Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 5, 2013

Anak Muda Penentu Hala Tuju Negara


BARU-BARU ini, Datuk Razali Ibrahim menyatakan bahawa 200,000 mahasiswa layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Angka 200,000 tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan jumlah yang bakal mengundi pada PRU iaitu dijangka 12 juta orang tetapi ia tetap memberi kesan dalam sejarah politik tanah air.

Dalam erti kata lain, kuasa 200,000 pengundi ini patut dijadikan salah satu daripada pertimbangan yang perlu disukat dan ditimbang oleh parti-parti politik. Justeru dengan jumlah 200,000 daripada 5.2 juta pengundi muda jika gagal disukat dengan baik keperluan dan kehendak mereka bakal menyebabkan kehilangan pengaruh sesebuah parti politik itu.

Sebenarnya kuasa orang muda khususnya mahasiswa universiti dalam menentukan klimaks politik tanah air bukanlah perkara baru. Waima kejayaan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat juga dikatakan memperoleh undi yang melebihi pencabarnya kerana sokongan orang muda.

Kuasa undi golongan mahasiswa dan belia amat ditagih oleh parti-parti politik kerana sokongan mahasiswa serta belia mencerminkan parti politik itu masih relevan serta diterima oleh masyarakat. Pemikiran mahasiswa yang matang dalam membuat justifikasi menjadikan faktor undi mereka dianggap bernilai.

Dalam era terkini, maklumat mengenai idealisme dan fahaman-fahaman bukanlah sesuatu yang asing bagi orang muda. Di mana-mana sahaja orang muda di seluruh dunia boleh mengakses serta berkomunikasi mengenai idealisme mereka. Sebab itu salah satu usaha yang perlu dilakukan oleh parti politik ialah menyediakan pentas untuk orang muda berpencak akan idea-idea yang mereka peroleh daripada pelbagai sumber.

Seandainya kita bandingkan keadaan politik pada zaman pra kemerdekaan, idea-idea perjuangan ketika itu diperoleh daripada pengalaman aktivis yang belajar di luar negara sama ada dari Barat, Mesir atau pun Indonesia. Kini faktor globalisasi membuka seluas-luasnya ruang kepada orang muda untuk memperoleh idea-idea dari seluruh dunia dan ia tidak terhad.

Satu persoalan yang yang boleh dibahaskan ialah sejauh mana idealisme mahasiswa dan orang muda mampu disesuaikan dengan aspirasi kebangsaan?

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Ia dibina berlandaskan sejarah. Penghujahan mengenai negara ini wajar berlandaskan sejarah yang membentuk hubungan erat antara tiga kaum terbesar serta etnik-etnik Borneo yang bergabung membentuk Persekutuan. Justeru memahami sejarah, akan memudahkan orang muda memahami aspirasi kebangsaan atau nasional.

Pertembungan idea liberalisme yang didukung oleh Barat dengan pemegangan idea aspirasi kebangsaan dilihat akan membentuk konflik yang perlu disesuaikan mengikut senario dalam negara. Kecenderungan untuk mengikut serta mengambil terus idea-idea demokrasi serta fahaman-fahaman luar akan menghakis kefahaman mengenai aspirasi kebangsaan yang menjadi tunjang pembentukan Malaysia.

Misalnya keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di dalam Perlembagaan Malaysia dibentuk atas nilai sejarah dan bukan bersifat aparteid seperti yang dihujahkan oleh mana-mana pihak. Apabila menyedari daya kompetitif bumiputera yang terkebelakang dalam aspek ekonomi serta pendidikan, Tun Abdul Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk mengubah keadaan ekonomi bumiputera supaya mampu bersaing dengan kaum-kaum lain.

Idea ini dibentuk atas kesedaran aspirasi kebangsaan dan sudah pasti ia akan ditohmah serta ditolak oleh golongan liberalis berdasarkan idea keadilan sama rata yang dipelopori oleh Barat.

Dalam memahami keinginan orang muda, ia perlu hadir dengan pengiktirafan suara mereka. Orang muda mahukan penglibatan mereka dalam penggubalan dasar serta polisi negara. Mereka mahukan penyertaan dan tugas serta peranan kerajaan menyediakan platform ini.

