MENJADI ahli politik apalagi sebagai wakil rakyat sama ada di Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen jelas bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Kerjaya ini yang memerlukan kesungguhan, kecekapan serta pengorbanan selain integriti yang cukup tinggi kini semakin rumit dan kompleks.
Menjadi wakil rakyat bermakna mengabdikan hampir semua masa dan kepentingan hidup untuk rakyat. Malangnya, semua idealisme yang diharapkan rakyat itu masih terlalu tinggi untuk dijangkau oleh wakil rakyat kita.
Sayangnya, justeru yang kian dipertontonkan ialah kepentingan peribadi atau kelompok, bukan rakyat apatah lagi kepentingan negara. Duduk sebagai elit parti misalnya, lebih didorong oleh keprihatinan mengangkat-angkat kepentingan diri dan parti berbanding menyelesaikan masalah hakiki rakyat.
Inilah yang tergambar daripada ceritera surat palsu yang digembar-gemburkan oleh elit Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin. Kedua-duanya bukan sembarangan orang. Memang lucu apabila dikemudian hari diketahui surat yang mereka jaja keliling kota dan desa sebagai satu pembongkaran itu rupa-rupanya palsu.
Yang satu Naib Presiden Pas dan Ahli Parlimen Pokok Sena. Dakwaan beliau memberi gambaran ada usaha menambah pengundi di Sabah.
Yang lagi satu ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Pas dan Ahli Parlimen Bukit Gantang. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Perak. Dakwaan beliau begitu sensasi yang memberi gambaran umum bahawa kerajaan melesapkan wang pampasan RM207 bilion.
Dalam ceritera pertama yang disusun oleh Mahfuz mendakwa beliau mendapat surat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengarahkan kad pengenalan di Semenanjung Malaysia yang tidak dituntut dihantar ke Sabah. Surat itu, kata beliau, diposkan ke rumahnya. Dengan kata lain beliau tidak tahu asal usul surat itu.
Beliau pun menghebahkan surat yang dari antah berantah itu, yang sekali gus menghangatkan lagi isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang kini sedang disiasat dalam inkuiri Suruhanjaya Diraja. Mujurlah maklumat yang didedahkan oleh Mahfuz tidak lama tergantung kerana segera dijawab oleh pihak kerajaan.
Pihak Kementerian Dalam Negeri menegaskan surat bertarikh 14 Disember yang didedahkan oleh Mahfuz yang mengarahkan agar kad pengenalan serta Mykid yang tidak dituntut dalam masa 18 bulan dihantar ke Keningau, Sabah adalah palsu. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara kemudian membuat laporan polis tentang hal itu.
Musykil
Apa reaksi Mahfuz? Beliau seperti dipetik portal propembangkang berkata "Saya tak kata surat itu betul. Saya terkejut juga kata itu surat palsu,".
Strategi mendedahkan dokumen sensitif kononnya dihantar melalui pos ke rumah bukanlah baharu. Hal ini sudah biasa dilakukan. Bagi orang biasa tentu musykil dan tertanya-tanya tujuan Mahfuz menghebahkan surat yang kesan langsungnya akan memperlihatkan wajah kerajaan yang buruk terutama menjelang pilihan raya ini. Apakah ada udang di sebalik batu?
Begitu juga kisah sensasi yang dibawa oleh Mohamad Nizar kononnya kerajaan Jepun telah membayar RM207 bilion kepada kerajaan Malaysia sebagai pampasan wang darah kepada mangsa landasan kereta api di Myanmar semasa Perang Dunia Kedua.
Cerita yang dijaja Nizar telah mencetuskan polemik malah beliau dan rombongan sekretariat jejak Pas sempat bertandang ke Kedutaan Jepun. Maklumat yang diperoleh daripada pertemuan itu juga simpang siur. Macam biskut sekejap ada, sekejap tak ada.
Sensasi cerita wang pampasan RM207 bilion ini memang luar biasa. Ceritanya begitu mengelirukan dan jauh daripada fakta. Ceritanya dicampur aduk. Memang ada wang pampasan kerajaan Jepun kepada Malaysia yang jumlahnya hanya RM25 juta. Pampasan itu dibuat dalam bentuk produk dan perkhidmatan yang diselesaikan pada 6 Mei 1972.
Tiada wang pampasan RM207 bilion yang dikhabarkan oleh Nizar untuk diberikan kepada keluarga 30,000 rakyat Malaysia yang dipaksa bekerja menyiapkan landasan kereta api di Myanmar. Kerajaan Jepun tiada rekod mengenai pampasan seperti didakwa itu.
Antara lain cerita Mohamad Nizar itu diperkuatkan dengan memo Kementerian Kewangan bertarikh 29 Mac 2011. Surat itu adalah palsu dan laporan polis telah dibuat. Ikut ceritanya, mereka yang tidak pakar pun boleh mengesan bahawa surat itu adalah palsu. Jadi, kesimpulannya cerita pampasan RM207 bilion itu hanyalah palsu.
Jika diukur daripada jawatan yang seharusnya disusuli dengan kredibiliti penjawatnya tentulah sukar untuk diterima bahawa apa yang mereka dedahkan dan uar-uarkan selama beberapa lama itu adalah cerita palsu. Mengapakah orang berjawatan sekaliber itu merelakan dirinya terperangkap dalam permainan seperti ini?
Kerosakan telah pun dibuat dan tidak sedikit orang yang buta-buta percayakan kata-kata mereka ini. Masakan tidak percaya, mereka yang bercakap adalah orang yang mendaulat dan menjunjung kebenaran. Kerana mereka adalah wakil kepada rakyat. Kerana mereka berjawatan tinggi dalam parti. Kerana mereka adalah daripada parti yang selalu bangga dengan slogan membangun bersama Islam.
Musykilnya tiada pula usaha untuk memperbaiki kerosakan yang dibuat kesan daripada ceritera itu sedangkan mereka dalam kedudukan yang berupaya untuk memperbetul dan menjernihkan keadaan, sekurang-kurangnya dengan menarik balik dakwaan atau meminta maaf.
Tetapi inilah politikus yang kita ada, selalu sahaja gagal memberikan teladan dan contoh baik kepada masyarakat. Bukan sekadar kata-kata mereka yang penuh muslihat, perilaku mereka juga buruk. Sepatutnya semakin tinggi jawatan semakin bijaksana dan budiman, semakin menjunjung nilai-nilai baik dalam bermasyarakat dan bernegara.
Jadi apakah kita boleh lagi mempercayai kata-kata mereka? Yang lebih penting untuk ditanya ialah perlukah kita sebagai rakyat untuk memilih politikus yang suka menampilkan perilaku bobrok ini.
0 comments:
Post a Comment