Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 18, 2013

Jihad Tolak Politik Agama

BELUM pernah ada pihak yang berani mengeluarkan pengisytiharan bahawa mengundi Pas pada pilihan raya adalah haram. Selama ini, kita hanya mendengar fatwa-fatwa `songsang' Pas yang mendakwa mengundi parti itu yang memperjuangkan negara Islam dan hukum hudud, mendapat syurga.

Maka, apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan yang dianggotai para ulama, tok guru pondok, imam dan ustaz muda membuat pengisytiharan bahawa memberi undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pula adalah haram, ia mengejutkan ramai pihak.
 

Boleh Ustaz jelaskan, apa sebenarnya yang mendorong NGO ini membuat pengisytiharan yang mengejutkan banyak pihak ini?

MOHD. SYAMSUL: Kita mahu mengisytiharkan jihad, kerana ustaz-ustaz muda hari ini ingin lihat orang lama, ustaz-ustaz lama melakukan tindakan terlebih dahulu, jadi kita tunggu, tetapi akhir sekali ustaz-ustaz lama ini tidak menonjolkan diri. Maka menjadi tanggungjawab kita Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati) yang hari ini ada 72 orang ahlinya dan Minda Pondok yang ada 18 orang tok guru di dalamnya sepakat untuk mengisytiharkan demi kepentingan agama dan bangsa kita.

Ini kerana agama kita hari ini dalam keadaan bahaya diperkotak-katikkan oleh orang bukan Islam. Hari ini kita berpecah belah bukan kerana unsur yang dimainkan oleh puak-puak kita orang Islam, tetapi dimainkan oleh orang bukan Islam.

Jadi, tahaluf siyasi ini sebenarnya kerjasama politik. Tahaluf siyasi membawa makna kerjasama gerakan Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Tahaluf siyasi juga boleh diterjemahkan dengan maksud kerjasama politik, ulama memecahkan maksud tahaluf kepada dua komponen iaitu pertama, meminta bantuan daripada orang kafir dan kedua, orang Islam membantu orang kafir.

Jadi, pendapat ulama tentang tahaluf siyasi terdapat dua pendapat, para ulama berbeza pandangan tentang hukum bekerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak sebarang usaha kerjasama ini serta menghukumkan kerjasama ini sebagai haram, di antara mereka yang menghukumkan haram ini ialah Sheikh Muhammad Khuttub dan Sheikh Al-Imam Abu Nasir Mohamad Bin Abdullah, manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr. Yusof Al-Qardawi, Dr. Mustafa Attahan, Sheikh Mohammad Ahmad Arrasyid, Dr. Solah Assowi dan Dr. Munir Ghazban, itu pun bersyarat. Harus tapi bersyarat.

Kalau kita lihat pendapat pertama yang mengharamkan tahaluf secara mutlak, pendapat ini merupakan pendapat kebanyakan ulama, mereka berhujah dengan hadis-hadis sahih yang menyebut - ‘‘Aku tidak meminta pertolongan daripada orang kafir.’’ Dalil daripada al-Quran yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahluf siyasi ialah sebagaimana ayat 9 dalam Surah Al-Mumtahanah yang bermaksud “"Sesungguhnya Allah hanya melarang kami menjadikan mereka sebagai kamu mu iaitu orang-orang yang memerangi kamu dalam urusan agama dan mengusir kamu dari kampung halaman mu dan membantu orang lain untuk mengusir mu. Sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan mereka itulah orang-orang yang zalim."



Kedua, dalam Surah Al-Mujadalah yang bermaksud “Engkau tidak akan mendapatkan satu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasulnya, sekali pun orang-orang itu bapanya, anaknya, saudaranya dan keluarganya."

Dalam Surah An nisa ayat 138-139 bermaksud “Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa sesungguhnya mereka akan mendapat seksaan yang pedih iaitu orang-orang yang menjadikan orang-orang kafir yakni kafir harbi sebagai pemimpin, penasihat, teman rapat dengan meninggalkan orang-orang beriman. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi orang-orang kafir itu?" Maksudnya adakah di sisi orang kafir itu ada kekuatan? Hendak mengambil orang kafir harbi ini sebagai sekutu, adakah di sisi mereka ada kekuatan? Itu Allah sebut.

