Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 30, 2012

Rezeki Rumah Baru


“Sudah 20 tahun kami anak beranak tinggal di rumah kongsi ini. Walaupun ia sudah usang, tetapi di sinilah tempat kami berteduh dari hujan dan panas.

“Kini berita gembira yang dibawakan oleh wakil rakyat bakal menjadikan hidup kami berubah apabila dapat pindah ke rumah yang lebih selesa,” kata Salim Kidam, 68 yang tinggal di Kampung Melayu Sungai Lembing di sini.

Salim berkata, dia masih lagi bersyukur apabila mempunyai tempat tinggal jika dibandingkan dengan orang lain.

Menurutnya, rumah kongsi yang didiami sejak 1992 ini merupakan antara jasa baik pihak syarikat di Sungai Lembing ini untuk mereka tinggal tanpa sebarang bayaran.

“Masa dahulu memang susah nak hidup, tetapi kami sekeluarga masih lagi bernasib baik untuk tinggal menumpang di sini. Keadaan rumah yang saban tahun semakin usang menuntut kami untuk bersabar sahaja memandangkan saya sendiri tidak mampu untuk membaiki kerosakan ini.

“Jika diikutkan, rumah ini boleh roboh bila-bila masa sahaja, tetapi alhamdulillah, sehingga kini kami tidak mengalami apa-apa masalah bencana melainkan atap bocor dan dinding usang sahaja,” katanya.

Justeru itu, dengan perhatian daripada pemimpin setempat, hidup pasangan suami isteri yang mengambil upah menjual kuih muih ini bakal berubah apabila mereka mendapat bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Di samping itu juga, dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Salim dan isterinya Asiah Omar, 58 berharap rezeki yang dikurniakan Allah ini memberikan ruang dan peluang untuk mereka hidup dalam keadaan yang lebih selesa.

“Sudah ada rumah pun memadailah, kami benar-benar rasa beruntung apabila impian untuk tinggal di rumah baru bakal menjadi kenyataan.

Terharu rasanya apabila masih ada pihak yang sudi membantu meringankan beban kami ini.

“Jika tidak, kami mungkin terus tunggu masa rumah ini akan roboh sahaja. Maklum sajalah keadaan rumah yang sudah usang ini boleh bila-bila masa sahaja runtuh, mungkin umur kami masih panjang dan rezeki bertambah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, pihaknya sudah sedia maklum dengan keadaan rumah yang didiami oleh Salim dan isterinya ini dan terus melaporkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan segera.

“Tidak lama lagi mereka akan berpindah ke rumah PPRT di Kampung Kuala Kenau dan saya berharap agar kehidupan mereka selepas ini jauh lebih baik,”katanya.

0 comments:

share2