KERAJAAN Pas Kelantan seolah-olah tidak takut dengan Tuhan. Kalau diperhatikan dari mata hati, memang parti ini suka sangat mengambil tindakan populis. Ia dilakukan dengan ‘mengusik’ jiwa dan sanubari hati rakyat Kelantan meskipun kepemimpinannya amat sedar apa yang dijanjikan parti itu ketara sangat tidak realistik.
Apa kata orang Kota Bharu hari ini apabila diminta komen mereka terhadap kerajaan Pas Kelantan? Antara salah satu komen yang sama nadanya dalam ratusan keluhan orang Kota Bharu ialah sepanjang 22 tahun ini Pas langsung tidak buat (bina) rumah mampu milik.
Tambah kritikal lagi di Kota Bharu terutamanya harga tanah begitu mahal. Nilai seekar tanah sahaja tidak kurang RM2 juta. Kalau pihak swasta nak buat rumah mampu milik rakyat memang tidak berbaloi. Sebab itu kata orang Kota Bharu perlunya campur tangan kerajaan negeri. Tapi kelibat kerajaan negeri lesap dalam soal ini.
Memang suatu perkara biasa berbelas-belas orang tinggal dalam sebuah rumah dua atau tiga bilik di ibu negeri Kelantan ini. Anak yang sudah berkahwin, masih bujang pun masih tinggal serumah bersama orang tua. Untuk orang bandar berpindah ke kampung (luar Kota Bharu) nak cari rezeki banyak pula halangannya. Mereka bukannya ada dusun. Kalau ada dusun pun atau nak bercucuk tanam, ia tidak sesuai dengan orang bandar. Kerja cari makan di Kota Bharu adalah jual makanan, jual air dan lain-lain kecuali bertani.
Bukan sahaja selama 22 tahun tidak ada skim rumah rakyat ini, malah dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini banyak sangat kondominium mewah didirikan di sekitar Kota Bharu. Antaranya, Vista Court, Viana Court di Wakaf Che Yeh, Baituta, Sri Cemerlang (projek Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan) , Laguna Park di Jalan Telipot, Perumahan Pavilion di Tunjong. Harganya mahal - lebih RM260,000 termasuklah projek Lembah Sireh di sebelah Istana Kota Lama - didirikan apartmen dan kondominium mewah.
Banyak projek yang dirancang oleh kerajaan Pas Kelantan tidak menjadi. Tidak siap lagi pun jambatan Kampung Cina-Palekbang yang sudahpun diletakkan batu asas oleh Menteri Besarnya kira-kira 16 tahun lepas, dua bulan lepas pula habis dicanangnya hendak dibina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang lebih 60 kilometer bernilai RM1.8 bilion. Duit yang nak membinanya, diminta daripada sumbangan dan derma ikhlas daripada rakyat Kelantan.
Namun seperti mana kebimbangan pelbagai pihak termasuk kecurigaan dalam kalangan pengikut Pas sendiri, ‘pisang mungkin berbuah dua kali’. Ia seperti mana banyak dipersoalkan ke mana menghilang sumbangan wang tunai yang dikutip Pas daripada orang ramai semasa dan sebelum ceramah dalam banyak siri pilihan raya kecil dan pilihan raya umum sebelum ini.
Bukan setakat jambatan, dulu sekitar 2004 dijanjikan kerajaan Pas negeri kepada pengundi nak bina pasar baru ekoran pasar Pasir Mas terbakar. Sudah dilangsungkan majlis penyerahan surat tawaran kepada kontraktor untuk memajukan pasar berkenaan, tapi pembinaannya sampai sekarang ‘tak nampak batang hidung’.
Salah seorang yang sudah ‘masak benar’ dengan ‘lakonan’ kerajaan Pas Kelantan itu ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh.
“Saya lihat hari ini terdapat peningkatan sokongan buat Barisan Nasional yang bukan sahaja daripada rakyat Kelantan sendiri, tetapi juga daripada mereka yang kini berada di luar negeri itu.
“Saya fikir antara sebabnya ialah wujudnya kesedaran diri sendiri yang kehidupan mak bapa dan saudara-mara mereka tidak berubah sepanjang 22 tahun ini. Macam terbantut sebab pemikiran kerajaan Pas Kelantan yang tetap mahu berbeza dengan Kerajaan Pusat," kata beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu ketika ditemui saya Jumaat lepas di Putrajaya.
Bagi Mohamad Fatmi, lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai yang diuar-uarkan Pas sebagai ‘lebuh raya rakyat’ tidak ubah seperti mana gimik biasa yang dilaungkan parti itu kepada rakyat Kelantan.
“Kalau saudara kata Pas bukan sahaja menipu rakyat tetapi juga Tuhan...saya tak tahulah...barangkali," katanya.