Allah menjawab - Maka sesungguhnya semua kekuatan itu adalah milik Allah." Maksudnya kerjasama orang Islam akan menjadi kuat sekiranya umat Islam bersatu, dan jelas hari ini kita tengok Pas mengambil DAP meninggalkan UMNO, Barisan Nasional. Hendak berwadah, bersatu padu pun menolak, hari itu hendak bermuzakarah tak jadi, UMNO mahu, tetapi Pas menolak, kerana dia menyangka dapat menjatuhkan UMNO dengan bekerjasama dengan DAP dan PKR. Sedangkan Allah kata “Adakah di sisi mereka itu ada kekuatan?"

Jadi, ayat 140, Surah An nisa Dan sesungguhnya telah diturunkan kepada kamu al-kitab yakni al-Quran." Sebab apa Allah menyebutkan demikian? Ayat ini tersusun rapi sebabnya di dalam al-Quran ini dihuraikan oleh Nabi dalam sembilan kitab dari Bukhari, Muslim Tarmizi, Ahmad Ibni Hambal bahawasanya Nabi menerangkan hubungan manusia ini dengan ibu bapa, pemimpin harbi, zimmi, kafir mussallam, kafir mu‘ahid semua diceritakan oleh Nabi. Hubungan dengan makhluk-makhluk lain dihuraikan oleh Nabi di dalam Hadis.

Maka kita tengok di sini Allah seterusnya menyebut - Apabila kamu mendengar ayat Allah diingkari" dan kita sudah dengar Pengerusi DAP, Karpal Singh mengisytiharkan bahawasanya ‘Langkah mayat aku dulu", di tempat lain dia mengatakan ‘Langkah mayat kami dulu sekiranya hendak melaksanakan hukum hudud di Malaysia dan juga hendak melaksanakan negara Islam.’ Dan kita sudah dengar Karpal bertegas mahu menggunakan kalimah Allah di dalam kitab Bible walaupun ditentang oleh sebahagian besar umat Islam. Jadi maknanya dia telah melanggar perintah itu. Maksud ayat berikutnya, “Dan dipermain-mainkan."

Hari ini kita sudah mendengar DAP mempermainkan ayat al-Quran. Nga Kor Ming membaca ayat al-Quran apabila berceramah, dia mengaku dia bagi salam. Sebahagian orang Melayu jawab salam dia, sebenarnya tak boleh jawab. Orang Islam tak boleh jawab salam orang kafir bukan Islam ini. Kalau kita tengok Rasulullah sendiri, bila orang Yahudi beri salam, Nabi senyap saja, kadang-kadang jawab itu pun ‘Celaka ke atas kamu.’ Ini menunjukkan salam daripada orang bukan Islam kita tak boleh jawab.

Hari ini, orang Islam yang mendengar ceramah Kor Ming menjawab salamnya. Kemudian Kor Ming mengaku dia seorang Kristian dan mengaku tahu surah Aura sedangkan tidak ada dalam al-Quran surah Aura, yang ada Surah Al-A’raf. Maksud ayat - “Sesungguhnya Allah menyuruh kepada keadilan dan ihsan", rupa-rupanya dia nak syarah parti kawan dia itu Keadilan . Dan hari ini dia seolah-olah menjadi tok guru, ulama, orang Melayu Islam ini jadi anak murid, sedangkan dia bukan Islam, berpusing dunia sudah terbalik, mempermain-mainkan ayat Allah. Adakah dia membaca itu kerana ikhlas, tidak. Dia membaca kerana ingin mendapat sokongan orang Melayu Islam.

