Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 2, 2013

Kit Siang, Nik Aziz Wajar Bersara


Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya bersara daripada politik jika parti tersebut benar-benar mahu membawa perubahan untuk negara ini.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, Kit Siang sudah terlalu lama dalam politik iaitu sejak 1964 lagi sedangkan DAP kini membawa mesej 'ubah' sebagai sebahagian daripada kempen menghadapi pilihan raya umum akan datang.

''Kata nak bawa 'change', dia sendiri patut ditukar kerana telah menjadi pemimpin sejak 1964 sampai 2013, macam mana kata nak ubah,'' ujarnya.

Beliau yang melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2003 berkata demikian ketika berucap dalam program Bicara Perdana Bersama Pemimpin Ulung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permas, di sini malam tadi.

Yang hadir sama, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Ahli Parlimen Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Dr. Mahathir turut meminta rakyat Johor memberi isyarat kepada Kit Siang untuk bersara daripada politik dengan menolak beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Sekarang ini kita dengar cerita Kit Siang mahu bertanding di Johor, saya ingat kalau dia berani datang sini, mesti orang Johor akan ganyang dia habis-habisan, biar itu menjadi hari terakhirnya dalam bidang politik,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, dua lagi pemimpin veteran pembangkang iaitu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu ditamatkan karier politik mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, kehadiran ketiga-tiga mereka dalam politik negara ketika ini hanya akan menghalang matlamat mencapai negara maju menjelang 2020 terutama jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum nanti.

Katanya, mereka bertiga hanya 'bersatu di permukaan' sedangkan mahu menipu sesama sendiri demi agenda politik masing-masing selain mahu menjadi Perdana Menteri.

Mengenai Anwar, Dr. Mahathir berkata, pemimpin pembangkang itu merupakan seorang yang suka bersandiwara asalkan matlamatnya untuk menjadi Perdana Menteri tercapai.

''Saya angkat dia sebelum ini menjadi timbalan menteri, tetapi dia tanya kenapa tidak menjadi menteri penuh, kita tidak pernah dengar orang minta macam itu baik masa Tun Hussein Onn, Tun Razak atau Tunku Abdul Rahman.

''Anwar masuk UMNO untuk menjadi Perdana Menteri bukan kerana perjuangan agama, bangsa dan tanah air, kalau masuk Pas tak mungkin dapat,'' katanya.

Untuk rekod, Nik Abdul Aziz yang pernah mendesak Dr. Mahathir berundur daripada politik satu ketika dahulu juga sering keluar masuk hospital kerana masalah kesihatan.

1 comments:

  • Mr.Mansuh says:
    April 4, 2013 at 10:33 AM

    http://mrmansuh.blogspot.com/
    MOHON TUAN PAUTKAN BLOG SAYA KE BLOG TUAN, JIKA ADA INFO TENTANG PAHANG BOLEH LAH KITA BERKONGSI

share2