Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 8, 2012

PAS Parti Paling Penakut Dalam PR


SEMEMANGNYA kalau mahu dilihat dari segi maruah dan martabat sebagai sebuah parti Islam, Pas seharusnya sudah lama meninggalkan pakatan pembangkang. Ia kerana sepanjang berada dalam pakatan berkenaan bersama-sama PKR dan DAP, Pas bagaikan melukut di tepi gantang.

Isu hukum hudud yang kembali menjadi polemik antara parti itu dan DAP sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati ahli Pas di peringkat akar umbi bukanlah ujian pertama untuk melihat keberanian politik Pas.

Tetapi sebaliknya kepimpinan Pas sudah banyak kali diuji oleh pemimpin-pemimpin PKR dan DAP namun Pas tetap bersabar kerana bimbang jika mereka terlalu keras maka musnahlah impian mereka untuk berkongsi kuasa dengan kedua-dua parti itu di Putrajaya.

Katalah apa sahaja termasuk pemimpin DAP bersikap biadab seperti mana kata bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin tetapi bagi pemimpin atasan dalam Pas, mereka tidak akan kisah itu semua.

Kesudahan mereka akan menganggap desakan supaya keluar daripada pakatan hanyalah dibuat oleh segelintir ahli sahaja dan lebih menarik mereka akan menganggap isu hukum hudud ini adalah mainan media.

Oleh itu tidak payahlah kita hendak serabut kepala atau semak perut untuk memikirkan sama ada Pas akan keluar daripada pakatan atau tidak.

Dalam keadaan pemimpin-pemimpin atasan Pas dibuai mimpi ciptaan PKR ke Putrajaya dan takut dengan mainan politik madah berhelah DAP, tiada siapa pun dalam Pas yang berani mengemukakan usul supaya parti itu keluar daripada pakatan.

Pemimpin-pemimpin Pas hanya berani bersuara lantang dan mendesak diadakan muktamar luar biasa bagi membincangkan isu muzakarah dengan UMNO kerana mereka tidak mahu muzakarah itu diadakan.

Pemimpin-pemimpin Pas hanya berani membuat tuduhan kononnya UMNO menolak Islam dan sudah pasti mereka juga bersedia mengadakan road show ke seluruh negara untuk membangkitkan semangat di kalangan ahli mereka menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Tetapi percayalah dalam soal penentangan DAP terhadap hukum hudud ini, Pas akan menjadi seperti kura-kura yang akan menyembunyikan kepala di dalam cengkerangnya.

Pemimpin Pas tidak kiralah sama ada daripada Dewan Pemuda mahupun Dewan Ulama apatah lagi Dewan Muslimat tidak akan berani bersuara dalam soal ini.

Kenyataan kononnya Pas tetap akan memperjuangkan hukum hudud hanyalah sandiwara politik dan inilah tafsiran yang dibuat oleh penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad.

Ketika ditanya pandangan beliau dalam soal ini, Ahmad Masrizal berkata, Pas bercakap atas kapasiti untuk mendapat laba politik dan mengekalkan kuasa serta pengaruh pengundi Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang rata-rata daripadanya begitu sensitif dengan isu hudud.

''Jika Pas dilihat mengalah kepada DAP, mereka tahu padahnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Maka strategi terbaik adalah menjanjikan apa yang rakyat suka dan mahu. Soal mampu buat atau tidak itu kira belakang, janji legasi politik perlu dikekalkan," katanya ketika dihubungi penulis.

Jika pemimpin-pemimpin Pas tidak bersetuju dengan pandangan ini, mereka perlu bersuara terutamanya Dewan Pemuda dan Dewan Ulama.

Tetapi soalnya beranikah pemimpin-pemimpin kedua-dua dewan itu membuat satu desakan yang benar-benar melambangkan ketegasan dan keberanian mereka.

Setakat ini apa yang kita lihat Dewan Pemuda Pas hanya berani mengedarkan risalah menentang konsert hiburan, memenuhi himpunan haram anjuran pembangkang dan berdebat dengan pemimpin UMNO sahaja.

