hutan Simpan Krau, dekat sini akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancong di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata untuk tujuan itu, satu kawasan di Kampung Kuala Gandah, Lanchang telah ditanda untuk projek itu.

"Bagaimanapun ia merupakan cadangan awal dan kajian akan dilakukan secara menyeluruh termasuk dari segi keselamatan sebelum projek itu boleh dimulakan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata Hutan Simpan Krau yang berkeluasan lebih 72,000 hektar bersempadan dengan daerah Raub, Jerantut dan Temerloh adalah kawasan habitat haiwan seperti harimau, gajah, tapir, rusa, pelanduk dan kancil selain kepelbagaian tumbuhan herba untuk perubatan.

Sekiranya projek itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi satu daripada daya tarikan pelancong ke Pahang kerana mereka berpeluang melihat harimau secara terbuka, katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sharkar berkata kerajaan negeri akan meningkatkan lagi kemudahan prasarana di pusat pelancongan dan riadah di Pahang selain mengadakan lebih banyak promosi ke luar negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong.

Beliau berkata tahun lepas Pahang menerima 12 juta pelancong dengan mengutip RM6 bilion hasil industri pelancongan.

"Dalam tempoh lima tahun ini kami menyasarkan kedatangan kira-kira 20 juta pelancong ke Pahang," katanya. - Bernama

0 comments:

share2