Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 2, 2012

Bajet Yang Berhemah Bukan Populis


MENJELANG pembentangan Bajet 2013, perbincangan di kedai kopi, pasar tani, board room dan hentian bas banyak menyentuh tentang apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan bagi mengurus kekayaan negara pada 2013.

Ramai yang membayangkan pihak kerajaan akan merangka belanjawan bercorak populis demi memikat hati rakyat yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Oleh itu, belanjawan kali ini sangat ditunggu-tunggu setiap lapisan masyarakat, penyokong kerajaan mahupun pihak pembangkang.

Pemberian bantuan wang one-off seperti BR1M, Baucer Buku 1Malaysia pada Bajet 2012 telah meningkatkan harapan semua pihak agar bukan sahaja pemberian baucer itu diteruskan malahan ada yang menaruh harapan supaya nilai baucer digandakan ataupun tahap kelayakan dinaikkan dari RM3,000 kepada RM5,000 supaya lebih ramai dapat menikmati bantuan itu.

Di sebalik itu, ada pihak yang khuatir dengan peningkatan cukai ke atas beberapa barangan seperti rokok dan minuman arak. Pendek kata berbagai telahan menjadi igauan di kalangan rakyat. Akhir sekali, semuanya terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan 1 telah selamat membentangkan Bajet 2013 pada petang Jumaat lalu di Parlimen.

Apa yang jelas, Bajet 2013 tidak dapat memenuhi semua harapan kerana ia perlu digarap berlandaskan prinsip untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat. Negara tidak mungkin akan menjadi makmur sekiranya kerajaan membelanjakan sebahagian besar khazanah kewangan negara melalui usaha populis yang melampau yang mana akhirnya akan meningkatkan defisit Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya kerajaan mengambil langkah wajar dan berani untuk meneruskan usaha mengurangkan defisit Kerajaan Persekutuan daripada 4.3% yang dijangkakan untuk 2012 akan menurun kepada 4% bagi 2013. Usaha pengekangan defisit Kerajaan Persekutuan ini menunjukkan kewibawaan kerajaan dalam menguruskan pentadbiran kewangan negara secara berhemah dan bertanggungjawab. Sekiranya pihak kerajaan mengamalkan sikap populis dalam merangka Belanjawan 2013, sudah tentu nilai defisit Kerajaan Persekutuan akan bertambah sedangkan ia dijangka menurun pada 2013.

Sebenarnya, sejak Najib memegang tampuk pemerintahan negara, defisit Kerajaan Persekutuan menurun setiap tahun - 6.7% pada 2009 dan dijangka menurun ke tahap 4% menjelang 2013. Usaha ini menunjukkan disiplin fiskal yang diamalkan kerajaan yang dijangka terus diperbaiki agar mencapai tahap 3% pada 2015.

Di samping usaha mengekang defisit Kerajaan Persekutuan, kerajaan juga merangka beberapa inisiatif untuk mengukuhkan kadar pertumbuhan ekonomi negara ke tahap 4.5 hingga 5.5%. Pertumbuhan ekonomi negara akan dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik. Pelaburan swasta diunjurkan sebanyak RM148.4 juta bagi 2013. Pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara akan menyuntik RM3 bilion ke dalam sistem ekonomi pada tahun hadapan.

Projek berkaitan termasuk RM1.5 bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Di samping itu RM500 juta akan dibelanjakan untuk mengindahkan Sungai Klang dan RM300 juta bagi memulihkan rangkaian paip dan pembentungan.

Untuk menggalakkan pelaburan domestik dan memangkinkan penyertaan syarikat tempatan di dalam rantaian bekalan peringkat antarabangsa, pihak kerajaan menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai RM1 bilion di bawah MIDA. Dana ini diwujudkan membantu syarikat tempatan yang menceburi bidang penyumberan luar dan pemerolehan teknologi.

Syarikat yang berskala kecil dan sederhana atau PKS juga diberikan bantuan menerusi dana RM1 bilion yang akan disalurkan melalui SME Bank. Bank Islam dan SME Bank juga menyediakan RM200 juta untuk penggiat industri halal bagi membantu usaha untuk membangunkan produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport.

Bagi membantu usahawan baru menceburi bidang perniagaan, pihak PNS akan menyediakan dana pinjaman bagi membantu mereka untuk menjadi licensee atau franchisee berbagai perniagaan berbentuk licensing atau franchising. PNS bukan sahaja memberikan bantuan pinjaman wang, malahan turut memberikan khidmat nasihat dan mentoring bagi memastikan kejayaan usahawan yang terlibat.

Pembangunan usahawan bumiputera akan terus diberikan penekanan pada 2013. Sebagai contoh, 43% daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat bumiputera. Dana pembiayaan bumiputera bernilai RM1 bilion juga disediakan melalui SME Bank bagi membantu syarikat PKS bumiputera berkembang dan mempertingkat pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi domestik. Bagi membantu usahawan kecil bumiputera, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga [TEKUN] akan menerima peruntukan RM350 juta.

