PERSATUAN Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) sentiasa menuntut hak yang keterlaluan dan sukar dilakukan oleh kerajaan terutama menjelang pilihan raya umum.
Dong Zong terlalu kuat kerana media massa khususnya berbahasa Cina memainkan isu dan sentimen pendidikan kaum Cina untuk meraih populis dalam kempen pilihan raya malah menolak kebaikan dilakukan kerajaan. Mereka sedia maklum bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dulu berlaku adil kepada semua kaum untuk menikmati taraf pendidikan.
Meskipun pelbagai sekolah vernakular wujud dengan kurikulum, falsafah negara dan pedagogi, sistem, struktur organisasi dan kewangan diberi status urus tadbir sendiri tetapi desakan sama rata dari aspek sistem persekolahan, bahasa pengantar, sukatan pelajaran, kokurikulum, kemudahan prasarana, tenaga pengajar dan jenis sekolah menjadi idea dan hakikat mendesak pemerintah.
Bangsa ambilan ini menyedari hanya pendidikan dapat meraih empayar ekonomi dan pembangunan menyeluruh di negara ini. Pada ketika perpaduan Melayu di hujung tanduk angkara politik tidak matang, mereka pula mendapat manfaat hasil perpecahan dan persengketaan orang Melayu sendiri.
Sistem persekolahan hanya ada satu di kebanyakan negara di dunia malah tidak wujud Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu atau penamaan taboo Melayu seperti Bukit Melayu, Restoran Melayu, Jalan Melayu, Bank Melayu, premis dan bangunan Melayu dan segala macam nama sinonim dengan kaum sendiri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran telah menjalankan pelbagai usaha dan memberi maklumat untuk menyakinkan masyarakat Tionghua bahawa kerajaan tetap membantu dan tidak pernah mengabaikan sekolah vernakular malah sekolah jenis Cina paling banyak mendapat limpahan manfaat kerajaan.
Gendang tuntutan dan asakan makin rancak selepas Dong Zong berjaya mendapat kelulusan pembinaan sekolah menengah Cina swasta, sekolah Menengah Chong Hwa di Kuantan, Pahang dan terbaru mendesak kerajaan meluluskan sekolah menengah Cina swasta cawangan Segamat.
Tambahan mereka menuntut Bahasa Mandarin menjadi pengantar dan bahasa nasional dalam masyarakat majmuk. Sedangkan masih ramai dalam kalangan masyarakatnya tidak mahir bertutur dan tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam majlis bersifat formal apalagi program anjuran pihak swasta dan perniagaan langsung tidak memperlihatkan jati diri warganegara ini.
Kaum-kaum lain juga ada hak membela kepentingan dan kebajikan masing-masing, biarpun masyarakat Melayu dilihat mengalah tetapi nilai tolak ansur dan kekitaan menjadi kepercayaan penganut agama Islam yang melarang umatnya berlaku zalim selagi orang bukan Islam masih taat pada pemerintah yang adil.
Kaum ambilan perlu rasional dan waras dalam menuntut hak dengan kembali membaca sejarah dan perlembagaan negara serta kontrak sosial bahawa kerajaan ada tanggungjawab terhadap kepentingan kaum lain baik di Sarawak dan Sabah mahupun Orang asli dan masyarakat pedalaman yang masih jauh ketinggalan dalam pendidikan.
Oleh itu, kerajaan tidak perlu gentar dengan tuntutan kaum ambilan ini kerana pengundi bijak menilai parti yang menepati janji dan menjaga keharmonian hidup masyarakat majmuk.
0 comments:
Post a Comment