TEMERLOH – Nasib seramai 47 remaja dan kanak-kanak kurang bernasib baik di sini dapat perhatian sewajarnya apabila mereka menerima tajaan serta sumbangan daripada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Dua NGO terbabit, Pertubuhan Amal Khadijah Malaysia (Peramah) dan Pertubuhan Nisa’ Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur turun padang untuk membawa mereka membeli keperluan hari raya.
Seorang daripada penerima yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Paya Pulai, Nurul Aida Zainal, 16, berkata, dia lega berikutan dua NGO terbabit prihatin dengan nasibnya.
Nurul Aida berharap bantuan seperti itu diteruskan pada masa akan datang kerana ia ternyata dapat membantu insan tidak bernasib baik sepertinya.
“Walaupun nampak sederhana, tetapi sebenarnya ia sangat membantu terutama buat kami yang hilang tempat bergantung harap,” katanya.
Nurul Aida adalah antara 47 penerima pakaian hari raya disumbangkan Peramah dan Pertubuhan Nisa’ di sebuah pasar raya, di sini, semalam.
Sementara itu, rakannya, Nurul Hafizah Hamid juga anak yatim dari Sekolah Menengah Paya Pulai terharu
menerima sumbangan diberikan pertubuhan tersebut.
Menurutnya, peluang itu sangat bererti terutama apabila dia berpeluang memilih sendiri baju raya bersama rakan senasib.
Sementara itu, Pengarah Pertubuhan Nisa’, Nura Muna Abdul Halim berkata, pertubuhan tersebut ditubuhkan tiga tahun lalu bertujuan untuk memastikan kebajikan golongan memerlukan.
“Kami ada cawangan di setiap negeri dan kerap membantu mangsa banjir serta mengagihkan sumbangan kepada golongan memerlukan.
“Keahlian kami kini mencecah 1,000 terdiri daripada mahasiswa universiti tempatan,” katanya, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Peramah, Salamiah Mohd Nor berharap sumbangan tersebut mampu membuatkan anak-anak yatim dan remaja daripada keluarga kurang berkemampuan akan lebih bersemangat menyambut lebaran tahun ini.
0 comments:
Post a Comment