Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 18, 2013

Jenama 1Malaysia Dipercayai Rakyat


JAMINAN yang dinanti-nanti rakyat Malaysia akhirnya diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri minggu ini, menjanjikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan kerajaan pada tahun-tahun mendatang.

Beliau menyifatkan agihan BR1M dalam kalangan mereka yang layak menerimanya di samping 139 produk 1Malaysia lain sebagai satu pulangan semula kepada rakyat hasil pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan memberangsangkan.

Yakin tahun-tahun berikutnya akan lebih baik lagi daripada sebelumnya, Perdana Menteri berharap rakyat akan terus memberi kerjasama, sokongan dan mandat dengan bersatu menyokong kerajaan yang telah menyahut tuntutan perubahan melalui pelbagai program transformasi.



Antara rekod terbaik sepanjang empat tahun pertama pentadbiran Najib adalah kadar pertumbuhan tertinggi negara dalam tempoh 10 tahun manakala pendapatan perkapita rakyat terus meningkat daripada RM18,590 pada 2009 kepada RM27,890 pada akhir 2011.

Walaupun mengakui pentingnya mandat politik daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), pentadbiran di bawah kepimpinan beliau jelas mendahulukan rakyat jelata dengan kewujudan bermacam produk jenama 1Malaysia.

Umum sememangnya menyedari perubahan cara berpolitik di negara ini sejak 2008 dan kebanyakan rakyat jelas sudah jelak dengan sikap sesetengah pihak mempolitikkan semua perkara dalam kehidupan seharian.

Oleh itu, pengenalan jenama 1Malaysia begitu mudah diterima dan amat dialu-alukan bukan sahaja bagi memupuk perpaduan malahan sebagai satu ikon pembelaan kebajikan jangka panjang untuk rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik.

Selain BR1M; Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M); Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA); Baucar Buku 1Malaysia (BB1M); Klinik 1Malaysia; Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M); Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M); Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) dan bermacam lagi bentuk bantuan sosio ekonomi telah berjaya disampaikan kepada rakyat.

Namun, seperti dijangka masih ada suara sumbang yang mengatakan itu semua cuma untuk memancing undi dan ada juga menganggap langkah itu terlalu memanjakan rakyat.

Bagaimanapun, rakyat yang menikmati sendiri bantuan-bantuan itu tetap menghargainya kerana jelas kerajaan di bawah pimpinan Najib bukan hanya sibuk berpolitik sebaliknya mempunyai komitmen lebih tinggi dalam menjaga kebajikan setiap lapisan masyarakat.

Jelas cara kepimpinan Perdana Menteri telah lama mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara berkebajikan khususnya kepada yang memerlukan, dari sarapan yang murah, pendidikan anak-anak sehingga ke rumah mampu milik agar kemewahan negara dinikmati setiap rakyat secara adil dan saksama.

Fakta ini disokong Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Datuk Khairul Anwar Rahmat yang melihat bantuan jangka panjang melalui jenama 1Malaysia menggambarkan keprihatinan pemerintah kepada rakyat.

"Biarlah orang nak kata apa pun kerana bantuan dalam segenap aspek untuk rakyat yang memerlukan mengikut keperluan semasa tepat dengan konsep Islam di mana pemerintah negara yang aman makmur bersifat ihsan kepada rakyatnya.


"Berbanding pihak lawan yang boleh berjanji bulan dan bintang kerana tidak memerintah, Barisan Nasional (BN) perlu berpijak di bumi nyata dan berfikir panjang dalam melaksanakan bantuan mengikut keperluan rakyat, bukannya kerana terdesak," katanya.

Beliau merasakan pelbagai bantuan di bawah jenama 1Malaysia berjaya menyentuh nadi masyarakat terutama kumpulan sasar yang bukan sahaja terdiri daripada kumpulan kurang mampu (BR1M) malahan pelajar (BB1M), belia (BL1M) dan ramai lagi.

Walaupun Perdana Menteri telah umumkan dasar keprihatinan dan polisi kebajikan itu, Khairul Anwar berharap kumpulan pelaksana dapat memastikan hanya mereka yang layak menikmatinya bagi mengelakkan sebarang kelemahan sehingga merosak sasaran dan nama pemimpin negara.

"Dalam jangka panjang, langkah ini dapat mengurangkan jurang antara yang kaya dan miskin melalui pendapatan lebih baik yang tidak begitu ketara perbezaannya dalam kumpulan sosio ekonomi berlainan.

"Bagaimanapun, kerajaan juga disarankan memikirkan penambahbaikan mekanisme mandiri jangka panjang kerana kita tidak mahu 'berikan ikan' sahaja tetapi mahu berikan 'joran dan kail' agar rakyat dapat berdikari," ujarnya.

Beliau menjelaskan, konsep bantuan kepada kumpulan yang memerlukan itu mengikut situasi semasa dan bukannya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara subsidi kerana itu langkah ke belakang dan tidak baik untuk jangka panjang.

Tegasnya, sasaran lebih besar kerajaan adalah untuk mengurangkan bilangan penerima bantuan itu kelak dengan merapatkan jurang pendapatan antara kaya dan miskin apabila rakyat menikmati hasil kekayaan status negara maju secara adil.

"Kerana itu produk-produk bantuan 1Malaysia ini tidak boleh dibuat secara ad hoc tetapi memerlukan kajian terperinci bagi mengelakkan negara menanggung beban besar yang akhirnya akan dikembalikan semula kepada rakyat.

"Jumlah setiap jenis bantuan itu perlu munasabah dan mencapai kumpulan sasarnya sama ada yang kurang mampu mahupun golongan sederhana dan bukan sekadar janji kosong tanpa melihat realiti semasa," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat menilai beberapa bentuk bantuan lain untuk golongan sederhana selain PR1MA dan produk 1Malaysia sedia ada khususnya dalam aspek kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam dan keperluan harian.

Bagi tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula menyarankan kerajaan meneruskan dengan kajian susulan selepas penyerahan bantuan produk 1Malaysia seperti BR1M.

"Dalam pemberian tunai, mungkin kerajaan kena kaji ke mana ia digunakan sebelum bantuan berikutnya diagihkan kerana dikhuatiri ada yang tidak menggunakannya untuk tujuan positif.

"Masyarakat kita ini sangat 'nakal', pemerintah perlu berhati-hati dalam pemberian tunai dan perlu beri lebih perhatian berbanding bantuan melibatkan barang keperluan, rumah dan bantuan perubatan," katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan ada dalam kalangan peniaga yang akan menaikkan harga barang apabila melihat rakyat menerima bantuan tunai sementara pemaju pula mungkin cuba mengaut untung lebih dalam projek bantuan perumahan.

Namun, beliau melihat isu pokoknya adalah kos sara hidup dan barangan harian meningkat dengan mendadak di dalam dan luar negara sehingga sukar memikirkan sama ada mampu untuk hidup setiap hari.

"Saya pernah makan mi di sebuah kedai yang agak 'canggih' sikit pada harga RM30 sedangkan masa sekolah dahulu mi yang sama cuma 30 sen.

"Sememangnya menjadi tugas pemerintah untuk menjaga keperluan rakyat khususnya dalam situasi global semasa tetapi kita juga tidak mahu dalam jangka panjang bantuan dihulurkan itu menyebabkan rakyat malas mencari sendiri pendapatan yang lebih baik," tegasnya.

0 comments:

share2