Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 8, 2012

Lynas - Kepentingan Politik Peribadi Mengatasi Fakta


JIKA berdasarkan fakta saintifik, projek Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang yang disahkan tidak melanggar mana-mana peraturan di dalam mahupun di luar negara oleh enam entiti bebas sebelum ini, sepatutnya telah lama memulakan operasinya.

Projek itu telah menarik ramai pembeli dan juga rakan niaga termasuk satu dari Jerman yang menjanjikan pelaburan lebih RM1.5 bilion untuk menguruskan sebuah kilang yang akan memerlukan sekitar 1,200 pekerja.

Sementara itu, syarikat-syarikat pembekal telah membina kilang mereka lebih dekat dengan tapak Lynas antaranya dua syarikat pembekal asid yang telah melaburkan RM300 juta dan menggaji sekitar 100 kakitangan.

Dengan hasil bumi, minyak dan sumber lain yang semakin berkurangan, Malaysia sememangnya perlu meneroka ke dalam sektor ekonomi baru.

Industri nadir bumi boleh menjadi sektor pembangunan baru negara yang mampu melonjakkan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 memandangkan permintaan untuk bahan tersebut semakin meningkat saban hari.

Kehadiran loji LAMP milik Lynas di Pahang juga akan membentuk sebuah hab untuk aktiviti hiliran nadir bumi seperti televisyen, skrin komputer, telefon bimbit hinggalah kepada lampu yang menjimatkan tenaga, mesin imbasan magnetik MRI dan juga komponen kenderaan bernilai lebih AS$10 trilion (RM30.66 trilion).

Selepas memulakan operasinya, loji nadir bumi di Gebeng dijangka mampu memproses 22,000 tan nadir bumi setahun iaitu bersamaan satu perlima permintaan global seterusnya menjana pendapatan tahunan sebanyak RM4 bilion.

Pakar runding Dudley Kingsnorth of Industrial Minerals Co of Australia (IMCOA) menjangkakan permintaan untuk bahan nadir bumi akan mencecah 160,000 tan menjelang 2016 berbanding 105,000 tan pada 2011.

Sehingga kini, para pengeluar dari China telah memonopoli industri tersebut tetapi menjelang 2016, dijangkakan sekitar 60,000 tan bekalan nadir bumi dunia akan diperolehi daripada pengeluar di luar China terutamanya lombong Lynas di Barat Australia dan juga daripada MolyCorp di California, Amerika Syarikat.

Dengan nilai RM2.5 bilion, projek LAMP adalah pelaburan terbesar Australia di negara ini. Seperti mana kesan hab Petronas di Kertih, LAMP di Gebeng akan membentuk sebuah pusat pembangunan untuk kawasan sekitarnya.

Projek LAMP juga bakal memberi nafas baru kepada pembuat komponen kenderaan di Taman Automotif Pekan serta pengeluar komponen elektronik lain dan dijangka akan membawa masuk bersamanya pelbagai industri teknologi tinggi lain ke negara ini dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, sekali lagi politik nampaknya telah mengaburi semua fakta dan menghalang semua usaha pembangunan yang diusahakan demi kesejahteraan rakyat.

Sesetengah parti dan ahli politik didakwa telah menakut-nakutkan sekumpulan penduduk setempat agar berterusan menentang operasi kilang tersebut sehinggakan permulaan operasinya terpaksa ditangguhkan sebelum ini.

Melupakan sepenuhnya fakta saintifik sedia ada yang telah disahkan oleh enam pihak bebas iaitu Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), panel pakar akademik, jawatankuasa bebas, pakar Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC), projek nadir bumi itu tetap digambarkan tidak selamat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Akibat wayang politik yang cuba mengatasi fakta sains, Malaysia mungkin bakal kerugian besar kerana tindakan itu akan menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) dan keyakinan pihak luar menjalankan perniagaan di negara ini.

Seorang Ahli Parlimen pada 19 Jun lalu ada menyebut di Dewan Rakyat bagaimana kebenaran dan fakta sains berterusan cuba 'ditewaskan' melalui permainan wayang politik khususnya dalam kes loji Lynas di Gebeng.

