Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 7, 2012

PENDERITAAN KANAK-KANAK DAPAT PERHATIAN



KUANTAN - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah yang ditanggung pasangan suami isteri, Abu Suffian Mashod, 44, dan Hazilina Abdul Ghani, 40, membesarkan dua anak mereka yang sakit.

Anak sulung pasangan itu, Mohd Nor Azman, 22, mengalami sindrom down sejak lahir dan tidak boleh berjalan sejak setahun lalu, manakala anak bongsu, Puteri Amira Syahirah, 3, mengalami masalah kepala besar ketika usianya dua bulan.

Abu Suffian hanya bekerja sebagai tukang kebun sekolah manakala isterinya tidak bekerja kerana mahu memberi sepenuh tumpuan pada anak-anak.

“Sebelum ini, anak sulung saya boleh berjalan tetapi kini terlantar di katil dan tidak mampu bergerak.

“Anak bongsu pula memang tidak dapat berbuat apa-apa dan semuanya diuruskan isteri saya,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, di rumahnya di Kampung Padang.

Hadir menyampaikan sumbangan, Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, Mohd Nor Hisham Omar dan Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, Mohd Faiz Hashim.

Abu Suffian berkata, anak bongsunya mengalami lebihan cecair dalam kepala menyebabkan kepalanya membesar.

Katanya, dia sendiri buntu mencari penawar untuk penyakit anak-anaknya.

“Buat masa ini saya hanya mampu berdoa supaya keadaan dua anak saya ini baik-baik sahaja,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor Hisham berkata, lawatan pihaknya ke rumah keluarga Abu Suffian adalah untuk melihat sendiri keadaan kedua anaknya yang sakit.

Katanya, sumbangan berbentuk keperluan harian turut diberikan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

0 comments:

share2