BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA - Pada awalnya Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13) di kawasan Dun Jengka dijangka berlangsung dengan bersih, namun
kini terdapat tangan-tangan 'syaitan' cuba mencemarkan perjalanan kempen
PRU di sini.
Timbalan Pengerusi Logistik dan Peralatan BN Dun Jengka, Mohd Azman
Mohd Tahar berkata, jentera Barisan Nasional (BN) dikejutkan dengan
kejadian replika kereta kebal dibina mereka, dibakar menggunakan bom
petrol sekitar jam 1.45 pagi kelmarin.
Menurutnya, kejadian itu hanya disedari mereka setelah menerima panggilan telefon daripada orang awam.
“Saya menerima panggilan telefon daripada orang awam memberitahu replika kereta kebal kami bina, dibakar seseorang.
“Apabila sampai, api masih lagi membakar bendera digunakan untuk
membina replika ini. Lalu, kami memadamnya menggunakan lebihan air
daripada botol mineral terdapat di sekitar kawasan itu,” katanya.
Setiausaha Bilik Gerakan Dun Jengka, Mohammad Razali Mamat pula
berkata, tinjauan mereka di sekitar kawasan itu mendapati, replika
tersebut dibakar menggunakan bom petrol buatan sendiri.
“Kami tidak tahu sama ada mereka menaiki motosikal atau kereta, malah
tidak mengetahui dalang perbuatan ini memandangkan kami hanya menerima
aduan daripada orang awam.
“Kerja membina replika ini bermula sejak awal penamaan calon lagi. Ia
siap sepenuhnya sekitar jam 12.30 tengah malam hari sama sebelum
dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab pada jam 1.45 pagi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Gerak Gempur Pemuda Dun Jengka, Hillmi
Mohamed berkata, mereka sudah membuat laporan polis berhubung kejadian
tersebut.
“Kita tidak mahu menuduh sesiapa. Sekiranya itu kerja pembangkang, kita
harap mereka mengawal anak buah masing-masing daripada terus bertindak
sedemikian. Kita juga harap kempen PRU ini berlangsung dengan lebih berhemah bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Bagi Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Nadi Kota, Othman Abdul
Hamid pula, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku di bandar ini.
“Belum pernah berlaku kejadian sebegini, malah PRU kali ini
memperlihatkan beberapa kejadian kurang enak berlaku. Saya harap perkara
sama tidak berlaku lagi selepas ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment