Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 29, 2012

BERSIH 1, 2 & 3 AKA ARAB SPRING???





POLITIK MALAYSIA




1. Kita sudah merdeka selama 55 tahun dan telah mengadakan 12 Pilihan Raya Umum. Walaupun parti-parti bukan dari Perikatan atau Barisan Nasional telah berjaya menawan dan mendiri Kerajaan dibeberapa negeri di Semenanjung dan di Sabah, tetapi Perikatan dan Barisan Nasional tidak pernah kalah di peringkat Pusat. Perikatan dan Barisan Nasional terus menjadi Kerajaan diperingkat Pusat, peringkat yang paling berkuasa di Malaysia.

2. Memang pada 1969 Perikatan hampir kalah tetapi kuasa kekal di tangan Perikatan dan akhirnya beberapa parti lawan telah menyertai Perikatan untuk menubuh Barisan Nasional yang terus memerintah.

3. Barisan Nasional menghadapi beberapa masalah dalaman tetapi berjaya mengatasinya dan mengekal kuasanya di Peringkat Pusat. Serpihan dari UMNO yang diusahakan oleh Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim tidak berjaya mengalahkan Barisan Nasional.

4. Pada 2008 kebencian terhadap pemerintahan Abdullah menyebabkan ramai dari penyokong UMNO dan parti-parti komponen lain mengurangkan sokongan kepada Barisan Nasional sehingga lima buah negeri dapat ditawan oleh parti-parti bukan Barisan Nasional. Di peringkat Pusat majoriti Barisan Nasional menurun sehingga tidak dapat menguasai 2/3 dari kerusi Parlimen. Namun Barisan Nasional masih dapat mendiri Kerajaan di peringkat Pusat.

5. Kemenangan yang berturut-turut sejak merdeka melumpuhkan semangat parti-parti bukan Barisan Nasional. Percubaan oleh Anwar Ibrahim untuk menyeludup masuk ke dalam UMNO supaya dapat merebut kuasa dari dalam juga gagal.

6. Yang terpaksa diakui oleh semua pihak, semua rakyat Malaysia dan juga pemerhati asing ialah sehingga kini proses pilihanraya tidak dapat menjatuhkan Barisan Nasional. Majoriti rakyat Malaysia tetap memberi kemenangan kepada Barisan Nasional. Kenapa tidak. Semua terpaksa terima hakikat bahawa Kerajaan-Kerajaan Barisan Nasional telah membawa banyak kemajuan dan nikmat lain kepada rakyat. Barisan Nasional berjaya membawa keamanan dan kesejahteraan kepada Negara Malaysia. Tiap seorang dari rakyat Malaysia dapat mengecapi kehidupan yang lebih mewah dan lebih bahagia di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Segala percubaan oleh parti-parti lawan untuk mengurangkan sokongan dan persepsi baik terhadap Barisan Nasional dan pemerintah yang didirikan olehnya tidak berjaya.

7. Memandang kepada sejarah Malaysia merdeka dan keputusan- keputusan pilihanraya, parti lawan tentu kurang yakin mereka akan menang PRU 13 dan mendirikan Kerajaan Pusat. Cara demokrasi tidak boleh menjayakan mereka. Melihat penggulingan Kerajaan di Negara-negara Arab, tentulah terlintas di hati pemimpin-pemimpin parti lawan bahawa cara-cara demonstrasi ganas dan berpanjangan lebih mungkin memberi kejayaan kepada cita-cita mereka.

8. Tetapi mereka perlu menunjuk kepada rakyat, dan lebih utama kepada dunia luar bahawa Kerajaan Barisan Nasional di Malaysia adalah zalim dan menindas rakyat seperti Kerajaan-Kerajaan kuku besi Negara Arab.

9. Maka diciptalah Bersih. Kononnya pilihanraya di Malaysia ditipu oleh Kerajaan Pusat, walau apapun bukti bahawa di Malaysia parti lawan boleh menang dan telah menang berkali-kali jika rakyat menyokong mereka dan sebaliknya di Negara Arab bukan sahaja Kerajaan yang digulingkan tidak pernah kalah tetapi pilihanraya memberi kemenangan 99% kepada pemerintah, masih juga didakwa Pilihan Raya Umum ditipu oleh Kerajaan Malaysia.

10. Kerajaan bertindak untuk meneluskan lagi proses pilihanraya mengikut kehendak parti lawan. Tetapi masih juga dituduh yang Kerajaan menipu.

11. Banyaklah lagi tuduhan kezaliman dan kemungkaran yang dilempar kepada Kerajaan semata-semata untuk memburukkan imej Kerajaan.

12. Tunjuk-tunjuk perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan PRU 13 jika parti lawan gagal memenanginya. Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihanraya ditolak dan satu Kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan. Kemudian mereka akan berusaha untuk mengadakan pilihanraya sekali lagi yang boleh dimanipulasi oleh mereka.

13. Sudah tentu sebelum Kerajaan pilihan rakyat digulingkan, negara akan diserang bertubi-tubi dengan demo ganas dan huru-hara. Perancangan dan perusahaan akan diganggu mungkin dengan mogok di sana sini anjuran parti lawan.

14. Kestabilan negara akan tergugat. Polis dituduh melakukan keganasan supaya mereka tidak dapat kawal huru-hara dan demo dengan cara berkesan.

15. Kuasa-kuasa asing akan mengecam Kerajaan pilihan rakyat kerana kononnya mengguna kekerasan menghalang kebebasan bersuara dan berdemo. Malaysia akan dicap sebagai Police State.

16. Malaysia yang telah memberi banyak nikmat dan kebahagiaan kepada rakyatnya, yang telah diiktiraf sebagai Negara yang termaju di antara negara membangun, Malaysia yang bangun dengan pesatnya akan bertukar menjadi negara yang tidak lagi stabil dan maju, dan tidak lagi memberi kebahagiaan dan rahmat kepada rakyatnya. Mereka tidak percaya dengan demokrasi maka akan hilanglah hak rakyat untuk memilih Kerajaan.

17. Negara ini akan menjadi miskin dan Wawasan 2020 tidak akan menjadi kenyataan. Inilah yang akan berlaku kerana parti bukan Barisan Nasional kecewa tidak dapat ke Putrajaya. Jika dengan cara ganas mereka, mereka berjaya merebut kuasa, percayalah demokrasi akan dihapuskan dan nasib yang buruk akan menimpa Negara tercinta ini.


0 comments:

share2