BEBERAPA hari lalu, Mahkamah Vietnam menjatuhkan hukuman sehingga enam tahun penjara ke atas dua orang pemuzik terkenal atas kesalahan menyebarkan propaganda antikerajaan. Dua orang pemuzik itu ialah Viet Khang atau nama sebenar ialah Vo Minh Tri, 34 dan Tran Vu Anh Binh, 37.
Viet Khang dijatuhkan hukuman selama empat tahun manakala Anh Binh enam tahun. Selesai menjalani hukuman penjara, mereka turut dikenakan dua tahun 'tahanan rumah' atas pengakuan mempunyai hubungan dengan sebuah pertubuhan politik yang diharamkan.
Walaupun kedua-duanya dikatakan tidak mempunyai hubungan politik, mereka sebenarnya didapati bersalah menyebarkan propaganda menghina tindakan polis kerana menghalang kumpulan aktivis anti-China dan menyelar program kerajaan yang tidak mempedulikan keadilan sosial rakyat bawahan.
Kerajaan mendakwa kedua-dua pemuzik terkenal itu atas alasan Viet Khang menulis lirik lagunya mengecam polis manakala Anh Binh pula menyanyikan beberapa buah lagu yang bertemakan tindakan memenjarakan pejuang rakyat berhubung konflik perebutan sebuah pulau di Laut China Selatan antara Vietnam dan China.
Tentunya, pemenjaraan itu dilihat sebagai sesuatu yang patut kerana kedua-dua artis itu adalah 'pengkhianat negara.' Dalam mana-mana sistem politik, sesiapa yang dianggap 'pengkhianat negara' akan dikenakan tindakan keras, termasuk dihukum mati.
Sesebuah negara boleh melucutkan kerakyatan kepada seseorang yang dianggap sebagai 'pengkhianat' jika orang berkenaan tidak bersedia untuk dihadapkan tindakan mahkamah. Kebiasaannya, mereka melarikan diri ke negara tertentu untuk mendapatkan perlindungan sementara ataupun kekal sebagai 'suaka'.
Ada juga atas alasan tertentu, mereka sendiri sedia melucutkan taraf kewarganegaraan asalnya kerana ingin mendapat kerakyatan negara lain, terutamanya negara yang dilihatnya mampu memberikan keuntungan material ataupun psikologi. Mereka tetap boleh dianggap sebagai 'pengkhianat negara' tetapi tahap pengkhianatannya tidaklah sedarjat dengan mereka yang benar-benar mengkhianati negaranya sendiri tetapi tidak sanggup mengambil keputusan sukarela melucutkan kerakyatan asal.
Kita pernah mendengar ada desakan agar kerajaan melucutkan kerakyatan kepada seseorang yang dilihat sentiasa memburuk-burukkan pemimpin yang berkuasa kerana percaya selagi kuasa tidak dikawal oleh individu berkaitan, kerajaan yang memerintah bersikap zalim. Pendirian tersebut menjadi semakin kasar dan kesat apabila turut mengkreatifkan dakwaan 'zalim' atau 'tidak adil' sebagai tindakan diskriminasi bagi mengekalkan kuasa.
Wilayah pengaruhnya bukan setakat menggunakan pentas-pentas politik dalam negara, bahkan menggunakan pelbagai platform antarabangsa mengutuk dan mencipta propaganda bagi mendapat sokongan asing. Bahkan, ada ketikanya sanggup mengemis sumber kewangan daripada pertubuhan-pertubuhan tertentu demi kelangsungan matlamatnya bagi membiayai program-program dakyah dalam negeri.
Dalam sejarah Islam tercatat pengkhianatan berlaku pada peringkat awal penyebaran Islam. Ubay bin Ka'ab menjadi 'pelakonnya' dengan mengkhianati pasukan Islam dalam Perang Uhud sehingga kemenangan yang sudah di depan mata akhirnya sirna. Akibat perbuatan khianat yang dilakukan satu orang, jutaan orang akan menanggung derita dan kegagalan yang diakibatkan oleh perbuatan khianat.
Perbuatan khianat juga memercikkan implikasi kepada dua dimensi kehidupan iaitu dimensi spiritual dan dimensi sosial. Perbuatan khianat dalam dimensi spiritual menyerlahkan sikap melanggar dan menentang ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Orang yang berbuat khianat, sama ertinya dengan mengkhianati Allah dan Rasul. Hal ini ditegaskan Allah dalam firmannya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui" (Al Anfal 27).
Selain menanggung dosa, perbuatan khianat juga menimbulkan bahaya kepada struktur masyarakat. Kesan yang timbul antara lain, memudaratkan dan menghancurkan tata nilai dan pegangan yang dianut masyarakat, mencetuskan permusuhan dan perbalahan yang tiada berkesudahan antara pengkhianat dan orang yang dikhianati dan menimbulkan sikap curiga mencurigai di kalangan masyarakat.
Seperti ditulis oleh seorang tokoh strategi klasik China, Sun Tzu, kemenangan sebenar dalam sesuatu peperangan adalah kerana berjaya mengenali musuh dengan tepat. Mengenali musuh dengan tepat itu mampu menakluk minda mereka dan ada ketikanya, dengan kekuatan propaganda, musuh itu dapat ditakluk secara perlahan-lahan tanpa melalui peperangan terbuka atau fizikal.