Fokus kedua Bajet 2013 adalah pemerkasaan pendidikan dan latihan. Peruntukan lebih daripada RM54 bilion disediakan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pendidikan dan latihan. RM500 juta akan dibelanjakan bagi meningkatkan kemahiran guru mengajar subjek teras seperti Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. RM1 bilion akan disalurkan untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian alatan dan pembinaan blok tambahan.

Untuk menyediakan tenaga kerja yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, kerajaan akan membelanjakan RM3.7 bilion bagi melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional. Di samping itu, Graduate Employability Taskforce akan diwujudkan dengan dana permulaan RM200 juta bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi.

Fokus ketiga Bajet 2013 adalah membudaya inovasi dan meningkat produktiviti. RM600 juta diperuntukkan kepada lima universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang nano teknologi, automotif, bioteknologi dan aero-angkasa. Di samping itu, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau [SPTH] akan menerima suntikan dana RM2 bilion bagi merangsang pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau.

Fokus keempat Bajet 2013 adalah konsolidasi fiskal dan mempercekap penyampaian perkhidmatan awam. Kerajaan menyasarkan supaya peratusan hutang Kerajaan Persekutuan adalah pada tahap berpatutan [tidak melebihi 55% daripada KDNK] dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3% menjelang 2015.

Fokus kelima Bajet 2013 adalah mensejahterakan rakyat. Bagi mengurangkan kadar jenayah, pihak kerajaan akan membelanjakan RM591 juta untuk menambah bilangan anggota PDRM untuk melaksanakan tugas rondaan dan pencegahan jenayah; menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal untuk memantau kawasan perumahan; menambah ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang; dan menambah kamera litar tertutup di 25 pihak berkuasa tempatan.

Sebanyak RM4.5 bilion akan dibelanjakan bagi mempertingkat infrastruktur di luar bandar. Antara lain, 441 kilometer jalan luar bandar dan desa akan dibangunkan dengan dana RM1.2 bilion. RM1.6 bilion akan digunakan utuk membekalkan air dan elektrik bagi 19,000 rumah di pedalaman.

Bagi menggalakkan lebih ramai usahawan muda, kerajaan bersetuju menubuhkan yayasan bernama New Entrepreneur Foundation dengan dana permulaan bernilai RM50 juta bagi membantu program latihan, bimbingan dan jaringan dan skim dana pinjaman mudah - Young Entrepreneur Fund juga disediakan melalui SME Bank yang ditujukan khas untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan kadar faedah pinjaman sebanyak 2 % untuk membuat pinjaman sehingga RM100 ribu yang boleh dibayar balik dalam tempoh tujuh tahun.

Bagi menangani isu penyediaan rumah harga patut bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah, pihak kerajaan melalui Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) akan menyediakan 123,000 unit rumah harga patut di kawasan strategik dengan peruntukan RM1.9 bilion. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang pertama, Skim Rumah Pertamaku akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan atau RM10,000 sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri.

Pemberian subsidi perlu diteruskan bagi yang memerlukan terutamanya yang berpendapatan rendah bagi mengurangkan impak kenaikan harga barang keperluan rumah. Oleh itu, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan pada 2013 dan diperluaskan bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Bantuan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah sebanyak RM100 yang diperkenalkan melalui Bajet 2012 juga dikekalkan di dalam Bajet 2013. Begitu juga dengan skim Baucar Buku 1Malaysia yang memberi manfaat kepada pelajar IPT dan pra-Universiti. Nilai baucar BB1M akan dinaikkan kepada RM250 berbanding RM200 pada 2012.

Pihak kerajaan juga memberikan insentif kepada pemegang pinjaman PTPTN untuk melangsaikan hutang pinjaman dengan secepat mungkin. Diskaun 20% akan diberikan kepada pemiutang yang berjaya menyelesaikan hutang dalam tempoh masa setahun dari sekarang. Penjawat awam turut diberikan bonus sebanyak 1.5 bulan gaji bagi menghargai peranan mereka dalam melaksanakan projek dan polisi kerajaan.

Bajet 2013 memberikan kesan positif kepada sebahagian besar rakyat Malaysia dan berperanan membawa Malaysia ke landasan yang lebih kukuh bagi menangani keadaan ekonomi dunia yang masih tidak keruan.

Pihak kerajaan tidak menjanjikan bulan, bintang hanya untuk kekal berkuasa. Tidak mungkin rakyat dapat hidup sejahtera sekiranya hal ehwal kewangan negara tidak diurus dengan berhemah. Oleh itu, amanah rakyat perlu ditepati bagi memakmur negara dan mensejahtera rakyat.

0 comments:

share2