Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 24, 2012

Ponteng Puasa - Penyakit Sukar Dikikis


RAUB – Saban tahun menjelang puasa pasti ‘port’ selamat untuk ponteng puasa menjadi isu utama perbualan termasuk mengimbas kembali zaman ‘hitam’ bagi mereka yang sudah insaf.

Walaupun perbualan dalam bentuk gurauan, tetapi senario itu sememangnya wujud dan seakan menjadi ‘trend’ yang diwarisi hingga ke hari ini.

Tidak mengira usia, golongan muda dan dewasa ada kalanya kalah dengan dugaan menahan lapar hingga ke petang.

Demi mengikut nafsu makan yang tidak dapat ditahan lagi, secara tidak langsung menjadikan individu terbabit berusaha mencari ruang dan peluang untuk mendapatkan bekalan makanan daripada peniaga terutama bukan Islam.


Tidak lahir dari hati

Seorang lelaki berusia 40-an yang mahu dikenali sebagai Mohamad, berkata, beberapa kedai milik pengusaha berbangsa India sekitar Bandar Raub menjadi pilihan kaki ponteng puasa untuk mendapatkan bekalan makanan secara rahsia.

Katanya, ketika usia mudanya dahulu, aktiviti membeli makanan ini dilakukan secara individu tetapi ada masanya bersama beberapa rakan lain yang bermatlamat sama.

“Diakui ketika itu dianggap jahil dan ibadah puasa tidak lahir dari keikhlasan hati menjadikan sering tewas menjelang waktu tengah hari sahaja.

“Demi mendapatkan bekalan makanan secara sembunyi, pelbagai helah dilakukan termasuk mendapatkan khidmat rakan bukan Islam untuk membelinya,” katanya.

Mohamad berkata, perkara itu menjadi amalan tahunan dan seperti warisan diikuti segelintir generasi muda yang turut tidak tahan berpuasa.

Katanya, ketika itu sensitiviti melibatkan penyedia makanan itu bukanlah perkara utama selain memastikan perut kenyang.

“Kalau dahulu, itulah yang paling menyelerakan tambahan pula menikmatinya bersama rakan-rakan sehaluan.

“Tapi jika diingatkan ketika ini, memang sudah tidak tertelan lagi tambahan pula sudah lama meninggalkan gejala tidak baik itu memandangkan ia memberi kesan buruk kepada rohani kita,” kata Mohamad.


Antara ‘port’ pilihan

Jika dahulu lokasi untuk menikmati makanan secara bersembunyi tidak semestinya dalam premis kedai makanan terbabit, tetapi kelompok ini lebih gemar memilih kawasan yang sunyi dan jarang dikunjungi orang ramai.

Mohamad berkata, dahulunya ladang Kelapa Sawit di beberapa kawasan menjadi pilihan termasuk berhampiran Batu Tiga, Jalan Lipis.

Katanya, Jirat Cina atau Tanah Perkuburan Cina juga menjadi pilihan kaki ponteng puasa terutama bagi sekitar kawasan Sempalit.

“Ada juga sebahagiannya memilih kawasan tepi sungai sekitar Cheroh dan beberapa pusat rekreasi sekitar daerah yang ternyata sunyi serta jauh daripada masyarakat sekeliling.

“Tetapi saya yakin saban tahun lokasi ponteng puasa ini semakin bertambah dan sering berubah-ubah berikutan sikap waspada kaki ponteng ini terhadap penguatkuasaan Pejabat Agama Islam Daerah,” katanya.

Mohamad berkata, ketika ini lokasi seperti loji air dan rumah tinggal tidak terkecuali daripada menjadi sasaran kaki ponteng puasa kerana yakin ia tidak dikunjungi penguat kuasa agama.

Katanya, senario ini tidak akan berakhir selagi ada segelintir umat Islam yang tidak mendalami hikmah berpuasa di bulan Ramadan.

“Pada masa sama kita tidak boleh menyalahkan peniaga bukan Islam kerana mereka sediakan makanan untuk masyarakat lain, yang penting diri sendiri perlu berubah kerana ia dituntut Islam dan hukum wajib dilaksanakan,” kata Mohamad.

0 comments:

share2