Menurut Pengasas Pergerakan Islam Palestin 1948, Sheikh Raed Solah, sesebuah pertubuhan yang menerima dana daripada pertubuhan atau individu yang bergerak atas semangat Yahudi, adalah pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara. Beliau membuktikan bahawa kejatuhan Empayar Turki Uthmaniah adalah perancangan jahat Yahudi untuk menghancurkan Islam kerana keengganan Sultan Abdul Hamid II memberikan mereka sebahagian wilayah Islam bagi menubuhkan sebuah negara Isreal.
Bagaimanapun, kehadiran Mustapha Kamal Attartuk daripada kelompok muda Turki dengan tipu muslihatnya, akhirnya berjaya meruntuhkan empayar Islam tersebut, yang berjaya ditakluki oleh Muhammad al-Fateh pada tahun 1453M daripada taklukan penganut Kristian. Mustapha Kamal Attartuk mempunyai darah keturunan Yahudi dari bapanya. Kerana itulah Attartuk boleh mencapai kemenangan secara rampasan kuasa apabila dibantu oleh keturunan Yahudi dari segi ketenteraan, peralatan dan kewangan.
Dalam proses mempengaruhi keputusan sesebuah negara, kuasa besar atau pihak asing sentiasa berusaha mempengaruhi para penguasa menerusi pelbagai cara. Mula-mula mereka mendekati pertubuhan-pertubuhan sukarela tempatan dengan menjalin hubungan baik dan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan.
Jalinan hubungan pelbagai pertubuhan itu akhirnya menyebabkan pertubuhan tempatan ikut menerima ideologi politik dan matlamat pertubuhan asing itu secara tidak sengaja. Ini akan menyebabkan pertubuhan tempatan berada dalam putaran ganas pertubuhan asing sehingga memaksakan pendirian semakin terikat dengan kehendak dan agenda pemberi dana asing itu.
Pertubuhan antarabangsa ini pula dibiayai oleh pihak tertentu termasuk mereka yang mahukan seluruh dunia memberikan pengiktirafan ke atas wilayah Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat. Semakin banyak negara Islam sebenarnya terperangkap dengan agenda tersebut, kerana Israel terus menggunakan lobinya dan kepintaran intelektual serta sumber kuasa ekonomi Yahudi dalam mempengaruhi keputusan dasar luar Washington.
Menurut wartawan terkenal The Guardian, Nick Davies, kegiatan perhubungan awam dan pemberitaan kabel (newswire) adalah sesuatu yang semakin berpengaruh sehingga menyebabkan wartawan tidak lagi menghormati prinsip kebenaran menulis berita.
Prinsip ini dilanggari oleh wartawan kerana mereka tidak lagi perlu menulis berita dengan mengutip maklumat di lapangan, semuanya sudah dihidangkan oleh firma perhubungan awam dan ini menyebabkan berita-berita semakin 'rata'. (baca, The Flat Earth News, 2009).
Bagi Gordon Corera, koresponden hal ehwal keselamatan Perbadanan Penyiaran British (BBC), selepas berakhirnya Perang Dingin, kaedah perisikan sudah banyak berubah dari pendekatan 'budaya macho'", menggunakan wanita cantik dan seksi telah berubah kepada jalinan persahabatan dan memberikan perhatian serius kepada manusia menerusi bantuan serta misi kemanusiaan. Usaha ini sedang berjalan secara senyap-senyap oleh agensi perisikan British - M16 kerana Britain tidak lagi berminat melakukan penjajahan secara fizikal. (Baca, The Art of Betrayal:Life and Death in the British Secret Service, 2012).
Kesemua bentuk 'persahabatan dan jalinan' yang memaksakan ketundukan kepada kuasa asing tidak akan mudah dilaksanakan jika rakyat sesebuah negara tidak mengizinkan diri sendiri dipengaruhi atau terikat dengan sumber luaran. Menerima dana asing akan menyebabkan penerimanya sanggup 'mengkhianati' negara sendiri kerana pembiayanya bersedia melakukan apa sahaja bentuk kekerasan sekiranya berlaku pelanggaran persetujuan tersebut.
Situasi inilah yang membimbangkan rakyat Malaysia apabila mendapat tahu ada pertubuhan dalam negara menerima bantuan asing bagi melaksanakan pelbagai aktiviti bermula dengan propaganda menuntut 'kebebasan bersuara' dan 'demokrasi liberal' hinggalah kepada menjatuhkan kerajaan yang tidak dapat memenuhi keinginan pihak terbabit. Ini semuanya dilakukan atas nama monopoli kuasa dan ekonomi.
Golongan 'pengkhianat' ini sanggup menggadaikan maruah dan kehormatan diri serta agama kerana mahukan kedudukan politik yang lebih baik. Sejarah mengajar manusia bagaimana golongan atau individu yang berusaha mencapai matlamatnya secara tidak jujur ini telah mengkhianati bangsa, agama dan negaranya sendiri. Golongan ini menjadi 'duri dalam daging' dan berusaha sehabis tenaga walaupun sedar tindakan yang diambil itu adalah paling tidak beretika.
0 comments:
Post a Comment