Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 10, 2012

Khabar Derita Kampung Sungai Ruil

JARUM jam menunjukkan pukul 4.30 petang. Dalam kepenatan sambil membawa buku dan menggalas beg sekolah, Sereey Prisila Sa'ari, 16, mendaki bukit untuk segera tiba di rumahnya. Hari itu dia pulang lewat kerana menghadiri aktiviti kokurikulum di sekolah. Sebaik membuka daun pintu rumah dengan pantas dia melabuhkan punggung di atas sofa.

Sereey terlelap seketika dan terjaga selepas mendengar ibunya, Sara anak perempuan Gunung, 37, pulang dari kerja. Dua beranak itu meluangkan masa berceloteh dan bergurau senda. Namun sedang asyik ketawa tiba-tiba ibunya membisu seribu bahasa.


Sereey agak pelik dengan sikap ibunya tetapi enggan bertanya lanjut. Lantas anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu terus menuju ke kamar mandi untuk membersihkan diri. Kemudian, selepas menyangkut tuala dan ingin membuka pakaian secara tiba-tiba dia rebah.

"Saya tak ingat apa-apa. Buka saja mata saya sudah terlantar di hospital. Rupa-rupanya, saya koma selama dua minggu. Saya mengalami kecederaan yang serius di paha kiri manakala tangan kiri pula patah. Malah, saya kebingungan sehingga tidak mengenali ahli keluarga yang berada di sisi.

"Namun selepas beberapa hari ingatan saya beransur pulih tetapi yang peliknya sepanjang tiga minggu di hospital kelibat ibu langsung tidak kelihatan. Ayah dan saudara- mara asyik berdolak-dalik mengatakan bahawa ibu terpaksa bertugas di luar daerah. Padahal, ibu sudah tiada kerana terkorban dalam tragedi," luah Sereey kepada dalam nada tersekat-sekat menahan sebak.

Sereey ialah salah seorang mangsa yang terselamat dalam insiden tanah runtuh di Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands pada bulan Ogos tahun lalu.

Sereey ketika ditemui di pusat pemindahan sementara yang terletak satu kilometer dari perkampungannya menjelaskan, kini tiada lagi kedengaran gelak tawa dan kata-kata nasihat daripada ibunya. Setiap detik dia merindui ibunya yang juga merangkap teman setianya tatkala suka dan duka.

"Saya rindu suara ibu dan asyik teringat kelazatan bubur kacang hijau air tangannya. Kadangkala ibu hadir dalam mimpi dan memeluk erat tubuh saya. Dia menasihati supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga.

"Sehingga hari ini saya masih trauma dengan insiden yang berlaku. Setiap kali melintas kawasan kejadian saya pasti mengalihkan pandangan kerana akan terbayangkan ibu. Pada masa yang sama, tak sanggup melihat tapak rumah kami sekeluarga yang musnah sekelip mata," cerita pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands itu yang bercita-cita menjadi pramugari.

Sementara itu, Sa'ari anak lelaki Balad, 41, yang setia di sebelah Sereey, tidak berhenti bersyukur kerana anak perempuannya itu terselamat daripada bencana tersebut. Namun di sudut hati bapa kepada empat orang cahaya mata itu seringkali menangis apabila mengenangkan pemergian isteri tercinta.

Cerita lelaki yang berkulit hitam manis itu, pada hari kejadian dia bersama anak ketiganya pulang ke kampung atas urusan keluarga. Malangnya, baru saja tiba di kampung dia mendapat panggilan daripada seorang jiran mengenai kejadian tanah runtuh. Lantas, dia bergegas pulang kerana bimbang keselamatan isteri dan anak-anaknya.

"Betapa luluhnya hati tiba saja di sana, rumah saya telah musnah dan hilang daripada pandangan. Namun, saya bersyukur apabila diberitahu Sereey selamat. Walau bagaimanapun isteri saya masih tertimbus dan operasi menyelamat sedang dijalankan. Namun apakan daya, umur isteri tidak panjang.

"Justeru, saya tidak boleh berterusan bersedih dengan meratapi pemergiannya. Hari demi hari saya berusaha mengumpul kekuatan untuk meneruskan kehidupan memandangkan anak-anak masih memerlukan saya," luah Sa'ari yang turut kehilangan abangnya, Jaafar Balad, 48, dan kakak ipar, Normah Gunung, 51. Dia juga kehilangan saudara-maranya yang lain seperti Mohd. Ikbal, 15; Yusniza Yusof, 22 dan Normadiah Lasik, 69 serta jirannya, Mat Ali Ah San, 50.


Bagi Ramlah anak perempuan Balad, 40, meskipun kejadian tanah runtuh itu sudah sembilan bulan berlalu, namun tragedi itu seakan-akan baru berlaku semalam. Bahkan, titik hitam itu masih basah dalam memorinya. Lebih memilukan, adakalanya deria pendengaran ibu kepada lima cahaya itu bagaikan terdengar-dengar pekikan orang yang meminta tolong.

"Sedih memikirkan apa yang berlaku kerana ia telah meragut nyawa sebahagian besar ahli keluarga saya. Namun saya reda kerana setiap kejadian itu ada hikmahnya sehinggakan saya sanggup berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada anak saudara yang kehilangan ibu dan ayah," katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

"Saya ingin menjaga dan memulihkan semangat mereka. Selain makan, minum dan pakaian saya turut memastikan mereka mendapat kasih sayang secukupnya," jelas Ramlah yang menyaksikan tiga buah rumah keluarganya ranap dihempap tanah dan pokok.

Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Sungai Ruil, Samsudin Baszainial, 39, berkata, suasana Kampung Sungai Ruil tidak seperti dulu. Sebahagian keriuhan dan kemeriahan yang dinikmati sebelum ini telah hilang dan ditimbus tragedi tersebut.


Walaupun penduduk kampung sudah kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa, namun mereka tetap berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga. Jika mendapati struktur bukit dalam keadaan yang mencurigakan, mereka segera melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Kumpulan kanak-kanak dan golongan muda juga sentiasa diingatkan supaya tidak bermain di kawasan bukit yang tinggi.

"Dulu kanak-kanak bebas bermain di persekitaran kampung tanpa had. Tiada siapa yang kisah jika mereka berlari hingga ke puncak bukit atau bergurau senda di sungai. Hari ini, ibu dan ayah serta penduduk kampung mula memantau pergerakan anak-anak.

"Kami akan memastikan mereka tidak bermain di atas bukit yang terlalu tinggi terutamanya pada musim hujan. Sekarang ini, dengar bunyi guruh dan hujan renyai-renyai pun kami sudah trauma. Kami bimbang sejarah yang sama berulang di kampung ini," jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.

0 comments:

share2