Kita tengok Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang, DAP seorang perempuan, telah mencabuli tempat suci kita iaitu surau dan masjid. Dia naik Surau Al-Huda, memberi ceramah berdiri di saf pertama, imam pakai jubah, pakai serban duduk di sebelah tidak menegur apa-apa. Sedangkan dalam Islam, yang sebenar orang musyrik tidak boleh naik masjid. Pada dasarnya orang musyrik itu najis, maka tidak menghampiri masjidilharam selepas tahun ini, maka di dalam al-Quran disebut Masjidilharam, Allah Taala tidak menyebut masjid lain. Apabila tidak disebut masjid-masjid lain, maka berlaku selisih pendapat di kalangan ulama sebab ulama kata tak sebut masjid lain, maka mungkin masjid lain boleh naik.

Ada ulama mengatakan boleh, tapi itupun bersyarat. Orang bukan Islam hendak naik masjid bersyarat kalau kita periksa syarat dia, ulama muktabar syaratnya sama, iaitu pertama, hendaklah dia itu menutup aurat, Ahli Parlimen Serdang ini tidak menutup aurat, ada juga pemimpin pakatan pembangkang memasuki pekarangan masjid dengan memakai skirt, yang kita hairan dan sedih ulama dalam Pas membiarkan perkara ini. Nie Ching berdiri di saf pertama, imam di sebelah tidak berbuat apa-apa. Dan kalau dia seorang perempuan mesti suci dari haid dan nifas.

Di Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberikan arahan supaya masjid- masjid di negeri itu sebelum Subuh tidak memperdengarkan apa-apa bacaan melalui pembesar suara. Sebelum 2008, Tan Sri Koh Tsu Koon, tidak menghalang umat Islam memperdengarkan apa-apa bacaan sebelum Subuh, tetapi bila Guan Eng jadi Ketua Menteri melarang umat Islam melaungkan sesuatu yang menjadi syiar Islam sebelum Subuh.

Islam menggariskan orang bukan Islam kepada empat kategori, pertama kafir mussallam ertinya dalam sebuah negara kafir ketua negara kafir rakyatnya ada Islam, ketua ini membenarkan umat Islam untuk melaksanakan syiar-syiar Islam, melaungkan azan, apa-apa sahaja berkenaan Islam dibenarkan. Kedua, kafir mu‘ahid, kafir yang ada perjanjian dengan kita. Dalam sebuah negara Islam kita ada kedutaan bukan Islam, duta-duta ini adalah kafir mu‘ahid, kita tak boleh kacau dia, begitu juga pelancong asing bukan Islam yang datang. Ketiga, kafir zimmi, dalam sebuah negara Islam ketua Islam, ada rakyat bukan Islam dan mereka mentaati pemimpin dan undang-undang yang ada, Islam menggariskan supaya mereka kita jaga. Keempat, kafir harbi, ciri-cirinya ialah memerangi, iaitu orang kafir yang memerangi Islam sama ada lidahnya atau perbuatannya.

Walaupun ciri-ciri di Malaysia ini nampak ciri-ciri negara Islam, tapi dia kata negara sekular sebab orang Islam sendiri seperti Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pemimpin Pas mengatakan UMNO ini sekular menolak Islam. Ini fitnah besar yang dilakukan oleh pucuk pimpinan Pas, ulama-ulama dalam Pas menuduh UMNO ini kafir, bukan Islam, sedangkan dalam Perlembagaan UMNO Artikel 3.3 asas dan tujuan UMNO ditubuhkan adalah untuk menegakkan Islam, mempertahankan Islam dan mengembangkan Islam.

Kita tengok kalimah Allah, dia mahu digunakan dalam Bible versi Melayu, ini cukup bahaya, agenda Yahudi untuk memurtadkan orang Melayu, memecah-belahkan orang Melayu. Akhir sekali orang Melayu berbalah sesama orang Melayu dan orang Melayu berbalah dengan Kristian.