Mohamad Fatmi menarik perhatian mengenai program pembangunan di Kota Bharu. Kalau dikatakan Kota Bharu tak maju, tak membangun, itu tentulah tak betul. Pembangunan ada tapi banyak dilakukan pihak swasta. Maksudnya, tidak ada projek untuk menjana ekonomi.
Ini berbeza semasa pentadbiran Kelantan di bawah Menteri Besar, Tan Sri Mohamed Yaacob (allahyarham). Beliau bijak menaik taraf Hospital Kubang Kerian menjadi Hospital Universiti Sains Malaysia, yang seterusnya berfungsi sebagai pusat penjanaan ekonomi - menghasilkan pelajar perubatan dan doktor pakar.
“Tapi di Kelantan, bukan setakat hari ini, malah sepanjang Pas perintah Kelantan sejak 1990, tidak ada satupun projek-projek yang menjana ekonomi dibuat kerajaan negeri.
“Kalau bukan di Kubang Kerian, kena ada lah juga sekarang ni projek seumpama itu di jajahan lain. Dan hari ini saya sedang merancang untuk mendapatkan kelulusan kerajaan daripada Perdana Menteri dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menubuhkan kampus kekal UiTm di Kota Bharu. Sekarang ni ada city campus di Kota Bharu tapi saiznya kecil dan disewa pula. Sebenarnya projek ini telah diluluskan empat tahun lepas (ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak Timbalan Perdana Menteri).
“Dulu waktu kita sewa di Jalan Sultan Ibrahim, bilangan pelajarnya sekitar 500 orang tapi hari ini city campus tu sudah mencecah 2,000 pelajar...tak muat tampung.
“Saya cukup percaya jika BN diberi peluang untuk menerima mandat rakyat Kelantan, impaknya tentu agak besar kepada ekonomi Kelantan," katanya.
Bagi beliau, perkara ini cukup serius.
“Hari ini kebanyakan rakyat Kelantan sudah semakin sedar. Suatu perubahan perlu dilakukan terhadap lanskap politik Kelantan termasuk Kota Bharu. Kita perlukan suatu perubahan radikal dengan menukar kerajaan negeri sedia ada (dalam PRU-13)," katanya.
Kota Bharu perlu perubahan besar. Menyentuh soal ini, Mohamad Fatmi memberitahu, beliau mahu bercakap mengenai peranan Pas dalam menyediakan ruang berniaga. Kalau dilihat di Kota Bharu, ada kelompok peniaga yang terpaksa membuka gerai tepi jalan. Di kawasan Parit Dalam pula, kelihatannya peniaga tidak mampu buka kedai dan gerai.
Jalan penyelesaiannya - jika boleh diwartakan kawasan berkenaan sebagai ‘uptown’ dan ‘walking mall’ untuk menarik kedatangan pelancong asing dan warga tempatan. Konsep ini banyak dilakukan termasuk tempoh hari di Muar, Johor. Dan ini semua belum termasuk soal bekalan air bersih lagi.
Pada masa sama, kedudukan masa depan sekolah-sekolah pondok di Kelantan juga boleh diperdebatkan. Apa jenis pembelaan yang dapat digerakkan oleh kerajaan negeri terhadap para pelajar? Namun, berdasarkan tinjauan akhbar ini, keadaan sekolah pondok di negeri itu agak daif yang tidak sesuai dengan label negerinya selaku ‘Serambi Mekah’. Cuma sekolah-sekolah pondok yang indah-indah semuanya berada di Pulau Melaka, di kawasan Menteri Besarnya.
“Orang belajar di sekolah pondok perlukan sistem pengiktirafan supaya boleh melanjutkan pengajian ke universiti. Ini semua saya yakin boleh dilaksanakan oleh kerajaan BN jika diberi peluang oleh rakyat, malah sehingga ke pembinaan Universiti Al-Quran pun kita akan usahakan," katanya.
Berpegang kepada prinsip ‘Bantu Saya Untuk Bantu Rakyat’, Mohamad Fatmi meminta rakyat Kelantan termasuk orang muda pulang ke negeri itu pada PRU-13. Ini untuk mengundi yang menentukan masa depan mereka.
Seperti mana nada pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang di Kelantan, pilihan raya umum kali ini akan menjadi titik penentu sama ada BN mampu memperoleh kembali mandat rakyat negeri.
PRU-13 adalah masa terbaik untuk BN menguji kembali kepercayaan rakyat Kelantan. Atau mungkin terpaksa menunggu setidak-tidaknya 10 hingga 15 tahun lagi jika pilihan raya umum kali ini masih tidak berpihak kepada Kerajaan Pusat. - Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment