Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 24, 2013

Jengka Sentiasa Dimajukan


KUALA KRAU  - Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka memang amat sinonim dengan kawasan Felda. Sebut sahaja Jengka, pasti yang terbayang adalah sebuah kawasan dipenuhi dengan pokok kelapa sawit.

Namun, pembangunan di kawasan tersebut tidak pernah dilupakan oleh kerajaan. Pelbagai kemudahan disediakan bagi membantu penduduk Felda seiring dengan masyarakat lain.

Antaranya adalah memperuntukkan RM250 juta untuk membangunkan Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang memberi manfaat kepada para peniaga yang majoritinya adalah bumiputera.

Projek ini termasuklah pembinaan kompleks sukan dan stadium membabitkan kos berjumlah kira-kira RM87.9 juta dan fasa pertama kini telah pun bermula.

Selain itu, projek perumahan generasi baharu juga telah mula dilaksanakan di beberapa rancangan iaitu Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka Sebelas, Felda Sungai Retang dan Felda Padang Piol.

Projek perumahan generasi baharu di Felda Siantan Jengka 19 telah pun siap dan sedang berada di tahap terakhir sebelum diserahkan kepada mereka yang bertuah.

Kerajaan juga sedang membina kompleks terminal pengangkutan bersepadu menerusi peruntukan sebanyak RM10 juta dan telah siap 90 peratus.

Peruntukan RM5 juta membina Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) Bandar Tun Abdul Razak Jengka telah beroperasi awal Februari lalu.

Namun, isu utama yang sering dimainkan oleh pembangkang DUN Jengka adalah pemberian geran dalam kalangan peneroka.

Tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menepati janji tidak pernah melupakan golongan peneroka.

Terbaharu seramai 116 peneroka Felda Jengka 14 mendapat hak milik tanah secara rasmi.

Bagi seorang penerima, Meli Muhammad, 68, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya kerana telah lama menantikan geran berkenaan sejak 30 tahun yang lalu.

"Alhamdulillah kini semuanya dah selesai dan saya anak beranak rasa lapang dada dan gembira serta terharu.

"Bagi kami, geran hak milik tanah Felda ini amat besar ertinya kepada kami semua. Siapa pun yang menyampaikannya, ia adalah satu pemberian yang cukup bermakna dan tiada nilainya jika dibandingkan dengan keringat yang tumpah ketika mengusahakannya," kata Meli.

Alaili Kassim, 57, pula memberitahu, dia menunggu detik gembira itu sejak 25 tahun lalu dan pastinya pemberian geran hak milik tersebut adalah anugerah yang sangat dinanti-nantikan.

"Saya bersyukur kerana menerima geran ini ketika umat Islam menanti kedatangan Ramadan. Terima kasih kepada kerajaan kerana menjadikan impian ini sebagai kenyataan," ujarnya.

Generasi kedua Felda, Sharifah Sahara Syed Alwi, 39, berkata, usaha ayahnya yang meneroka tanah di situ kira-kira 30 tahun lalu berbaloi kerana kini mereka memilik geran hak milik sah ke atas tanah berkenaan.

"Hasil titik peluh ayah saya selama ini berbayar dengan geran hak milik tanah yang lama diidamkan," katanya.

Sementara itu, Mohd. Tahir Ahmad, 65, pula berkata, biarpun banyak tuduhan dilemparkan kepada pentadbiran Felda, sebagai peneroka, dia tahu jasa yang telah diberikan oleh agensi itu kepada masyarakat peneroka.

"Felda telah banyak membela nasib kami. Betul kami kena jelaskan hutang tetapi jumlahnya kecil dan tidak setanding dengan keluasan tanah yang diberikan. Terima kasih semua," jelasnya.

Romeli Othman, 65, pula berkata, dia berharap agar peneroka sentiasa menjaga geran tersebut.

"Bila bersama Felda, kita sudah pun meraih kejayaan. Jadi jagalah elok-elok geran yang akan diterima esok. Geran itu merupakan anugerah yang tidak terhingga. Jangan ada yang menggadaikan geran itu untuk mendapat keuntungan segera," jelasnya.

1 comments:

  • ajax85 says:
    April 24, 2013 at 10:40 AM

    dah maju org nak..hehhehee

share2