PADA penghujung 1998 laungan reformasi yang lebih bermaksud gulingkan Barisan Nasional (BN) dan digantikan dengan kerajaan yang akan dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim memenuhi jalan-jalan utama terutama di ibu negara. Namun laungan berbaur retorik dan hanya memperjuangkan kepentingan individu itu gagal menggugat keyakinan rakyat apabila BN terus mengekalkan kuasa, malah mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) 1999.
Bermula daripada pemecatan Anwar daripada UMNO, laungan reformasi tidak pernah berhenti. Laungan itu bergema dan terus bergema yang sekali-sekala membawa kepada rusuhan jalanan hingga mengganggu ketenteraman dan merosakkan harta benda, namun itu semua tidak mampu menggugat kepercayaan rakyat kepada BN.
Pada 2003 Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Peralihan pucuk pimpinan itu seolah-olah mengukuhkan lagi kedudukan BN apabila mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004. Namun momentum itu gagal dikekalkan oleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 yang menyaksikan parti pemerintah itu kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Tsunami politik 2008 itu menyaksikan BN kehilangan tiga lagi negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta kehilangan Perak selama 11 bulan. Tsunami itu juga secara tidak langsung memaksa Abdullah mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui pemerintahan negara.
Ramai yang berpendapat Najib mengambil alih pucuk pimpinan UMNO, BN dan seterusnya negara pada masa yang salah. Pada mereka, Najib berhadapan dengan beban yang cukup berat kerana menerajui UMNO dan BN ketika parti itu berada dalam keadaan cukup lemah dan ketika laungan reformasi semakin lantang.
Sewaktu Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam, ramai yang berpendapat beliau bakal tenggelam di badai tsunami reformasi. Tetapi ramalan itu nyata meleset apabila sejak hari pertama menduduki kerusi Perdana Menteri, Najib telah merangka pelbagai program dengan rakyat didahulukan. Najib tidak duduk diam. Dia membawa pelbagai penambahbaikan dan bermacam perubahan positif. Istilah transformasi yang sering beliau gunakan sejak menerajui negara pada 2009 nyata meninggalkan kesan yang cukup besar kepada rakyat. Nyata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, transformasi yang dibawa oleh Najib telah mengatasi reformasi jalanan Anwar yang adakalanya menyebabkan rakyat bimbang dan ketakutan.
Reformasi Anwar terus menjadi tanda tanya apabila reform yang dia lakukan hanya pada situasi sosial rakyat Malaysia.
Anwar hanya pandai untuk reform budaya Malaysia daripada aman ke demonstrasi jalanan," kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seputeh Mohd. Razlan Rafii.
Satu lagi reform yang dibawa oleh Anwar dan rakan-rakan dalam pakatan rakyat katanya adalah budaya penafian dan dolak-dalik apabila sesuatu isu itu tidak memihak kepada mereka.
Budaya ini jelas apabila kejadian video yang didakwa membabitkan seorang pemimpin Pas baru-baru ini terus dinafikan tanpa usul periksa," katanya.
Transformasi Najib itu juga jelas pada PRU-13 ini apabila mengetengahkan calon-calon muda dan baru yang komited untuk terus membela nasib rakyat.
Sebanyak 33 peratus Parlimen keseluruhannya adalah muka baru. Begitu juga Dewan Undangan Negeri (DUN) 49 peratus menampilkan muka baru. Sebanyak 90 peratus calon di Wilayah Persekutuan, 80 peratus di Selangor, 65 peratus di Pulau Pinang, dan 30 peratus di Kedah juga merupakan muka baru," kata Mohd, Razlan.
Ini jelas menunjukkan transformasi yang dijanjikan oleh Najib adalah menyeluruh termasuk dalam saf kepimpinan dan barisan calon wakil rakyatnya.
Kata Mohd. Razlan, situasi itu berbeza dengan reformasi yang dilaung-laungkan oleh Anwar yang terus bergantung harap kepada muka-muka lama yang telah terbukti gagal membawa pembaharuan kepada rakyat.
Mereka terus mengekalkan legasi dinasour apabila mengekalkan Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, Mohamad Sabu, Datuk Seri Azizan Razak dan ramai lagi yang sudah tua serta tidak boleh bekerja" katanya.
Sehubungan itu rakyat perlu menilai antara transformasi yang dibawa oleh Najib yang hasilnya sudah boleh dirasai berbanding reformasi Anwar yang lebih banyak mengundang masalah berbanding kebaikan. Buktinya, reformasi yang dijanjikan melalui manifesto pakatan pembangkang pada PRU-12 terutama di Selangor gagal di laksanakan.
Ketika Najib menunaikan satu demi satu janjinya kepada rakyat, penduduk-penduduk di negeri di bawah pentadbiran pakatan tidak berdaftar PKR, Pas dan DAP terus gundah gulana hingga ada yang tampil menyaman kerajaan negeri bagi menuntut apa yang telah dijanjikan.
Persediaan BN untuk PRU-13 juga jauh berbeza dengan 2008 apabila Najib terus bekerja tanpa mengenal lelah demi mengembalikan kepercayaan dan sokongan rakyat. Dr. Mahathir sendiri mengakui Najib bekerja lebih keras daripada apa yang beliau lakukan ketika menjadi Perdana Menteri. Semua itu demi memastikan transformasi yang dijanjikan dapat dinikmati rakyat.
Apa yang dilaungkan oleh Najib itu bukan satu retorik kerana sepanjang empat tahun beliau mengambil alih teraju pemerintahan negara sudah banyak perubahan yang memanfaatkan rakyat telah dilakukan.
Yang paling penting, dalam setiap program transformasi itu, tidak ada sesiapa yang terpinggir atau diketepikan. Setiap program yang dilaksanakan membabitkan setiap peringkat rakyat sama ada yang miskin, tua dan muda, malah yang di bandar serta luar bandar tanpa mengira latar belakang kaum dan fahaman politik.
Bagi rakyat yang berfikiran waras dan matang, mereka tentu dapat melihat dengan jelas transformasi yang dibawakan Najib dalam tempoh empat tahun menjadi Perdana Menteri - jauh mengatasi reformasi retorik puak pakatan.
0 comments:
Post a Comment