Namun, bagai meludah ke langit, permainan politik golongan beragenda peribadi itu akhirnya memakan diri apabila salah seorang daripada ahli pasukan mereka sendiri yang juga seorang pakar nuklear, bersetuju bahawa kilang nadir bumi itu selamat.

Dengan pelbagai pihak bebas dari dalam dan luar negara menyokong operasi Lynas di Malaysia berdasarkan fakta-fakta saintifik, mengapa masih ada yang melayan wayang politik dan bangkangan membuta tuli golongan penghalang pembangunan negara itu?

Tiba masanya untuk rakyat berfikir semula, Malaysia mungkin kerugian teruk dalam sebuah pelaburan besar jika potensi industri nadir bumi tidak digarap sepenuhnya akibat ditenggelami permainan politik.

Oleh itu, orang ramai jangan terlalu mudah ditipu segelintir 'pengacau' dan guna akal masing-masing dalam menilai berdasarkan fakta dan bukti sahih yang dikemukakan pihak yang benar-benar pakar dalam bidang tersebut.

Jangan dilayan hujah tin kosong yang menyembur air liur semata-mata dan memutar fakta demi mengelirukan dan menakutkan rakyat agar menentang sesuatu usaha kerajaan, seterusnya membentuk persepsi negatif terhadap pemerintah negara.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak melihat trend itu berlaku berikutan politiking di Malaysia telah mencapai satu tahap yang tidak lagi memikirkan kesejahteraan rakyat mahupun ekonomi negara.

Menurut beliau, permainan politik nampaknya tetap diteruskan pihak tertentu walaupun selepas sesuatu projek itu telah dibuktikan selamat dan tiada masalah.

"Senario sebegini umpama mengambil langkah ke belakang yang hanya akan menyebabkan negara menghadapi banyak cabaran dan kerugian.

"Kita sepatutnya mara ke hadapan kerana amat rugi jika sesuatu projek rakyat terbatal akibat politiking. Dalam jangka pendek, perbuatan ini membuang banyak masa sementara jangka panjang meningkatkan kos dan membazir wang rakyat," tegasnya.

Bagi beliau, kecuali ada keraguan timbul melalui pendedahan fakta saintifik, sesuatu projek untuk kesejahteraan rakyat tidak wajar ditangguh, dilengah mahupun dibatalkan kerana akhirnya rakyat juga yang rugi.

Tambahnya, kerugian akibat pembatalan sesuatu projek semata-mata kerana politik bukan sahaja menyebabkan perbelanjaan yang telah dikeluarkan hangus begitu sahaja malahan pampasan mungkin perlu dibayar dan semuanya itu menggunakan duit rakyat.

Beliau menegaskan, jika sesuatu projek itu telah terbukti selamat dan tiada masalah terutama sekali jika disahkan pakar bebas melalui hujah-hujah saintifik, tidak perlu dilayan lagi hujah kosong yang menggunakan sentimen, emosi, kepentingan politik dan menolak fakta sains.

"Kalau didengar juga hujah tidak saintifik itu, bagaimana kita mahu maju ke depan? Saya kesal senario menolak hujah saintifik masih berterusan dan diganti pula dengan hujah retorik dan agenda populis untuk menarik sokongan.

"Terlalu banyak politiking akan membawa rakyat undur ke belakang dan dunia akan melihat negara kita tidak stabil terutamanya apabila berita-berita tidak tepat disensasikan. Akhirnya, keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia akan jatuh," ujarnya.

Mohamed Mustafa berharap pihak yang menggunakan sentimen politik untuk keuntungan peribadi itu dapat menilai kembali kesannya terhadap rakyat dan negara serta bertanggungjawab di atas perbuatan mereka.

"Kemelut politik seperti tiada kesudahan sedangkan kita tiada masalah besar seperti pemerintahan diktator, penindasan dan lain-lain yang dihadapi negara-negara lain.

"Memang kita ada kelemahan-kelemahan kecil yang boleh diperbaiki tetapi tidak perlulah sehingga mahu menggambarkan Malaysia sudah di ambang kehancuran," katanya.

0 comments:

share2