Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 28, 2012

Bajet 2013 Bajet Rakyat


BAJET 2013 yang akan dibentang petang ini tetap menarik perhatian semua lapisan masyarakat. Bajet 2013 harus mengandungi cadangan-cadangan menangani kos hidup tinggi dan pelbagai cabaran ekonomi lain.

Bajet berkenaan bukan sahaja perlu memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah malah perlu juga melindungi mereka yang membentuk kelas menengah.

Sebilangan besar daripada mereka yang tergolong di dalam kelas pertengahan ialah pekerja bergaji yang membayar cukai pendapatan tetapi berasa ketinggalan kerana tidak mendapat manfaat yang ketara daripada belanjawan pada setiap tahun.

Ramai daripada kalangan yang berpendapatan pertengahan ialah penghuni bandar yang juga terjejas oleh kos kehidupan yang semakin meningkat. Walaupun pelarasan gaji telah di laksanakan namun ia tidak membantu mereka menangani kos sara hidup yang tinggi serta untuk menghadapi tekanan hidup di dalam persekitaran bandar.

Bajet 2013 diamati dengan penuh harapan bahawa rakyat Malaysia boleh diberi tahu bagaimana mereka boleh dibantu terutamanya apabila berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Rakyat Malaysia menaruh harapan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu mereka dengan apa cara yang boleh demi mengurangkan beban hidup mereka untuk membangun keluarga serta membesarkan anak-anak.

Pekerja dari kedua-dua sektor awam dan swasta sangat mengharapkan pelepasan cukai yang tinggi bagi pembayar cukai individu, isteri mereka dan anak-anak di dalam bajet yang akan di bentangkan nanti.

Dalam hal ini, Menteri Kewangan harus mempertimbangkan secara serius perkara-perkara seperti berikut:

l Pelepasan cukai pendapatan peribadi perlu dinaikkan dari RM9,000 kepada RM12,000.

l Pelepasan pasangan harus dinaikkan kepada RM6,000 manakala tanggungan terhadap anak-anak harus ditingkatkan dari RM1,000 kepada RM3,000.

l Buat masa ini anak boleh menuntut jumlah pelepasan cukai sebanyak RM5,000 jika mereka menanggung perbelanjaan perubatan ibu bapa mereka. Adalah dicadangkan pelepasan cukai di naikkan dari RM5,000 ke RM6,000 berkaitan tuntutan perubatan yang berkenaan.

l Bantuan untuk anak-kanak yang sedang menuntut di universiti harus ditingkatkan dari RM4,000 ke RM8,000 untuk menampung kos pendidikan yang tinggi.

Peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah harus digalakkan untuk membantu mengurangkan kadar jenayah di negara kita. Untuk membantu membuka peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah, syarikat yang menggaji bekas penagih dadah yang telah dipulihkan harus diberi potongan berganda terhadap gaji yang dibayar.

Ini akan membuka laluan untuk mengintegrasikan bekas penagih untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan membantu mengurangkan jenayah.

0 comments:

share2