Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 8, 2012

Retorik Janji PKR


BARU-baru ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi laporan media melancarkan papan iklan dan poster kempen baru parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Poster yang bertemakan 'Pakatan Harapan Rakyat' itu antaranya turut mempromosikan janji-janji parti itu kepada rakyat seperti menurunkan harga kereta, menurunkan harga minyak dan sebagainya termasuk menayangkan gambar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpakaian 'marhaen' bersama-sama kanak-kanak yang menaiki sebuah basikal tua.

Barangkali itulah strategi PKR, menggunakan apa yang ada termasuk kanak-kanak untuk meraih sokongan pengundi terhadap parti mereka.

Namun, daripada papan iklan dan poster kempen PKR itu, terdapat satu yang menarik perhatian ialah poster menunjukkan tiga orang muda dengan tulisan tertera 'Harapan Rakyat, Pendidikan Percuma, Hapuskan PTPTN' yang mana poster tersebut seolah-olah disasarkan kepada golongan pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Barang kali orang ramai yang mendengar janji tersebut sudah pastinya akan tertarik dengan tawaran tersebut yang mana mereka menganggap ia satu perkara yang luar biasa yang banyak memberikan manfaat kepada mereka khususnya para penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini.

Yalah, belajar dibiayai dengan percuma, lepas belajar, dapat kerja, tak perlu fikir-fikir lagi nak mengatur kewangan untuk membayar apa-apa pinjaman pelajaran. Gaji yang diperoleh setiap bulan masuk terus ke dalam kocek.

Pemikiran sedemikian pastinya wujud di kalangan pelajar IPT sebaik sahaja mendengar pemimpin pakatan mendendangkan janji berkenaan dalam setiap ceramah mereka di merata ceruk di negara ini.

Namun, bagi mereka yang membuat penilaian terhadap janji tersebut, pastinya mereka merasa sangsi dengan tawaran PKR itu yang sebenarnya hanyalah satu 'gula-gula' sahaja dengan bertujuan untuk melariskan 'muka-muka' pemimpin pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, sebagai contoh, penghapusan pinjaman PTPTN akan memberi kesan kepada kemampuan kewangan Kerajaan Pusat kerana terpaksa menyalurkan peruntukan yang tinggi bagi memastikan operasi universiti-universiti awam dapat meneruskan operasi mereka dari segi pentadbiran, pembayaran gaji kakitangan termasuk kos pembinaan atau menaik taraf kemudahan universiti.

Ini kerana, terdapat kira-kira 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara yang mana sebilangan besar kewangan utama mereka adalah bergantung kepada bayaran yuran yang dikutip daripada para pelajar manakala sebahagian lagi diperoleh menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat.

Jika pakatan pembangkang berjanji mahu memansuhkan PTPTN dan memberi pendidikan tinggi percuma, ia membawa maksud bahawa sumber kewangan utama IPTA akan bergantung sepenuhnya kepada peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

Namun, sekiranya berlaku pertambahan pelajar di IPTA seluruh negara pada masa depan, ia bermakna Kerajaan Pusat perlu menambahkan lagi kemudahan yang terdapat di institusi-institusi berkenaan.

Maka, untuk memastikan kemudahan tersebut supaya selari dengan pertambahan pelajar, maka peruntukan kewangan perlu ditambah oleh Kerajaan Pusat mungkin melebihi kadar yang sebelumnya.

Bagaimanapun, apabila bercakap mengenai pertambahan peruntukan, pasti ada pandangan bahawa ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk menyediakannya. Namun, sedar atau tidak bahawa peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan bukanlah tertakluk kepada IPTA semata-mata.

Sebaliknya, kerajaan bertanggungjawab menyalurkan peruntukan kewangan secara seimbang dalam semua sektor yang wujud di negara ini sama ada dalam soal menguruskan pentadbiran, ekonomi, sosial rakyat, pertahanan dan sebagainya bagi memastikan negara dan rakyat terus berada pada landasan pembangunan yang betul menjelang tahun 2020.

Ini kerana, penyaluran peruntukan kerajaan sekiranya tidak diagihkan secara seimbang, ia semestinya akan memberi implikasi besar terhadap pertumbuhan negara dan rakyat yang mana perkiraannya tidak boleh dibuat berasaskan faktor meraih populariti politik semata-mata.

Ini hakikat yang perlu diterima dan difahami oleh semua pihak, bukannya seperti PKR dan sekutu mereka, DAP dan Pas yang membuat janji yang dilihat bersifat sementara serta emosional bagi menarik sokongan rakyat semata-mata.

Malah, berdasarkan kepada buku Jingga yang dikeluarkan pakatan pembangkang, mereka tidak menyatakan secara jelas apakah usaha mereka untuk meninggikan lagi pendapatan kerajaan bagi membolehkan janji tersebut dilaksanakan.

Bagaimanapun, contoh yang lebih jelas dapat dilihat mengenai janji pakatan pembangkang memberikan pendidikan tinggi percuma itu boleh dianggap satu 'janji kosong' kerana mereka sepatutnya melaksanakannya terlebih dahulu pendidikan tinggi percuma dan menghapuskan pinjaman PTPTN di negeri yang dikuasai mereka seperti di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Di Selangor sendiri, terdapat dua buah institusi pengajian tinggi di bawah kerajaan negeri iaitu Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang mana pakatan pembangkang boleh melaksanakan janji mereka untuk memberikan pendidikan percuma dan membiayai sepenuhnya pengajian pelajar di kedua-dua institusi itu sekiranya mereka benar-benar mahu menjaga kebajikan rakyat.

Malangnya, mereka tidak melaksanakannya janji itu kononnya ia hanya akan dilakukan jika mereka berjaya menawan Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

Kalau benar pakatan pembangkang serius mahu menjaga kebajikan rakyat, apa masalahnya mereka lakukan dahulu di KUIS dan Unisel, mengapa mereka perlu tunggu untuk menguasai Kerajaan Pusat. Sebenarnya tidak usahlah berdolak-dalik mengenai janji ini, kalau tidak boleh laksanakan, usah berjanji.

Hakikatnya, apa yang dilihat ialah prestasi Unisel yang dilaporkan mengalami kerugian apabila syarikat yang mengendalikan universiti itu, Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. (PIYSB) dilaporkan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM37.63 juta pada tahun 2010.

Berdasarkan Laporan Ketua audit Negara 2011, mendapati kerugian sebelum cukai itu merupakan peningkatan sebanyak 198.1 peratus berbanding RM12.62 juta pada tahun 2009 yang antaranya berpunca daripada bilangan kemasukan pelajar yang berkurangan.

Malah laporan audit itu juga turut menyatakan perbelanjaan PIYSB sepanjang tempoh sama pula meningkat daripada RM83.53 juta pada 2008 kepada RM95.78 juta (2009) dan RM102.87 juta pada tahun 2010.

Berdasarkan angka tersebut, cuba kita bayangkan apa nasib Unisel jika janji pakatan pembangkang memberikan pendidikan tinggi percuma dan pemansuhan PTPTN itu dilakukan, barangkali statistik kerugian sebelum cukai itu mungkin lebih tinggi lagi melebihi angka RM37.63 juta.

Begitu juga dengan pendapatan Unisel, barangkali juga tiada langsung dicatatkan.

Daripada perkembangan tersebut, sewajarnya rakyat dapat menilai apa maksud sebenarnya janji-janji pembangkang ini. Contoh yang jelas mengenai kepincangan mereka menguruskan negeri telah pun wujud, bagaimana pula keadaannya jika mereka menguasai Putrajaya.

0 comments:

share2