Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 31, 2012

Sokong transformasi Najib, Tunku Aziz kata tak setuju cara politik Anwar...




Oleh: Beruang Biru
Orang yang Lim Kit Siang penah gelarkan 'Towering Malay' aka 'Melayu Terbilang',  Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, pada Jumaat berkata kepimpinan Datuk Seri Najib Razak harus disokong dan patut diberi peluang dan masa bagi menjayakan program transformasi yang sedang dilaksanakan.
Bekas Naib Pengerusi  DAP yang bertindak keluar parti itu Isnin lalu kerana mempertahankan prinsipnya menentang demonstrasi BERSIH pada 28 April lalu, sekali lagi mengulangi pandangannya bahawa program transformasi yang dimulakan Perdana Menteri adalah baik untuk negara.

"Apa yang Perdana Menteri buat sekarang ini adalah betul, jadi kita kena sokong dia... Proses dari segi definisinya pun kena ambil masa sikit.

"Proses bukan produk...produk boleh keluar terus, awak pergi Tesco boleh beli," katanya sambil menegaskan ini termasuk usaha pentadbiran Najib untuk menambah baik proses demokrasi negara.
Diminta pandangannya sama ada kepimpinan Najib akan mendapat sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang kerana perubahan yang sedang dibawanya, Tunku Aziz berkata:
"Saya bukan penganalisa politik dan tidak mahu membuat spekulasi. Tapi proses, kena bagi masa, bagi peluang. Dulu kita dok jerit itu, ini, kerajaan tak buat itu dan ini, sekarang kerajaan dah dengar...itulah saya kata tak payahlah lagi lah nak buat protes...nak buat BERSIH 4.0...mahu apa lagi."
Beliau berkata, tunjuk perasaan diadakan untuk menarik perhatian dan mempertingkatkan kesedaran orang ramai.

"Awak fikir kerajaan tak nampak apa rakyat hendak...98 peratus yang protes nak tukar undang-undang itu ini, tapi yang dua peratus tu...mereka itu ada agenda lain...mereka buat kacau," katanya.
Beliau merujuk kepada tindakan parti politik pembangkang tertentu yang dikatakan "merampas" tunjuk perasaan itu daripada badan bukan kerajaan yang menganjurnya dan dikatakan bertanggungjawab mencetuskan huru-hara pada hari itu sehingga beberapa anggota polis dan orang awam mengalami kecederaan.
Beliau turut menolak perlantikkannya sebagai fellow di Intitut Pulau Pinang seperti yang diwar-warkan DAP, dan menyifatkan tawaran tersebut "tidak masuk akal".
Ditanya pendapatnya mengenai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Abdul Aziz berkata sejak beliau menjadi kolumnis untuk akhbar The New Sunday Times, beliau memang tidak bersetuju dengan cara politiknya dan pernah menulis artikel bertajuk "Stop the theatrics Anwar, let the Malaysian get on with their life".
Tulisan itu menyentuhkan desas-desus kononnya Kerajaan Persekutuan akan berubah ke tangan pembangkang pada 16 September 2008, dengan sebilangan besar Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan akan melompat keluar untuk menyertai pembangkang.
"Saya lompat-lompat ni memang tak suka...saya benci orang yang berbuat begitu...kita masuk bawah lambang katakanlah UMNO kemudian lompat ke Anwar...itu saya tidak setuju... Kalau awak nak lompat, letak jawatan...dan adakan pilihan raya kecil dan bertanding atas tiket Bebas...tengok boleh menang atau tidak," katanya dipetik Bernama.
Tunku Abdul Aziz, tokoh korporat dan aktivis menentang rasuah yang pernah menjadi Naib Pengerusi Transparency International dan membantu menubuhkan Transparency International-Malaysia, menyertai DAP selepas pilihan raya Mac 2008 dan terus dilantik sebagai naib pengerusi parti itu dan sebagai Senator pada Julai 2009.
Bagaimanapun tempoh perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara mewakili DAP tidak disambung oleh pucuk pimpinan parti itu selepas beliau membuat kenyataan terbuka menentang perhimpunan BERSIH 3.0 yang disokong partinya dan pakatan pembangkang.
Ditanya sama ada beliau akan mengkaji semula keputusannya meninggalkan DAP, Tunku Abdul Aziz menegaskan keputusannya adalah muktamad.
"Saya dah kata, kalau saya dah keluar tu, saya keluar....habis cerita," katanya.
Ditanya sama ada beliau menerima apa-apa komen atau maklum balas daripada anggota DAP Melayu yang lain selepas membuat keputusan keluar parti berkenaan, beliau berkata tidak ada.
Mengenai komen bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang hairan kenapa beliau menyertai DAP, Tunku Abdul Aziz berkata beliau masuk DAP untuk memperjuangkan pencegahan rasuah dan mempromosikan integriti di dalam sektor kerajaan dan perniagaan.
Beliau juga pernah berkhidmat dalam sektor korporat dan menjadi penasihat Bank Negara sebelum menjadi aktivis.
"Saya masa masuk DAP masa tu bukan bercadang pun nak jadi ahli politik...kalau saya nak jadi ahli politik, selepas kolej lagi saya dah masuk...kalau saya nak masuk UMNO, masuk dari dulu-dulu lagi...tapi saya ingat saya ni lebih berguna jika saya tiada kena mengena dengan politik...non partisan," katanya.
Katanya, pada masa ini beliau banyak berehat dan menutup telefon dan meluangkan masa memelihara ikan hiasan-18/5/2012












0 comments:

share2