Apabila tuntutan Guan Eng dipersetujui orang Melayu Islam seperti Pas yang bersetuju pada dasarnya, cuma Majlis Syura Ulama yang tidak bersetuju. Dari segi dasar Pas, dia tidak mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju, dia masih dengan ketetapan mesyuarat pakatan 8 Januari. Kalau betul Pas tidak bersetuju maka Presiden Pas mesti bersuara. Hari ini, ustaz Hadi masih membisu, dalam Islam membisu maknanya bersetuju. Maknanya senyap tanda setuju. Kita sedih, Mursyidul Am Pas, Presiden Pas seolah-olah apa yang dilakukan DAP betul sahaja, apa dibuat oleh DAP betul, dasar dibuat oleh DAP betul, tapi dia tak pernah ingat dasar yang dibuat Pas, DAP tak pernah mengiakan.

Sebab itulah hari ini, ustaz-ustaz muda, Minda Pondok, ulama-ulama yang tidak ada kepentingan parti politik yang memperjuangkan agama, bertegas mengisytiharkan jihad. Sebabnya hari ini pemimpin Pas tidak boleh diharapkan untuk membawa agama, dia sendiri kata nak bawa agama, tetapi melencongkan perjuangannya.

Kenapa golongan ulama lama tidak bersuara sehingga mendorong golongan ulama muda ke depan?

Kita pernah menyatakan demikian kepada ulama ulama, tua, mereka sebenarnya menunggu pihak yang berkuasa seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) melihat, tetapi dalam keadaan menunggu ini tidak ada penguatkuasaan diambil, kemungkinan Maik, JHEAIK ditekan oleh orang mereka sendiri.

Ustaz tidak takut dicop sebagai ulama UMNO atau ulama upahan?

Itu yang susahnya. Dahulu dalam PRU-12 majoriti ustaz muda, Minda Pondok menyokong perjuangan Pas, begitu juga tok-tok guru pondok. Hari ini bila kita hendak menerangkan tentang kalimah Allah, menerangkan tentang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kita dicop sebagai ulama UMNO, ulama upahan, sebenarnya tidak. Kita tidak dibayar sesen pun, kita ikhlas.

Artikel 3.3 Perlembagaan UMNO jelas menyebut memperjuangkan agama, selama ini kita ditutup oleh pemimpin Pas, Pas mengatakan UMNO ini sekular menolak Islam, kita termakan, ditipu. Undi Pas masuk syurga undi BN masuk neraka, disebut Nik Aziz. Dia bertegas UMNO tolak Islam, UMNO sekular, sedangkan kita orang agama ini melihat dari sudut nas, faktanya. Dalam al-Quran menegaskan, kalau orang itu Islam, dia baik dan berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, dia akan dimasukkan ke dalam syurga, itu janji Allah, bukan undi Pas masuk syurga, itu tak betul. Sebab, kalau kata undi Pas masuk syurga, sekarang Pas sudah tersasar daripada matlamat perjuangan, jelas.

Dalam tahaluf siyasi BN, UMNO sebagai imam, yang makmumnya parti-parti komponen bukan Islam lain, mereka ini akan mentaati keputusan ketua yakni UMNO, dalam pakatan tahaluf siyasi pembangkang, ketuanya adalah DAP, sebab dalam Dewan Rakyat DAP paling banyak kerusi, 29, PKR 25, Pas 23. Maknanya Pas nombor tiga, makmum menjadi pengikut kepada DAP. DAP jadi imam, tahaluf siyasi ini bercanggah kerana Pas terpaksa mengikut. Sebelum tahaluf siyasi dengan DAP, PKR, Pas dengan dasar menubuhkan negara Islam, selepas tahaluf menubuhkan negara berkebajikan. Sebelum tahaluf ingin melaksanakan hudud selepas tahaluf hudud bukan lagi agenda utama. Sebelum tahaluf ada persaudaraan Islam, selepas tahaluf doa kemusnahan sesama Islam.

Sebelum tahaluf haram atau kafir berkongsi kuasa dengan Islam, selepas tahaluf ingin berkongsi kuasa dengan bukan Islam bahkan berkongsi dengan kafir yang jelas menentang Islam kafir harbi, DAP. Sebelum tahaluf Islam sebagai matlamat selepas tahaluf, Pas rela melacurkan Islam demi menjaga hubungan dengan DAP. Maknanya tahaluf siyasi Pas dengan DAP dan PKR adalah haram kerana bercanggah dengan tahaluf siyasi yang dibenarkan oleh Islam.

