Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 16, 2012

PAS Semakin Hilang Asas Perjuangan


BERSUNGGUH-SUNGGUH benar Pas menjaja artis yang memilih untuk menyertai parti itu. Ia seakan satu kejayaan yang dibangga dan diagung-agungkan kerana kononnya telah berjaya membawa artis itu ke jalan yang benar.

Begitu sekali terdesaknya Parti Islam SeMalaysia ini. Kalau niat artis berkenaan mencari jalan yang benar atau mahu mengukuhkan akidah tentu sekali bukan parti politik yang dipilih. Jelas, mereka juga ada kepentingan lain.

Penyertaan satu dua artis mahupun sasterawan di pentas ceramah Pas dianggap sebagai 'berbondong-bondong'. Malah akhbar Pas melihatnya sebagai tanda kejatuhan sebuah kerajaan.

Begitu sekali kualiti parti itu sekarang. Penyertaan artis tidaklah seramai mana. Terbaru adalah Wan Aishah Wan Ariffin (Aishah). Penyanyi tahun 1980 dan 1990-an ini 'diijazahkan' di pentas Markas Tarbiyah Pas, Taman Melewar baru-baru ini.

Belum diketahui sejauhmana Pas akan mempergunakan populariti (jika masih ada) Aishah ini terutama dalam aktiviti seperti siri ceramah dan demonstrasi.

Melalui Bob Lokman, Pas nampak berjaya. Keceluparan mulut Bob Lokman yang menyertai Pas tahun lalu telah banyak menimbulkan kontroversi dan polemik. Penulis lirik dan pelakon ini seakan berubah wajah 180 darjah menjadi pengecam kerajaan dan rakan-rakan artis lain.

Pas yang dikatakan kuat itu berkelakuan aneh apabila menari mengikut rentak PKR dan DAP yang pintar mencetuskan kontroversi untuk menjadikan mereka terus relevan sehinggakan artis yang kononnya mencari jalan terang, sanggup diperdagangkan.


Selain mereka, artis lain tidak pula menonjol. Jika sasterawan pula, setakat ini hanya Datuk A.Samad Said yang diketahui aktif di pentas pembangkang.

Sasterawan negara, Datuk Shahnon Ahmad yang pernah menjadi Ahli Parlimen Sik pula kini lebih banyak menentang dasar-dasar baru Pas. Malangnya, keluhan Shahnon hanya sayup-sayup terdengar dari kejauhan.

Tiada siapa dalam kepimpinan Pas yang peduli. Veteran Pas ini tidak lagi dianggap relevan. Layanan yang diterimanya jauh berbeza berbanding yang pernah dinikmatinya dahulu terutama semasa novel Shit menjadi karya 'popular untuk menghentam kerajaan' pada 1999.

Hairan, dalam kedudukan Pas yang dikatakan kuat, mengapa pula parti ini bersungguh-sungguh menggunakan artis dan sasterawan untuk meraih populariti? Atau sebenarnya mereka bukanlah sekuat yang disangka.

Dari kaca mata sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, parti ini dianggap tidak lebih hanya sekadar pelengkap. Hanya UMNO yang menganggap dan melayan Pas sebagai sebuah parti yang kuat tetapi bukannya rakan-rakan parti berlambang bulan itu.

Dalam unjuran PKR untuk PRU13, dikhabarkan bahawa PKR diletakkan sebagai parti yang dominan dengan memenangi 52 kerusi. DAP 43 dan Pas pula hanya 28 kerusi.

Ini bermakna, mengikut unjuran yang belum disahkan itu, pakatan pembangkang bakal memperoleh 123 kerusi Parlimen dan dapatlah mereka menawan Putrajaya. Maka, sekaligus tercapailah impian Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Begitukah yang akan berlaku kelak? Pada Pilihan Raya Umum 2008, PKR menang 31 kerusi manakala DAP 28 kerusi dan Pas 23 kerusi.

Tetapi semua orang tahu, ramai calon PKR menang kerana kerja keras jentera Pas. Tanpa mereka, PKR hampir tidak wujud khususnya di peringkat ranting. Tidak seperti Pas, ramai wakil rakyat PKR yang akhirnya memilih untuk keluar parti.

Mungkin sebab itu, ada Pas negeri yang mengetahui kekuatan sebenar tanpa berselindung menolak desakan PKR yang meminta-minta lebih banyak kerusi bak hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

"Pas memang lebih kuat daripada PKR di mana-mana sahaja. Tapi Pas tetap menghormati PKR sebagai rakan parti dalam pembangkang," kata Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.

Kenyataan tegas Abu Bakar yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Terengganu itu sebagai menolak desakan PKR untuk meletakkan 11 calon di kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen. Yang Pas Terengganu benarkan ialah lima kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen.

Begitu juga di Kedah. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang sudah lelah dengan desakan tambahan kerusi daripada PKR dan DAP bertegas bahawa pembahagian kerusi untuk Pas sudah selesai. Yang tinggal hanya antara PKR dan DAP walaupun kedua-dua parti itu mahukan kerusi Pas.


Begitupun dengan perjanjian pakatan pembangkang yang dinakhodai oleh Anwar, terlihat sukar untuk Pas keluar daripada kepompong grand design PKR dan DAP ini. Ditambah pula. kepimpinan Pas telah dikunci kemas oleh puak Anwarinas.

Jadilah mereka kuda tunggangan. Abu Bakar dan ramai pemimpin akar umbi tentu sedar tentang manipulasi Anwar itu tetapi apa daya suara mereka tidak ke mana.

Mereka juga sedar akibat onar PKR dan DAP itu, Pas yang menerima akibatnya. Para ahli hilang kepercayaan manakala orang Melayu secara umumnya tidak lagi berani menyandarkan harapan kepada Pas.

Bukan lagi rahsia apabila ulama, cendekiawan dan pemikir Islam yang dulu rapat dengan kepimpinan Pas semakin menjauhkan diri daripada aktiviti parti itu.

Kumpulan ini cuba mengelak untuk berada di majlis-majlis yang dihadiri oleh Anwar mahupun Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu iaitu dua individu yang dilihat telah merosakkan parti itu.

Bagaimana mungkin cendekiawan dan ulama ini boleh berinteraksi dengan orang seperti Mat Sabu mahupun Anwar yang terpalit dengan banyak dakwaan salah laku moral. Tentu sangat janggal.

Bukan juga rahsia, Pas sebenarnya telah berpecah. Akarnya sudah tidak sekuat dulu.

Anwar dan konco-koconya tentu gembira kerana perpecahan yang berlaku dalam Pas memungkinkan parti ini tidak mampu untuk menyaingi PKR. Ia juga akan memungkinkan suara-suara tegas seperti dari Abu Bakar dan Azizan tidak lagi kedengaran.

Jadilah PKR bersama-sama DAP parti dominan, menunggang Pas yang sengaja dibiarkan bergelut mencari identiti diri sedangkan parti itu mempunyai kelebihan dari banyak segi.

Akibat terbuai dengan mimpi PKR dan DAP, Pas telah menjadi parti yang dianggap memuakkan oleh ahlinya sendiri. Kepimpinan mereka lebih asyik mementingkan perjuangan kelompok daripada aspirasi rakyat dan ahli sendiri.

0 comments:

share2