Mereka seolah-olah tidak ada keberanian untuk membuat desakan kepada pucuk pimpinan parti bagi melakukan tindakan yang bertujuan mempertahankan maruah dan martabat Pas seperti mana dalam isu hudud ini.

Biar pun pemimpin Pemuda Pas bercakap berdegar-degar soal Islam sehingga sanggup menyelak kitab itu dan kitab ini selain hadis dan ayat al-Quran bagi mempertahankan hujah mereka ketika berdepan dengan UMNO tetapi kita percaya keberanian mereka hanya setakat itu sahaja.

Apabila menyentuh sahaja soal ketegasan DAP atau pemimpin PKR, maka kecut perutlah Dewan Pemuda untuk bersuara lebih.

Bagi Dewan Ulama pula, mereka sudah dianggap tiada apa-apa suara lagi, kuasa politik semakin terhakis dan mereka kini tidak ubah hanyalah menjadi pelengkap carta bagi sebuah organisasi.

Ulama-ulama Pas semakin tidak mampu bersuara, kalau pun bersuara ia hanya ibarat melepas batuk di tangga sahaja' atau boleh dianggap perbuatan sia-sia.

Tiada siapa pun di dalam Pas yang akan mempedulikannya kerana parti itu kini bukan bergantung kepada golongan ulama untuk meraih kuasa politik tetapi kepada pemimpin PKR dan DAP.

Suara dan teguran pemimpin kedua-dua parti itu lebih diterima oleh kepimpinan Pas berbanding suara ulama. Sebab itulah kita saksikan perjalanan politik Pas kelam-kabut dan tiada arah. Semua itu berlaku kerana Pas meletakkan matlamat menguasai Putrajaya mengatasi segala-galanya.

Sebab itulah, kita saksikan dalam hukum hudud ini hanya beberapa kerat sahaja pemimpin-pemimpin Pas bersuara, itu pun kenyataan yang dilihat dibuat secara cukup berhati-hati bagi mengelakkan pemimpin-pemimpin DAP tersinggung.

Apa pun, dalam hukum hudud ini tidak perlulah kita mengharapkan sesuatu yang drastik akan dilakukan oleh Pas. Katalah apa sahaja mereka sahaja sama ada kuda tunggangan, pak sanggup atau pak turut, semuanya akan ditelan oleh Pas kerana parti itu sudah terlalu ghairah mahu berkuasa bersama-sama PKR dan DAP ke Putrajaya.

Tidak apalah kalau pemimpin-pemimpin Pas terpaksa terus bersahabat dan mempertahankan salah laku moral pemimpin PKR dan tidak apalah kalau Pas terpaksa akur dengan ketegasan DAP menentang hukum hudud asalkan 'jangan tinggalkan daku' ke Putrajaya.

Justeru sebarang desakan atau harapan ahli-ahli akar umbi untuk melihat kepimpinan Pas tegas dalam berhadapan dengan isu hukum hudud yang ditentang oleh DAP hanyalah sia-sia.

Mereka perlu menerima hakikat bahawa hukum hudud hanyalah modal politik Pas untuk menang pilihan raya, perjuangan negara Islam seperti mana kata seorang pemimpin Pas tidak lama dulu boleh ditinggalkan jika ia menyusahkan hubungan dengan PKR dan DAP dan perlu akur bahawa Pas adalah pejuang negara berkebajikan.

Apa pun Pas hendak lakukan, mereka perlu merujuk dulu kepada 'Buku Jingga', kalau apa yang mereka hendak lakukan tidak ada dalam buku berkenaan, maka lupakan sahaja. Usah berhujah soal apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis seperti mana dilakukan oleh golongan ulama ketika mereka mula-mula menubuhkan Pas.

Kalau pun pemimpin Pas hendak berhujah dengan menggunakan kedua-dua sumber itu apakah pemimpin PKR dan DAP akan akur sedangkan mereka sudah bertahaluf siyasi dengan kedua-dua parti itu melalui 'Buku Jingga'.

Kesimpulannya, dalam soal isu hukum hudud ini anggap sahaja semua polemik yang berlaku hanyalah sandiwara politik kerana Pas kini amat memahami bagaimana kedudukan pengaruh politik mereka berikutan keterujaan berkawan dengan PKR dan DAP.

0 comments:

share2