ENAM puluh enam tahun usia UMNO yang disambut semalam membawa erti yang amat signifikan buat tonggak Barisan Nasional itu.
Meskipun ‘dihambat ‘dan cuba dinafikan peranannya oleh pembangkang sejak 2008 dan tambah agresif lagi beberapa bulan ini dalam memacu ekonomi dan kestabilan negara, UMNO yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama rakan-rakan parti komponennya terus berganding bahu meredah cabaran domestik dan global.
Hakikatnya bukan mudah mengetuai kerajaan Malaysia yang tersedia aman dari segala segi. Kalau memimpin sebuah negara yang bergolak, pasti ada cara tertentu yang dipraktiskan kerana sudah tentulah ada isunya - peperangan.
Tetapi Malaysia, senarionya aman, tenteram dan memiliki segalanya. Namun kerajaannya sentiasa ‘tidak menang tangan’ melayan gelagat dan kerenah parti-parti pembangkangnya yang amat gemar mengadu- domba sesuatu isu dengan tipu muslihat yang amat kejami. Jika sesuatu itu benar dan terbukti sahih sekali pun tetap akan dinafikan sehingga mereka pasti tipu daya itu telah ‘bersarang’ dalam kalangan segelintir rakyat.
Isu loji nadir bumi Lynas di Gebeng antara satu contoh nyata pembohongan pembangkang yang cuba menidakkan kebenaran. Lebih membimbangkan lagi secara halus cuba menyekat usaha negara untuk memastikan kemantapan ekonomi rakyatnya dan mengharungi persaingan global.
Walaupun laporan IAEA memperaku analisis komprehensif mengenai aspek alam sekitar, kesihatan dan keselamatan berkaitan projek Lynas, ia tetap ditolak oleh pembangkang seolah-olah mereka ‘mengetahui segala-galanya’.
Cuma dalam soal ini, rakyat Malaysia perlu realistik. Tahun-tahun kebelakangan ini telah menyaksikan pengiktirafan terhadap ciri-ciri unik unsur nadir bumi dalam aplikasi-aplikasi tertentu. Kesannya, permintaan global untuk nadir bumi dalam magnet, bateri, superkonduktor dan laser, telah menyaksikan kenaikan yang mendadak.
Dan walaupun endapan nadir bumi telah dijumpai di 29 negara di seluruh dunia, hanya China muncul sebagai negara yang memberi perhatian serius dalam perlombongan dan penghasilan nadir bumi. Negara itu kini yang memiliki 100 syarikat dalam industri ini yang menghasilkan 230,000 tan nadir bumi sekali gus membekalkan 97 peratus daripada permintaan bahan itu ke seluruh dunia.
Dalam isu ini, Kuala Lumpur diperakui oleh Akademi Sains Malaysia dalam laporannya mempunyai 0.03 peratus daripada simpanan dunia bagi mineral nadir bumi.
“Kami menjangkakan pembangunan perlombongan dan pemprosesan nadir bumi boleh menjadi titik kebangkitan industri perlombongan negara ini," menurut laporan itu yang diterbitkan pada Ogos 2011.
Inilah antara cabaran yang perlu dipikul oleh UMNO dan parti-parti komponen yang ditunjanginya - untuk melayan kerenah pembangkang yang matlamatnya bukan untuk melihat rakyat Malaysia menikmati kemakmuran dari hasil buminya, malah jauh dari itu menidakkan fakta dan berbohong pula.
Dan, kalau ditinjau ke isu-isu tempatan atau domestik, demikianlah juga keadaannya - tetap menjadi ‘mainan dan muslihat’ pembangkang.
Di Putrajaya ketika satu pihak menabur budi, di sebelah sana pula lagi sibuk dengan menyebar dakyah.
Ketika setiap Jumaat satu pihak ini menghantar air zam-zam ke surau dan masjid di Pusat Pentadbiran Persekutuan itu, sebelah pihak lain bergegaslah pula ke rumah-rumah berdekatan. Khabarnya, pihak itu mengedarkan akhbar ‘lidah rasmi’ mereka. Meskipun bacaan hanya untuk ahli, tak diambil hirau mereka. Dengan tidak ketahuan sumber dan bahan berita daripada mana, taktik itu merupakan jalan pintas ‘paling berkesan’ untuk ‘menawan’ Putrajaya.
Jika pada 2008 jumlah pengundi di Putrajaya cuma sekitar 6,500 orang, kali ini menjelang PRU-13 ia naik sekali ganda mencecah 13,000 orang. UMNO di pusat pentadbiran itu memiliki keahlian sekitar 3,000 orang dengan 2,000 lagi sedang dalam proses permohonan. Kalau dicampurkan baru 5,000 ahli. Ditolak 13,000 tadi, masih berbaki 8,000 yang belum pasti haluan undinya - masih atas pagar.
UMNO menyedari semua itu - bahawa Putrajaya kini tidak seperti pada 2008 apatah lagi pada 2004. Putrajaya kini sama lanskap politiknya dengan bandar-bandar besar lain - Kuala Lumpur, George Town, Shah Alam, Kuching dan lainnya. Masalah dari segi penyediaan prasarana dan kemudahan di Putrajaya tidak ada, kegiatan jenayah jauh sekali kes yang hendak dihitung, apa lagi kalau kes kemalangan jalan raya yang boleh dikiralah - kadang-kala sekali dalam tempoh tiga atau empat bulan. Dan kalau adapun hanyalah kemalangan kecil tetapi akan muncullah nanti kelibat ramai anggota polis trafiknya.
Dengan pasukan keselamatan sendiri mengawal banyak kementerian di situ, maka wujud kediaman yang selamat, hatta berjogging di malam hari pun selesa.
Kalau itulah analogi yang dipegang, maka selamatlah kerusi Putrajaya di tangan BN. Namun UMNO dikatakan lebih realistik. UMNO sedar faktor sentimen sebenarnya lebih penting dari semua itu. Kalau tidak, masakan di bandar-bandar besar yang boleh dikatakan tidak ada masalah asas pun, BN boleh kecundang.
Projek Lynas dan kegiatan menyebar dakyah ke rumah-rumah selain faktor sentimen dan persepsi, merupakan cabaran domestik dan global yang perlu dipikul UMNO memasuki usia 66 tahunnya.
Najib memerlukan komitmen ini untuk mendepani cabaran-cabaran berkenaan. Beliau menuntut kerjasama ini daripada semua pihak terutama kalangan parti-parti komponen BN.
0 comments:
Post a Comment