SEJAK tertubuhnya "negara Israel" di tanah air Palestin pada 1948, Israel telah melakukan ratusan siri pembersihan etnik dan mahu mengusir Palestin dari tanah air mereka. Ini bukan peperangan. Ini pembersihan etnik seperti yang berlaku di Eropah Timur semasa Perang Dunia Kedua termasuk di Bosnia pada awal 1990-an. Bukanlah peperangan namanya kalau kekuatan antara kedua-dua pihak bagai langit dengan bumi.
Israel menggunakan senjata pembunuh termoden termasuk penangkis berteknologi tinggi berbanding Palestin yang masih menggunakan senjata konvensional dan selebihnya menggunakan lastik. Dalam serangan terbaru, 168 orang awam Palestin terbunuh dan lebih 1,000 orang lagi cedera. Tetapi di sebelah Israel hanya mengorban lima tentera. Daripada angka ini, siapakah yang melakukan kekejaman?
Khamis lalu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas. Walaupun semasa menghadiri sidang Kemuncak ASEAN ke 21 di Phnom Penh, Kemboja minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berjanji menghentikan serangan, reaksinya terhadap gencatan senjata adalah berbeza. Obama tetap berat sebelah apabila berkata, "Israel perlu mempertahankan diri." Ini memberi gambaran bahawa Israel diserang bukan menyerang yang mengakibatkan 168 orang awam Palestin terbunuh.
AS memang terlibat dalam perang ke atas Palestin. Buktinya AS menyumbangkan sebanyak AS$290 juta kepada Israel untuk membangunkan sistem penangkis peluru berpandu, Iron Dome. Sistem penangkis ini digunakan dalam serangan terbaru untuk menangkis serangan balas pejuang Hamas. Israel kini menggunakan lima bateri pelancar yang menelan belanja AS$50 juta dan memerlukan tujuh lagi untuk mendepani Hamas.
Pembiayaan tambahan bateri dan pelancar penangkis itu ditanggung oleh AS. Obama telah memohon kepada Kongres pada 2011 untuk menyalurkan dana kepada Israel bagi mempertingkatkan sistem pertahanannya. Semua ini membuktikan bahawa dalang di sebalik pembersihan etnik di Palestin adalah AS. Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dalam reaksinya tidak yakin gencatan senjata ini akan bertahan lama. Ini terbukti apabila tentera Israel membunuh seorang awam Palestin dan mencederakan sembilan yang lain. Israel telah mencabul gencatan senjata yang hanya bertahan sehari.
Sejak tercetus konflik Israel - Palestin pada 1948, lebih 100,000 orang awam Palestin terbunuh dan dianggarkan 1.8 juta cedera. Angka ini tidak sepadan dengan hanya 3,700 tentera Israel yang terbunuh dalam konflik tersebut. Perkara ini berlaku kerana Israel menyerang dan melakukan pembersihan etnik.
Lautan darah
Lihat sahaja apa yang berlaku di kem pelarian Sabra dan Shatila di sempadan Lebanon pada 16 hingga 18 September 1982. Kem itu menjadi lautan darah apabila rejim zionis membunuh lebih 3,000 orang awam sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, tidak ada seorang pun pejuang Palestin di situ. Kekejaman itu berterusan apabila Israel dinaungi oleh kuasa besar seperti AS. Di Sabra dan Shatila adalah pembersihan etnik walaupun dinafikan oleh rejim zionis.
Dalam serangan terbaru Israel menafikan mereka mensasarkan orang awam, sebaliknya kepada pejuang Hamas. Penafian ini sama dengan serangan di kem Sabra dan Shatila, alasannya mereka memburu pejuang Palestin tetapi yang dibunuh adalah wanita dan kanak-kanak.
Serangan di Masjid Dahmash pada 11 Julai 1948 juga serupa. Pasukan komando Israel yang diketuai oleh Moshe Dayan telah membunuh lebih 100 orang awam yang sedang sembahyang. Katakan apakah ini bukan pembersihan etnik? Moshe Dayan yang kemudian menjadi Menteri Luar Israel digelar "syaitan mata satu" kerana sebelah matanya cedera dan memakai penutup mata di majlis rasmi. Dia telah menyumbangkan banyak catatan berdarah pembersihan etnik ketika mengetuai pasukan tentera Israel.
