Mulai semalam, warganegara Malaysia khususnya pengguna komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang berpendapatan RM3,000 ke bawah berpeluang mendapatkan diskaun 50 peratus. Kadar diskaun melalui kad Komuter 1Malaysia itu dijangka melibatkan 300,000 pengguna untuk tempoh 1 November 2012 hingga 31 Oktober 2013 yang melibatkan perjalanan dari Tanjung Malim (Perak) ke Sungai Gadut (Negeri Sembilan) dan Batu Caves ke Pelabuhan Klang.
Tahniah dan terima kasih KTMB, tetapi kenapa hanya mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah? Hakikatnya, komuter menjadi pengangkutan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pendapatan. Lihatlah pelbagai jenis kereta di stesen-stesen kereta api. Alangkah baiknya jika diskaun ini meliputi semua peringkat pengguna selaras dengan matlamatnya untuk meringankan beban rakyat di samping menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Sebelum ini, untuk tempoh beberapa bulan, golongan pelajar tidak dikenakan sebarang tambang ke mana-mana destinasi asalkan mereka berpakaian seragam sekolah atau aktiviti ko-kurikulum. Mereka hanya perlu mendapatkan tiket khas di kaunter. Bagaimanapun kemudahan itu sudah ditamatkan. Langkah KTMB memperkenalkan kadar diskaun ini memang kena pada masanya lebih-lebih lagi selepas pengenalan Komuter 1Malaysia yang lebih selesa berbanding tren komuter sebelum ini.
Melalui tren baru ini, mungkin sudah tidak ada lagi rungutan komuter seumpama bas mini yang sesak bagaikan ikan sardin dalam tin, masalah pendingin hawa, gangguan masa perjalanan dan pelbagai lagi. Komuter 1Malaysia enam koc lebih selesa berbanding tiga koc sebelum ini. Jadual perjalanan juga sudah baik. Biasanya kalau perkhidmatan bertambah baik, tambang sekurang-kurangnya dikekalkan atau dinaikkan tetapi kerajaan 1Malaysia tidak berbuat demikian. Pemurahnya KTMB. Bayangkan berapa banyak kehilangan hasil yang ditanggung berikutan pemberian diskaun ini. KTMB juga perlu melihat lebih jauh berhubung masa depan perkhidmatan rel ini supaya tidak banyak gangguan operasi.
Ketika ini operasi terganggu apabila terdapat masalah bekalan elektrik, baik pulih landasan, kegelinciran gerabak dan memberi laluan kepada perkhidmatan kereta api antara bandar. Mungkin KTMB sudah pun memikirkan bagaimana mahu menambah landasan. Pada masa yang sama, kerajaan termasuk KTMB harus memberi perhatian terhadap perkhidmatan sokongan bagi setiap stesen komuter ini supaya pengangkutan awam benar-benar cekap, memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.
Di sesetengah kawasan, pengguna komuter terpaksa meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing dengan kos lebih tinggi melalui teksi, kereta sewa atau kereta sapu. Maka amat penting perkhidmatan pengangkutan awam sokongan di semua stesen komuter diberi perhatian supaya pengangkutan awam menjadi pilihan rakyat. Ingatlah di jajaran komuter ini terdapat banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menempatkan ramai pelajar.
Di samping diskaun komuter, satu lagi perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan untuk rakyat ialah kemudahan bas percuma dalam bandar yang dikenali sebagai Go-KL City. Idea ini dicetuskan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak di bawah Program Tranformasi Kerajaan (GTP) bagi mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan awam lebih baik kepada orang ramai termasuk pelancong asing. Jajaran perkhidmatan bas ini terbahagi kepada dua warna. Bagi jajaran hijau, ia meliputi KLCC-Bukit Bintang-KLCC melibatkan 13 perhentian dengan jarak keseluruhan 7.4 kilometer (km) dan tempoh masa perjalanan pula kira-kira 38 minit.
Jajaran ungu meliputi Jalan Sultan Muhammad-Bukit Bintang-Jalan Sultan Muhammad, melibatkan jarak kira-kira 6.5km., 14 perhentian bas dan tempoh perjalanan kira-kira 36 minit. Bas yang beroperasi seawal pukul 6 pagi hingga 11 malam itu mempunyai jadual kekerapan setiap lima minit pada waktu puncak, manakala 15 minit pada waktu biasa. Tahniah kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang memperkenalkan perkhidmatan ini. Sekurang-kurangnya, kehadiran SPAD dapat dirasai oleh rakyat.
Mungkin perkhidmatan seumpama ini dapat diperkenalkan bagi laluan tertentu di negeri lain. Jika tidak silap, di Pulau Pinang, bas percuma ini juga disediakan di kawasan tertentu oleh RapidPenang. Bagaimanapun kekerapannya tidaklah sehebat di Kuala Lumpur sehingga pemandu bas percuma ini akan menyarankan kepada anda menggunakan bas berbayar untuk lebih cepat.
Malangnya Go-KL City pada peringkat awal mendapat bantahan sekumpulan pemandu teksi yang mendakwa pendapatan mereka terjejas. Adakah kumpulan pemandu teksi ini mewakili ribuan pemandu lain? Sudah tentu tidak. Dalam setandan pisang, tidak semuanya elok. Inilah masalah yang perlu ditangani oleh SPAD. Cerita segelintir pemandu teksi yang umpama setitik nila terjatuh ke dalam belanga susu ini bukanlah cerita baru.
Sebenarnya, masih ramai pemandu teksi di luar sana tidak terjejas dengan Go-KL City ini. Bagi mereka masih banyak penumpang yang memerlukan perkhidmatan teksi. Kenapa harus tertumpu di kawasan yang sesak itu? Apakah ada muslihat tertentu? Sebagai rakyat, pengguna juga berhak menikmati sesuatu pada harga yang lebih menarik atau tanpa bayaran. Ini bukan soal menutup pintu rezeki mana-mana pihak. Begitu juga cerita pemandu teksi tidak menggunakan atau mengubahsuai meter tidak pernah kesudahan. Tambang teksi berkupon yang mulanya bertujuan mengelakkan penipuan juga sebenarnya boleh membebankan pengguna.
Seorang sahabat memberitahu, beliau pernah menaiki teksi dari Jalan Duta ke Hulu Klang dengan tambang RM30, lebih tinggi daripada tambang bas ekspres. Sebagai pengguna bas, sudah tentu beliau mahukan perkhidmatan ke destinasi seterusnya pada harga yang berpatutan. Pengalaman lain, ada juga pemandu yang pilih penumpang. Ketika terlibat dalam kemalangan dan terpaksa bertongkat, beliau terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan teksi. Daripada tujuh teksi tanpa penumpang yang ditahan, hanya sebuah yang sudi berhenti. Adakah teksi dikecualikan daripada mengambil orang cacat atau tidak berupaya?
Bagaimanapun tidak semua pemandu teksi yang mencekik atau menjerut leher penumpang serta tidak peduli dengan kehadiran Go-KL City ini. Dalam erti kata lain, mereka masih boleh mencari rezeki secara halal mengikut peraturan. Mungkin akan dibincangkan di ruangan minggu depan.
0 comments:
Post a Comment