Seramai 35 penduduk Kampung Lada, dekat sini mengikuti Bengkel Pelan Tindakan Desa, Satu Kampung Satu Produk yang diadakan baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lada, Mazlan Malik berkata, penyertaan dalam bengkel itu bagi membolehkan peserta meningkatkan kemahiran sebelum mengusahakan tanaman pisang sebagai satu sumber pendapatan kepada penduduk.
"Kami telah mengadakan bengkel selama sehari yang dikendalikan penceramah dari Institut Kemajuan Desa (Infra), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Menurutnya, penduduk kampung telah lama berhasrat memajukan tanah padang ragut seluas lapan hektar yang terbiar dengan tanaman pisang dan impian mereka bakal menjadi kenyataan.
"Pasaran pisang di Jerantut sendiri sangat baik dan sebab itu kami memilih mengusahakan tanaman pisang malah berhajat menjadikan perusahaan berasaskan pisang sebagai produk yang menjana ekonomi kepada penduduk setempat seperti kerepek pisang," ujarnya.
Beliau berkata, golongan wanita di kampung berkenaan telah mengusahakan kerepek pisang dan mendapat sambutan menggalakkan sehingga tidak dapat memenuhi permintaan pasaran.
Mazalan memberitahu, penduduk di sini sudah bersetuju memulakan projek tersebut melalui penubuhan koperasi bagi mengumpul modal pusingan.
Seorang penduduk kampung, Khairul Azman Sazali, 26, menyifatkan projek tersebut sangat baik kerana permintaan pisang yang tinggi di pasaran.
"Bengkel ini memberi peluang kepada penduduk kampung untuk membuat perancangan dan pelan tindakan ke arah membangunkan serta memajukan produk desa bagi meningkatkan aktiviti ekonomi mereka," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pengurusan Desa, Bahagian Pembangunan Sosial dan Antarabangsa Infra, Norazman Abdul Rahman berkata, penduduk digesa meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai projek yang hendak dijalankan terlebih dahulu bagi mengelakkan timbul masalah ketika projek tersebut berjalan.
"Kegagalan menguasai ilmu tentang sesuatu projek akan menyebabkan projek itu terbengkalai dan hanya menjadi projek gajah putih," kata beliau.
Tambahnya, penduduk luar bandar harus merebut segala peluang yang diberikan kerajaan bagi memajukan diri dan kampung masing-masing dari segi ekonomi sekali gus membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.
0 comments:
Post a Comment