Fakta tentang Pas yang menyebabkan kita wajib menentang Pas, pertama, Pas bukanlah parti yang dominan dalam pakatan rakyat sebaliknya DAP adalah yang dominan. Kedua, DAP telah secara jelas menolak penubuhan negara Islam dan menegah daripada melaksanakan hukum hudud, Pas hanya berdiam diri kerana mereka hanya menggunakan hukum hudud untuk memancing undi orang Melayu. Ketiga, Datuk Hassan Ali, bekas Exco Pas di Selangor dipecat hanya kerana ingin memperjuangkan Islam. Keempat, Pas tanpa segan silu menolak konsep negara Islam yang mereka canangkan sebelum ini atas desakan DAP. Ustaz Hadi dalam muktamar Pas 2011 menegaskan mereka ingin menukar konsep negara Islam kepada negara berkebajikan, lebih hina lagi bila beliau menyatakan negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Kelima, pimpinan Pas bersetuju dalam mesyuarat bersama pimpinan DAP, PKR tentang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dan Bible versi Melayu. Kita bukan tak benar orang Kristian beramal, kita hanya tak benar mereka guna kalimah Allah. Kita hidup rukun damai dengan Kristian sudah lama, tak berbalah. Sanggup berlembut dengan DAP dalam isu salon yang dibenar menerima pelanggan lelaki semula walaupun undang-undang telah dikuat kuasakan di Kota Bharu. Dia macam menangguhkan undang-undang yang dia gubal sendiri.

Kemudian memesongkan fikiran rakyat tentang Perlembagaan Malaysia kononnya perlembagaan penjajah sehingga menyebabkan penentangan rakyat terhadap pemerintah, sehingga rakyat benci kepada pucuk pimpinan, padahal mereka juga ingin mengekalkan perlembagaan yang ada jika dapat memerintah. Nik Aziz pula membenarkan pemimpin DAP naik masjid, membisu tentang isu LGBT dan ideologi pluralisme. Pas cuba memutar belit dan mempertahankan kenyataan Nurul Izzah (Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai) yang jelas membuka ruang untuk orang Melayu untuk murtad, menyalah tafsir ayat al-Quran. Pas sudah tidak relevan lagi untuk menjadi parti yang berpaksikan Islam kerana sudah jauh daripada memperjuangkan Islam, Pas sekarang hanyalah sebuah parti yang dahagakan kuasa dan bercita-cita untuk ke Putrajaya, oleh sebab itulah jihad PRU-13, jihad moden wajib undi UMNO dan BN dan haram undi Pas, DAP dan PKR.

Sejauh ustaz melihat tahaluf siyasi Pas dengan DAP, PKR tersasar?

Sebenarnya Pas sudah tersasar jauh kerana hari ini dia bersetuju dengan PKR dan DAP, apa sahaja yang dikeluar DAP, dasar-dasar DAP, apa yang dibuat DAP Pas bersetuju. Kita bukan ulama upahan, bukan kerana ada kepentingan duniawi, tetapi kerana masa depan agama di Malaysia ini, maka wajib kita bersama UMNO dan BN. Kalau kita duduk bersama Pas, DAP, PKR masa depan agama kita akan hancur, kerana DAP menyatakan dia nak sama rata. Tahaluf siyasi Pas, DAP, PKR akan menyebabkan masa depan agama tergugat dan umat Islam akan jadi lemah dan agama Islam akan jadi agama longlai.

Pada ustaz Mohd. Zawawi pula, apa sebenarnya yang mendorong NGO ini membuat pengisytiharan jihad?

