PELBAGAI ruang telah diberikan kepada mereka untuk mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk juga kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya. Apa lagi yang tidak puas hati!
Tujuh daripada lapan perkara yang dituntut oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) dimasukkan dalam 22 syor yang dikemukakan PSC ke Dewan Rakyat baru-baru ini. Malah Dewan Rakyat meluluskan semua 22 cadangan itu tanpa dibahaskan ekoran kekecohan yang ditimbulkan oleh wakil rakyat pembangkang.
Ada-ada sahaja ditimbulkan oleh pembangkang walhal anggota mereka – Azmin Ali (PKR-Gombak), Loke Siew Fook (DAP-Rasah) dan Dr. Mohd Hatta Ramli (Pas-Kuala Krai) ada dalam jawatankuasa PSC.
Bukan mereka tidak boleh jelaskan kepada anggota pembangkang lain tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh SPR terhadap tuntutan Bersih atau orang ramai. Tetapi trio itu lebih sibuk mengugut untuk keluar daripada jawatankuasa itu, bukannya mencari jalan terbaik untuk menambah baik perjalanan sistem pilihan raya kita.
Kalau berdasarkan kenyataan Pengerusi PSC Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili bahawa 82 peratus daripada 22 syor penambahbaikan yang diputuskan sebelum ini dipersetujui bersama oleh wakil mereka dalam jawatankuasa itu tanpa sebarang masalah, jelas pembangkang tidak ikhlas dan suka ambil kesempatan di Parlimen.
Hanya disebabkan ‘laporan minoriti’ tidak dibentangkan, pembangkang buat kecoh dan akibatnya laporan akhir jawatankuasa itu tidak dapat dibahaskan di Dewan Rakyat.
Jelas isu ini juga digunakan bagi menguatkan alasan pembangkang untuk turut menyertai Bersih 3.0.
Jika perhimpunan itu diadakan pada 28 April ini – sama ada mendapat atau tidak kelulusan daripada polis, maka masa dan tenaga yang dicurahkan semua pihak yang mengambil bahagian dalam PSC menjadi sia-sia.
Ingatlah, akibat perhimpunan Bersih 2 pada 9 Julai 2011, maka PSC ditubuhkan. Setelah berbulan-bulan menjelajah seluruh negara, adakah pembangkang tidak rasa kerugian?
Atau PKR, DAP dan Pas benar-benar main politik sepanjang masa. Tidak jujur dan komited untuk memperbaiki proses pilihan raya negara.
Sengaja membangkitkan isu remeh dan diperbesar-besarkan supaya perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini dapat diadakan bagi meraih simpati rakyat.
Pengerusi Bersama Bersih, Tan Sri A Samad Said pada sidang medianya baru-baru ini berkata, perhimpunan Bersih 3.0 tetap diadakan pada 28 April ini sebagai bantahan terhadap keputusan PSC itu.
Jelas agenda perjuangan pertubuhan haram itu bukan untuk ‘membersihkan’ proses pilihan raya tetapi lebih dilihat sebagai alat pembangkang untuk menghentam kerajaan.
Jadi usah dipersoalkan hasrat Bersih untuk turun ke jalanan sekali lagi, waima banyak tuntutan mereka telah dipersetujui untuk dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Dulu Bersih sibuk tuntut guna dakwat kekal, sekarang sudah dipersetujui. Dulu desak daftar pemilih dibersihkan, sekarang sudah dibersihkan seberapa yang boleh.
Sepatutnya daripada awal lagi kerajaan tidak perlu buang masa dan tenaga menubuhkan PSC. Lihat sekarang, Bersih dan pembangkang tetap tidak berpuas hati. Apa yang mereka tuntut mesti dipenuhi. Jika gagal mereka akan adakan demonstrasi.
Mereka tidak mahu dilihat sudah hilang taring apabila kemahuan mereka cuba dipenuhi. Apa yang mereka lakukan ada muslihat politik. Jika tidak dipenuhi, mereka cuba mengeruhkan suasana aman negara ini.
Jika pihak berkuasa tidak bertindak tegas terhadap penganjur perhimpunan Bersih, mungkin kesannya beralih kepada pihak kerajaan. Belajarlah daripada peristiwa 9 Julai 2011 apabila Bersih bijak mengalih perhatian terhadap kesalahan mereka dengan menuduh polis pula sebagai zalim.
Jangan kita lupa perbuatan pihak yang telah menderhaka terhadap perintah Yang di-Pertuan Agong.
Malah janganlah mengecewakan lagi beribu-ribu pertubuhan bukan kerajaan yang membuat laporan polis (jika ada) bagi membantah penganjuran perhimpunan kali ini.
Oleh kerana hak mengadakan perhimpunan telah dilonggarkan, maka pihak polis mesti tetapkan perhimpunan itu hanya boleh diadakan di tempat tertutup seperti stadium atau padang tertutup, dan bukan di Dataran Merdeka.
Bayangkan kesan jika diadakan di Dataran Merdeka. Ia pasti menimbulkan kesusahan kepada para peniaga, pemandu teksi dan orang ramai.
Rakyat Malaysia perlu faham Bersih 3.0 yang dijadualkan bulan ini bertujuan menunjukkan kekuatan pakatan pembangkang, selain menjejaskan imej negara pada peringkat antarabangsa.
Jadi sekali lagi, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu takut mengambil tindakan tegas terhadap penganjurnya jika difikirkan patut. Sudah sampai masanya kerajaan tunjuk benar-benar tegas.
0 comments:
Post a Comment