Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 8, 2012

Rusuhan Haram - Nik Aziz Mengundang Bencana




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hari ini memutuskan adalah haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa memandang serius isu itu kerana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April lalu.

"Tindakan merusuh, membawa kacau-bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah, niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

"Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak boleh bersetuju ke arah usaha mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan muzakarah ke-99 jawatankuasa itu di sini.

Panel jawatankuasa tersebut yang dianggotai 24 ahli termasuk 14 mufti yang mewakili setiap negeri menegaskan, tindakan tersebut adalah haram dan bertentangan dengan pandangan majoriti ahli sunah wal jamaah yang menjadi panduan umat Islam di negara ini.

Abdul Shukor berkata, semua perhimpunan yang bertujuan tidak baik termasuk perhimpunan haram, Bersih 3.0 baru-baru ini tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat sebaliknya hanya mencetuskan huru-hara dan menyusahkan orang lain.

"Kita mengikut pandangan ahli sunah, perhimpunan itu haram dan tidak boleh. Bukan saja Bersih 3.0, ada banyak lagi perhimpunan asalkan tujuannya tak baik, hasilkan natijah tak baik, melanggar undang-undang dan sebagainya sedangkan kita ada cara yang baik, maka kita berdosa," katanya.

Menurut Abdul Shukor, umat Islam juga dilarang sama sekali menyertai perhimpunan jika ia bertujuan menjatuhkan kerajaan yang sah selagi ia tidak membawa kepada kemusnahan, kemurkaan atau maksiat kepada Allah.

Sebaliknya, katanya, Islam menganjurkan umatnya supaya menggunakan saluran yang betul dan berhemah seperti perbincangan tanpa perlu menggadai keamanan dan kesejahteraan umat.

0 comments:

share2