Yang kita mengisytiharkan demikian pertama sekali, kita nak ambil aspek tahaluf ini, kerana tahaluf ini ada dua, satu tahaluf siyasi- adalah konsep kerjasama politik, kedua tahaluf wala’- kerjasama sebagai pak turut. Tahaluf siyasi (merujuk kepada buku perlembagaan BN) ada hitam putihnya dan kalau kita tengok kerjasama pakatan pembangkang tidak ada kesepakatan yang termaktub seperti ini.

Kedua, kalau kita tengok perlembagaan Pas ada dasar-dasar dia, kalau kita tengok pula perlembagaan pakatan mengatakan dia dapat bersama, tetapi tidak menyebut untuk melaksanakan apa yang ada dalam dasar Pas dalam perjuangan dia (pakatan), sebab itu Pas daripada konsep negara Islam ditukar kepada negara berkebajikan, kenapa berbeza dan berubah. Ini kerana waktu memperkenalkan konsep negara Islam dengan menggariskan ayat-ayat al-Quran mereka mentakrifkan UMNO dengan konsep perjuangan kebangsaan yang dibawa dengan fahaman sekularisme, kemudian itu (konsep negara Islam) wujud pula negara berkebajikan, menafikan ini (negara Islam) sedangkan hujah-hujahnya menggunakan ayat-ayat al-Quran, ini kita lihat tidak konsisten, sebab jelas kita tengok Perlembagaan DAP, perkara dua, perjuangan DAP adalah hendak memastikan Malaysia mengamalkan dasar sekular.

Sekarang ini siapa yang sekular? Gerakan untuk menyatukan orang Melayu, UMNO dan Pas dimulakan sejak zaman Allahyarham Ustaz Fadzil (bekas Presiden Pas, Datuk Mohd. Fadzil Noor), kenapa tak jadi? Syarat yang diletakkan oleh Nik Aziz sendiri ialah kita nak kalau bersama UMNO, ubah dasar UMNO sebab dia menganggap pegangan kerajaan yang didominasi UMNO sekular, tapi yang kita hairannya dalam kesepakatan ini disebut akan mempertahankan perlembagaan ini (Perlembagaan Persekutuan), ertinya apa ini?

Ustaz Hadi pernah berkata, Ustaz Ibrahim Libya itu adalah syahid dan dalam amanat dia, kita tak payah masuk agama lain kita menentang UMNO pun dah syahid, kalau kita mati pun mati syahid, kita buat amalan kita menentang UMNO pun dapat pahala, dan hari ini dia nak pertahan benda ini (Perlembagaan Persekutuan) pula. Ini dalam deklarasi pakatan, kalau begitu keadaannya Ustaz Ibrahim Libya itu mati syahid atau tidak? Sebab sekarang ini nak mempertahankan ini (Perlembagaan Persekutuan), ini pelik, lucu dalam politik.

Bagi saya mereka ini (pakatan pembangkang) dalam konsep emotional politic dan haloba dalam politik. Kenapa Ustaz Hadi beria-ia nak pertahankan perlembagaan yang dahulu dia kata sekular. Adakah dia faham kandungan Perlembagaan Persekutuan? Ini yang cukup pelik pada hari ini.

Saya nak tegaskan konsep tahaluf yang kita tegaskan dalam pengisytiharan hari itu, kita dah tengok konsep tahluf siyasi itu, saya nak banding di Indonesia. Ini gabungan UMNO, MCA dan MIC, menepati kehendak fikah sama ada dari segi makasid, aulawiyad, mawazin fikiahnya, iaitu gabungan untuk mencapai kemerdekaan. Jadi konsep gabungan tahaluf siyasi UMNO, MCA, MIC tidak pernah berlaku pengusiran orang Cina, India. Ini bermakna jelas betul dan bertepatan dengan hukum fikah. Berbeza dengan mereka, mereka tahaluf wala’, sebagai pak turut.

Hujah kedua, waktu PRU 2008 berapa kerusi dimenangi oleh UMNO dan BN serta Pas dan pakatan. Paling malang mereka dakwa mereka pakatan rakyat sedangkan ia tak berdaftarpun, mana hitam putih mengatakan bahawa ini tempat kita berpegang, UMNO dan BN jelas ada, walaupun banyak bilangan mereka bukan Islam di sini tetapi yang mendominasi siapa, ialah UMNO. Berbeza dengan Pas.

