Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 24, 2012

Tanah Kubur Lokasi Ponteng Puasa


KUALA ROMPIN – Tanpa rasa berdosa atau malu, kaki ponteng puasa sanggup menjadikan pondok wakaf Tanah Perkuburan Islam Kampung Sepayang, di sini, sebagai ‘kedai makan’ apabila dipercayai saban tahun menjadikan lokasi itu sebagai tempat menjamu selera.

Perbuatan kaki ponteng itu jelas mencemar kesucian Ramadan hingga kawasan itu sudah dianggap sebagai tempat utama kaki ponteng berbuka puasa berjemaah pada waktu tengahari dan petang.

Tatkala masyarakat Islam lain berlumba-lumba mengerjakan ibadah puasa dan melakukan ibadah sepanjang bulan mulia ini, mereka seolah-olah tidak takut dosa, apatah lagi perbuatan itu dilakukan di tanah perkuburan.

Tidak hairanlah, lokasi itu antara beberapa kawasan utama yang sering diserbu Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Rompin, berikutan terdapat laporan yang diterima mereka berhubung kegiatan kaki ponteng di Rompin.


Kedai makan bukan Islam jadi pilihan

Selain tanah perkuburan itu, tempat lain yang sering dijadikan sasaran Paid sejak tiga tahun lalu, adalah sebuah kedai makan bukan Islam di Bandar Kuala Rompin yang dipercayai menjual makanan kepada kaki ponteng puasa.

Ironinya, kaki ponteng lebih gemar untuk menghirup deruan angin sepoi-sepoi bahasa di pantai kerana kawasan itu ceruk ke dalam dan jarang dilalui orang awam.

Pantai Hiburan Rompin, Pantai Kampung Jawa dan Pantai Tanjung Pahang dilihat antara lokasi berpotensi kaki ponteng melepaskan nafsu makan mereka memandangkan lokasinya yang sunyi dan ‘strategik’.

Kaki ponteng harus insaf

Naib Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Sepayang, Baharom Syaari berkata, umat Islam diingatkan tidak lagi menjadikan kawasan tanah perkuburan itu sebagai tempat kaki ponteng puasa untuk menjamah makanan.

Baharom berkata, dengan kedatangan Ramadan kali ini, kaki ponteng puasa seharusnya insaf dan sedar perbuatan yang mereka lakukan itu jelas menyalahi tuntutan Islam yang mensyariatkan umatnya agar berpuasa pada bulan Ramadan.

Menurutnya, puasa yang merupakan rukun Islam ketiga itu tidak seharusnya dicemari dengan perbuatan dosa dan terkutuk, sebaliknya bulan mulia itu perlu dipenuhi dengan amalan-amalan kebaikan.

“Saya amat berharap Ramadan kali ini tidak dicemari dengan perbuatan terkutuk oleh individu Islam hingga tergamak makan dan minum di tanah perkuburan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, walaupun pada hari pertama puasa tiada sebarang kes dilaporkan, dia tetap berdoa agar individu Islam tidak mencemarkan kawasan tanah perkuburan itu untuk melakukan sebarang amalan yang bertentangan dengan agama.

“Hormatilah bulan mulia ini, kerana pada bulan Ramadan kita tidak dihasut atau diganggu dengan noda Syaitan, sebaliknya kita berlawan dengan hawa nafsu sendiri yang mendorong kita melakukan perbuatan itu,” katanya.

Baharom berkata, kawasan itu sudah lama menjadi sarang kaki ponteng puasa, namun berharap Ramadan kali ini tempat itu bersih daripada perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kebanyakan kaki ponteng itu dipercayai terdiri dalam kalangan penagih dadah yang bukan saja menjadikan kawasan itu tempat untuk menjamah makanan, malah tempat melepaskan gian.

Katanya, terdapat sebahagian daripada kaki ponteng itu terdiri dalam kalangan anak-anak penduduk tempatan, malah ada di antaranya dipercayai daripada kampung-kampung terdekat.

“Tidak insafkah kita apabila tanah perkuburan yang menempatkan jenazah umat Islam ini tidak dijadikan pengajaran kepada kita yang masih hidup, sebaliknya tanah perkuburan ini pula dicemari perbuatan tidak baik,” katanya.

Paid Rompin turun padang

Sementara itu, Pagawai Paid Rompin, Adnan Mamat berkata, meskipun pada tahun lalu tiada sebarang tangkapan dibuat, namun pihaknya telah menahan beberapa orang yang dipercayai melakukan perbuatan tersebut.

“Tiada tangkapan kaki ponteng pada tahun lalu, cuma ada beberapa orang yang kami beri nasihat supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.

Adnan berkata, unit Penguatkuasa Paid Rompin akan sentiasa membuat rondaan terutama di lokasi-lokasi utama bagi mencegah kegiatan itu daripada terus berleluasa.

Menurutnya, perbuatan berbuka puasa di khalayak jelas melanggar kesalahan di bawah Seksyen 170 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali kerana menghina Islam.

Selain itu, katanya, peniaga kedai makan juga diingatkan tidak membuka kedai mereka sebelum jam 3 petang bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan.

“Peniaga kedai makan diminta supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sepanjang Ramadan ini bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan,” katanya.

0 comments:

share2