Penyertaan yang diperlukan oleh golongan muda atau mahasiswa ini penting supaya mereka berasa dihargai dan berpendapat bahawasanya masih ada pihak yang mendengar suara hati mereka. Golongan orang muda atau mahasiswa bukan sahaja mahukan idea mereka diiktiraf tetapi mahukan penyertaan serta penglibatan mereka diambil kira oleh pihak pentadbir.

Kerana itu mungkin bagi mahasiswa kewujudan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan menjadi medan terbaik untuk terlibat dalam penentuan polisi negara yang melibatkan dunia mahasiswa serta masyarakat Malaysia amnya. Langkah menyediakan platform ini menterjemahkan makna 'zaman kerajaan mengetahui semua sudah berakhir'.

Pengiktirafan seperti ini menjadikan penghakupayaan mahasiswa lebih dihargai serta diperlukan dalam menggubal polisi serta memperbaiki polisi yang sedia ada. Ia masih menjadi pentas yang relevan untuk melibatkan mahasiswa dalam masa yang sama mendidik mahasiswa supaya menyalurkan pandangan dengan cara penuh kehormat serta berhikmah.

Pendekatan yang diguna pakai oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak seperti memperkenalkan 1M4U menarik perhatian orang muda semula ke dalam arus perdana. Sebelum ini ternyata banyak bakat orang muda serta keinginan orang muda gagal diterjemahkan dengan baik.


Kerja-kerja sukarelawan yang begitu penting dalam membentuk jati diri orang muda yang matang serta bertanggungjawab menjadi kayu ukur kematangan golongan mahasiswa serta belia dilihat begitu penting dalam menterjemahkan penyertaan orang muda.

Ini langkah permulaan yang baik dan ia diperlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Barangkali apa yang penting bagi orang muda serta golongan mahasiswa bukanlah mengukur pihak mana yang mampu memberi dan memenuhi kemahuan orang muda tetapi ia lebih kepada bagaimana platform yang diberikan mampu memenuhi keperluan orang muda.

Golongan mahasiswa dan orang muda mula menolak 'kebangsawanan' pemimpin sebaliknya menerima pemimpin yang boleh duduk bersimpuh dan berbual seperti tiada batasan protokol. Inilah yang dimahukan daripada kalangan orang muda.

Gaya kebangsawanan ini sudah tidak relevan dan ditolak oleh golongan mahasiswa dan pemimpin yang diidamkan ialah dalam kalangan yang boleh minum teh tarik, dan berborak di warung berbanding di coffee house.

Lihat sahaja pendekatan kempen yang dilakukan oleh Obama, pendekatan beliau yang santai akhirnya membawa persepsi yang positif dalam kalangan pengundi muda di sana bahawa bakal Presiden mereka ialah mudah didekati. Ada dalam kalangan ahli politik yang berhujah, usia bukanlah penentu kemenangan calon parti politik.

Tarbiyah PR merosakkan anak muda !

Namun senario yang berlaku terkini ialah golongan belia serta mahasiswa kelihatan bosan dengan wakil rakyat yang sudah berusia dan gagal memberikan sumbangan terbaik pada rakyat. Wakil rakyat yang seperti inilah wajar dipertimbangkan oleh kedua- dua parti adakah masih sesuai diturunkan ke dalam gelanggang pilihan raya berasaskan umur mereka dan persepsi yang bakal timbul dalam kalangan pengundi muda adakah mereka ini mampu menjana dan mendukung aspirasi serta keinginan orang muda.

Tuntasnya, dalam menarik hati undi golongan mahasiswa yang berjumlah kira-kira 200,000 pengundi dari jumlah orang muda iaitu 5.2 juta, satu usaha komprehensif perlu dilakukan. Orang muda amat mementingkan idealisme dan demokrasi serta menolak politik yang tidak matang seperti caci mencaci dan melabel pihak seteru.

Dalam menghadapi cabaran globalisasi, pertembungan idea-idea baru, nilai aspirasi kebangsaan atau nasional tetap masih penting dipertahankan. Ini kerana kelahiran Malaysia adalah dari sejarah yang melambangkan toleransi serta penerimaan antara kaum dan ini harus terus dipelihara.

0 comments:

share2