Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 11, 2012

Transformasi Felda Bukit Goh Bukti Kejayaan

Pada 40 tahun dahulu, kebanyakan peneroka Felda Bukit Goh dekat sini mengambil keputusan meninggalkan tanah rancangan itu dan sanggup berpindah ke kampung lain kerana kesukaran meneruskan kehidupan di situ.

Namun, perkara itu berubah apabila 671 peneroka yang masih bertahan hari ini mengecapi kemakmuran dan kemajuan hasil kesabaran serta ketekunan mengerjakan kebun sawit masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda tersebut, Mat Zahari Deraman berkata, perkembangan pembangunan pesat di tanah rancangan itu bermula pada 2007.

"Felda Bukit Goh mula dibuka pada 1968 dan diduduki peneroka pada 1970. Kebanyakan mereka berasal dari Pahang, Kedah dan Kelantan.

"Pada ketika itu di sekeliling kawasan ini adalah hutan dan jaringan jalan raya pula tanah merah yang berisiko untuk dilalui ketika waktu hujan.

"Saya masih ingat lagi apabila banjir besar melanda daerah ini pada 1970 yang mana penduduk terpaksa menaiki rakit untuk ke Tanjung Pasir iaitu sejauh lapan kilometer untuk membeli barang keperluan," katanya.

Mat Zahari berkata, kesukaran untuk meneruskan kehidupan di tanah rancangan itu menyebabkan ramai peneroka mula beralih arah dan berpindah ke kawasan lain.

Beliau yang juga peneroka awal di situ memberitahu, pada pertengahan 1980-an kawasan itu mula menerima perubahan apabila disediakan masjid, sekolah menengah, sekolah rendah, klinik desa, balai polis, pejabat pos, kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air untuk kemudahan masyarakat peneroka.

"Felda Bukit Goh mula menjadi pusat pentadbiran untuk semua peneroka yang tinggal di Felda berhampiran iaitu Gugusan Felda Bukit Sagu dan Felda Bukit Kuantan," katanya.

Jelasnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh mampu menampung lebih 1,000 pelajar yang terdiri daripada anak peneroka dari tanah rancangan berhampiran.

Malah katanya, sekolah berkenaan juga melahirkan pelajar cemerlang di kalangan anak peneroka yang berwibawa seperti Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin.

Bukan itu sahaja tambahnya, Sekolah Agama Al-Maarif Bukit Goh juga dibina di sini bagi kemudahan pendidikan kepada generasi kedua dan seterusnya.

Sekolah itu diangkat antara Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) terbaik di Pahang berikutan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini apabila Gred Purata Sekolah mencatatkan peningkatan sebanyak 1.63.

Sehubungan itu katanya, Felda Bukit Goh terus diberi nafas baru bermula 2007 apabila generasi kedua diberi peluang untuk menjalankan peniagaan.

Justeru, Mat Zahari berkata, Pusat Internet Desa (PID) mula dibuka untuk memberi pendedahan dunia teknologi maklumat (IT) kepada generasi kedua Felda.

"Bukan itu sahaja, medan selera bernilai RM290,000 di bawah Pertubuhan Peneroka dan deretan kedai serbaguna bernilai RM500,000 di bawah Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh turut dibina di sini," katanya.

Katanya, sebuah masjid bernilai RM3.8 juta di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dibina untuk kemudahan 10,000 warganya.

0 comments:

share2