Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 26, 2012

Tawaran Mubaligh Nasrani Hanya Sekadar Umpan

Kemewahan yang ditawarkan mubaligh Kristian kepada Orang Asli di negeri ini hanya untuk mengaburi mata dan bersifat sementara.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, kemewahan itu belum tentu dapat menampung keperluan Orang Asli secara keseluruhannya.

“Kemudahan dan kemewahan yang ditawarkan oleh mubaligh Kristian hanya untuk menarik perhatian Orang Asli supaya mereka bertukar agama dan kemudian keperluan mereka mungkin akan diabaikan.

“Apa yang berlaku sekarang bukan sesuatu yang membimbangkan, malah saya yakin pihak Muip mampu menanganinya,” katanya semalam.

Katanya, bantuan yang dihulurkan kepada Orang Asli di negeri ini meliputi kemudahan bersifat kesinambungan.

“Kita akan membantu Orang Asli dari awal mereka memeluk Islam hingga mampu untuk berdikari. Sebagai  contoh, kita menyediakan bantuan saraan mualaf selama tujuh tahun di mana setiap pemohon akan menerima sebanyak RM300 sebulan dan RM50 bagi setiap
tanggungan.

“Selepas tamat tempoh tujuh tahun itu, jika mereka masih tidak mampu menanggung keluarga, boleh membuat permohonan kepada Muip untuk melanjutkan bantuan,” katanya.


Wan Abdul Wahid berkata, pihaknya juga sudah menambah seramai 30 pembantu penggerak yang bakal ditempatkan di perkampungan Orang Asli dalam masa terdekat.

“Semua pembantu penggerak yang terdiri daripada Orang Asli sendiri sudah menjalani latihan selama setahun di Yayasan Pahang dan dibekalkan dengan ilmu agama untuk membimbing rakan lain.

“Saya yakin dengan penambahan pembantu penggerak ini, kita mampu mengawal kegiatan mubaligh Kristian serta menghalang mereka daripada terus meracuni fikiran Orang Asli,” katanya.

0 comments:

share2