Sebagai perbandingan, tahaluf di Indonesia contohnya tercatat 119,000 orang Cina diusir, di negara kita tak pernah berlaku. Dan hari ini cuba dipecahkan kerana mereka melihat ada unsur-unsur untuk mengubah citra negara kita. Sebab itu kalau kita tengok peristiwa sejarah hitam (tragedi 13 Mei) kita berjaya satukan balik dengan Rukun Negara.

Perjanjian ini dimasukkan dalam falsafah satu Malaysia, iaitu asas penerimaan, maknanya kita orang Melayu menerima orang bukan Melayu, tetapi mereka memperakui empat perkara iaitu Islam adalah agama negara, kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera dan kaum-kaum lain; bahasa Melayu, kedaulatan raja-raja Melayu. Ia termaktub dalam Perlembagaan negara. Ini utuh tetapi cuba dipecah-belahkan, kita tengok kedudukan Islam, cuba digugat dengan isu kalimah Allah, tujuannya untuk kepercayaan kepada Tuhan ini dihuru-harakan sedangkan ini ikatan kita. Kedua, kesetiaan kepada raja dan negara, tengok apa berlaku titah sultan tidak dihiraukan dan teguran Sultan Selangor tentang kalimah Allah dipermain-mainkan oleh Anwar Ibrahim. Tujuannya apa? Ketiga, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan, semua diganggu gugat. Polis diberi sebagai satu dogmatis iaitu orang zalim dan jahat.

Tujuannya, penguatkuasaan undang-undang diperlekehkan. Bagaimana dengan kesopanan dan kesusilaan, adakah ia wujud dengan tidak mematuhi undang-undang dan ketua agama, semua ini untuk memecah keharmonian yang wujud sejak sekian lama. Maka itu kita bangun dan kita tentang bahawa kesepakatan ini (pembangkang) akan membawa malapetaka besar.

Ustaz tidak bimbang dicop sebagai ulama UMNO atau ulama upahan?
Pada saya cop ini sebagai emosi agama sahaja, ini satu label emosi agama sebab mungkin kerana tidak sependapat, atau mungkin kita satu parti contoh Ustaz Nasharuddin Mat Isa tidak sependapat dia buang, adakah konsep Islam begitu? Kita tidak sependapat tiada masalah, tapi jangan berpecah.

Apa sebenarnya yang mendorong Pas untuk terus bertahaluf dengan DAP, PKR meskipun sedar mereka mempunyai dasar dan agenda perjuangan berbeza?

Saya lebih tertarik dengan kerjasama Pas sebelum ini, dulu Pas dengan Angkatan Perpaduan Ummah, Berjasa, Semangat 46, gagal. Kemudian cuba pula dengan Barisan Alternatif dan sekarang Pakatan Rakyat, tujuannya untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO dan BN. Di sini ada dua persimpangan, pandangan pertama, Abu Hurairah menyatakan sesiapa yang nak pimpin negara wajib ulama, Pas pegang yang ini. Tapi ada satu lagi pandangan, Umara’ yang mengatakan tidak semestinya ulama pimpin negara, dan ini adalah pandangan Ibnu Abbas. Kedua-duanya sahabat Nabi dan kita tidak boleh kecam, jika kita kecam bermakna kita kecam Nabi sendiri.

Bagi saya, perlu kita mempertahankan dominasi kerajaan yang ada hari ini, sebab UMNO berpegang kepada Ibnu Abbas dan Pas kena hormati, dan kita pula tak pernah kutuk pandangan Pas. Jadi, dari segi tahaluf hari ini yang saya lihat, haloba politik. Haloba untuk mendapatkan kuasa, ini konsep menghalalkan semua cara, dulu dia (Pas) marah konsep menghalalkan semua cara.

0 comments:

share2