Kenyataan Obama bahawa Hamas pengganas ternyata berat sebelah kerana statistik menunjukkan hanya lima tentera Israel yang terbunuh berbanding lebih 168 orang awam Palestin terkorban.
Obama terus menafikan hak Palestin yang menuntut status negara di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Walaupun menjadi sasaran pembersihan etnik, Palestin terus dihalang untuk mendapat status negara bukan anggota di PBB. Semua ini kerana status itu akan membolehkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague mendakwa Israel melakukan jenayah perang.
Kerana itu yang menjadi kunci kekuatan Palestin adalah Mesir. Negara yang baru merdeka dari menjadi proksi AS ini adalah faktor kebangkitan Palestin. Perubahan politik Mesir yang menyaksikan tumbangnya diktator pro Israel, Hosni Mubarak menjanjikan harapan kepada Palestin.
Kemenangan Morsi menggugat Israel apabila secara terbuka beliau menyatakan sokongan kepada Palestin dan pejuang Hamas. Keadaan ini telah mengubah geopolitik Asia Barat apabila Palestin mendapat tenaga baharu daripada jiran seperjuangan seperti Mesir. Ketika era rejim Hosni Mubarak yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel, Palestin dijadikan mangsa penindasan Mesir.
Janji Obama tidak membawa makna berbanding kewujudan "Mesir baharu" yang lebih dekat dengan perjuangan Palestin di Gaza. Malah sepenggal yang lalu Obama tidak memperlihatkan usaha yang bersungguh-sungguh membela Palestin yang dizalimi Israel. Sebaliknya kenyataan awal Obama semasa Palestin diserang baru-baru ini menyalahkan Palestin dan melabelkan Hamas sebagai pengganas yang mengancam Israel.
Menebus derhaka
Ketika rakyat Palestin menderita diserang Israel pada 2008 yang mengakibatkan lebih 250 orang terbunuh, beribu tan makanan untuk Palestin terbiar dan rosak apabila Hosni Mubarak menutup sempadannya. Kerana itu perkara pertama yang boleh dilakukan Mesir ketika ini ialah membuka sempadan untuk membolehkan dunia menyalurkan bantuan kepada Palestin.
Sebelum perancangan jangka panjang untuk membebaskan Palestin, usaha jangka pendek yang diperlu dilaksanakan adalah membuka pintu masuk melalui Mesir. Morsi mesti menebus derhaka Presiden Anwar Sadat kepada saudara Islamnya di Palestin apabila menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 26 Mac 1979. Anwar Sadat dibunuh pada 6 Oktober 1981 ekoran bantahan perjanjian damai dengan Israel. Bermula dengan Anwar Sadat hingga Hosni Mubarak, Presiden Mesir adalah kalangan tentera dan mereka mendapat dana khas daripada AS.
Bantuan menerusi laut seperti sebelum ini telah disekat oleh Israel dan sukarelawan dari pelbagai negara telah dibunuh. Maka pilihan utama adalah jalan darat menerusi sempadan Mesir. Ketika ini Palestin menderita ketiadaan air bersih, makanan, perubatan, sumber tenaga dan juga bahan-bahan binaan untuk membangunkan semula kediaman yang dimusnahkan Israel. Dengan adanya laluan di sempadan Mesir, bantuan dunia kepada Palestin dapat diuruskan dengan lebih berkesan. Kunci untuk membebaskan Palestin adalah kesepakatan Islam khususnya di Asia Barat. Kahadiran Mesir telah menunjukkan petanda positif kepada Palestin. Kesediaan Iran dan Jordan dengan sendirinya memberi tekanan kepada Israel. Obama tidak akan membuat sesuatu untuk Palestin kerana itu bertentangan dengan dasar Yahudi. Obama akan meneruskan dasar luar AS yang menyokong Israel dan menindas Palestin.
0 comments:
Post a Comment