Pemfitnah Kak Ijat dalam kes NFC
Oleh: Beruang Biru Tindakan kerajaan mendakwa Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (BAFIA) berhubung pendedahan butiran transaksi akaun milik Pengarah National Fidlot Corporation (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail adalah amat tepat sekali dan kena pada masanya. Sudah sekian lama perkakas dan lain-lain pemimpin pembangkang telah diperalatkan oleh Anwar Ibrahim untuk menabur fitnah dan mereka cipta pelbagai cerita karut marut terhadap kerajaan dan institusi awam. Tujuannya adalah satu iaitu untuk menumbangkan sebuah kerajaan yang sah dipilih rakyat melalui proses pilihan raya. Dalam keadaan tangan bergari, kedua-dua Rafizi serta balacinya, Johari tersenyum dalam sedu apabila cuba menonjolkan imej yang menyakinkan bahawa tindakan mereka adalah 'demi rakyat'. Sebenarnya mereka telah dipergunakan sepenuhnya oleh Anwar untuk matlamat politiknya mahu menjadi Perdana Menteri. Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dengan bangganya mengumumkan kerajaan negeri akan menanggung segala kos guaman Rafizi dalam kes ini daripada geran Selangorku. Sekali lagi Pakatan Rakyat mengguna wang rakyat untuk agenda politik mereka kerana umum tahu bahawa Rafizi tidak lagi menjadi kakitangan kerajaan negeri setelah meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Bagaimana pula dengan Johari, siapa pula akan menanggung kos guamannya? Setelah dipergunakan, nampaknya Johari akan dipinggirkan begitu sahaja oleh pembangkang, seperti kata pepatah habis madu sepah dibuang. Keseoranganlah ia dalam memikirkan sara hidup anak dan isteri setelah kehilangan pekerjaan. Setelah NFC, Rafizi kini beralih kepada isu pemberian kontrak projek penyambungan LRT Ampang kepada Konsortium George Kent. Dalam hal ini beliau juga dengan bangganya menunjukkan kepada umum kononnya surat sulit Syarikat Prasana Negara Berhad mengenai penilaian para pembida proek tersebut. Atas informasi itu sahaja Rafizi membuat tuduhan berat bahawa Perdana Menteri sendiri terbabit dalam penganugerahan kontrak tersebut. Tindakan itu juga adalah atas arahan Anwar dengan sasarannya bukan George Kent tetapi Perdana Menteri. Anwar mahu menanam perasaan benci rakyat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana di dakwa terlibat dalam pelbagai jenayah rasuah tetapi jika dikaji satu persatu fitnah yang dilemparkan, tidak ada satu bukti pun dikemukakan oleh pembangkang untuk menyokong dakwaan mereka. Begitu juga dalam fitnah kes kapal selam Scorpene. Isu yang dibawa oleh satu lagi perkakas Anwar, Suaram, ialah dakwaan rasuah dalam urusan pembelian dua kapal selam itu tetapi fokusnya adalah kepada pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Malah pembangkang tidak langsung mempunyai moral dan integriti walau sedikit pun dengan menuduh isu itu juga melibatkan penjualan rahsia ketenteraan negara. Mereka cuba menjadi hero tetapi hakikatnya merekalah yang selama ini yang mendedahkan rahsia negara kepada pihak asing serta mencaci pemimpin dan memburuk-buruk imej negara. Kini terserlah dengan fakta-fakta dan keterangan yang jelas dari kerajaan bahawa semua yang didakwa Suaram adalah pembohongan jelas semata-mata yang bermotifkan politik kotor. Di sini juga tujuan pembangkang bukan untuk menegakkan keadilan dan mencari kebenaran tetapi menyerang Perdana Menteri untuk melemahkan kepimpinannya. Begitu juga dengan dakwaan anak Anwar, Nurul Izzah yang membuat dakwaan palsu dalam blognya berhubung projek Network Centric Operations (NCO) yang sedang dibangunkan oleh Sapura Secured Technologies Sdn Bhd untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tindakan Nurul Izzah juga bukan mensasarkan syarikat bumiputera tersebut tetapi matlamatnya adalah meruntuhkan kredibiliti Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab terhadap dasar-dasar keselamatan negara. Senario yang sama boleh dilihat apabila Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat dakwaan bahawa pihak polis gagal mengurangkan kadar jenayah. Dengan memberi satu atau dua contoh, beliau membuat kesimpulan jumlah kes jenayah semakin meningkat disebabkan sebahagian besar peruntukan Program Transformasi Kerajaan dibelanjakan untuk perhubungan awam daripada menangani permasalahan jenayah. Walaupun kerajaan telah mengemukakan data yang sahih menunjukkan kadar jenayah telah menurun, namun pembangkang terus memberi persepsi negatif terhadap pihak polis. Jika Pakatan Rakyat sanggup menipu, berbohong, memfitnah, mentohmah, mereka-reka cerita palsu apa agaknya senario negara jika mereka memerintah? Fikir-fikirkanlah dengan akal yang sihat.
Baca juga di sini mengenai Rafizi yang terusan menipu:
0 comments:
Post a Comment