Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 16, 2012

Beza Hamba Dan Pekerja

ANTARA lain laporan media pada minggu ini ialah dua berita dari mahkamah. Satu mengenai panel mahkamah rayuan menolak rayuan seorang bekas imam masjid yang dihukum penjara setahun kerana membaling selipar terhadap hakim.

Satu lagi kes bekas pengurus besar kanan anak syarikat Sime Darby, dihukum penjara 27 tahun dan denda RM894,400 selepas bersalah atas lima tuduhan rasuah. Hukuman terhadapnya ditangguhkan sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sudah tentulah mereka yang dihukum berasa malu, tetapi jika mereka menginsafi hakikat hubungan kita manusia dan Allah SWT, malu yang lebih besar adalah kepada-Nya. Dan jika manusia sentiasa berasa malu dengan Allah, maka mereka tidak akan melakukan kesalahan seumpama. Malangnya kebanyakan manusia selalu lupa hakikat siapa dirinya di sisi Allah, sama ada kerana jahil, terlupa atau sengaja melupainya.

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan (menghambakan) diri kepada-Ku. - Ad Dzariat 51: 56

Allah menjadikan manusia supaya menjadi hamba kepada-Nya. Seseorang hamba dikehendaki sentiasa taat kepada tuannya. Dia tidak mendapat gaji dan hanya mengharapkan sekadar apa jua yang diberikan atas dasar belas kasihan tuannya. Disuruh apa jua, si hamba akan mengerjakannya dengan taat tanpa soal.

Tetapi kebanyakan manusia tidak bersikap hamba dengan Allah. Manusia bersikap pekerja. Setiap hari pelbagai permintaan dan tuntutan yang kita mahukan daripada-Nya. Kita mahu kaya, mahu sihat, mahu anak dapat 10 A, mahu rumah besar, mahu kereta besar, mahu pangkat besar dan pelbagai lagi. Tidak cukup dengan segala permintaan untuk kehidupan dunia, kita juga minta syurga untuk kehidupan di akhirat.

Mereka bersolat dan beribadat bukan sebagai hamba Allah, tetapi sebagai pekerja yang mengharapkan pelbagai upahan. Lagi banyak dapat upah, lagi dirasakan dirinya baik daripada orang lain. Akhirnya dia megah, riak, sombong dan lupa bahawa segala yang ada pada dirinya (termasuk ilmu dan keupayaan beribadat) adalah pemberian dan ketentuan Allah jua.

Ada juga yang mendapat kekayaan, tetapi tidak pernah berasa cukup. Nafsunya tidak dikawal sehingga dia tidak pernah berasa puas dengan apa yang Allah kurniakan kepadanya. Lalu dia menggunakan kaedah yang Allah larang untuk menambah kekayaan. Dia pecah amanah, menipu, menerima rasuah dan sebagainya.

Jika permintaan tidak diperoleh, ramai yang marah-marah. Lupakah mereka betapa banyak nikmat yang Allah berikan kepada manusia? Sepatutnya ketika bangun tidur setiap pagi, mereka berdiam diri sejenak untuk menghitung betapa Allah masih memberikan nyawa kepadanya. Betapa mata masih melihat; otak masih boleh berfikir dengan waras; telinga masih mendengar; mulut masih bertutur; kudrat masih ada untuk bangun, mandi dan bekerja; dan masih ada selera (irodat) untuk makan nasi lemak atau roti canai sebagai sarapan pagi. Jika hendak dihitung dengan wang ringgit semuanya itu, segunung emas pun tidak menyamai nilainya. Masih tidak mahu bersyukur!

Dan jika mereka insaf bahawa segala yang berlaku adalah atas ketentuan Allah, tentulah mereka bersabar dan reda dengan Allah. Misalnya, ada yang apabila ditimpa musibah, akan memberitahu media:‘‘ Saya reda atas segala ketentuan Allah.”

Baguslah menyatakan begitu, tetapi pastikan apa yang tersemat di hati juga sama dengan yang dizahirkan dengan lidah. Malah akan menjadi sempurna sifat kehambaan seseorang jika dia menghadapinya dengan kombinasi tiga perkara yang seia sekata. Tutur kata dan perbuatan sejajar dengan apa yang terkandung di hati. Jika berbeza salah satu, maka tidak sempurnalah sifat kehambaannya.

Di dalam surah Al Waaqiah, Allah mengkategorikan manusia kepada tiga kelompok pada hari kebangkitan kelak. Kelompok paling istimewa ialah golongan jalan lurus yang Allah akan terus panggil menghadap-Nya dan lebih awal masuk ke syurga tanpa dihisab dosa dan pahala.

Mereka ini digelar ‘muqorabin.’ Mereka adalah hamba Allah yang lulus ujian-Nya. Sangat tinggi kesabaran mereka, 100 peratus berserah diri kepada Allah, dan tiada sedikit pun perasaan negatif di hati mereka terhadap Allah. Jika susah, mereka reda bahawa apa yang berlaku adalah ketentuan Allah. Jika dikurniakan nikmat, mereka sangat bersyukur. Mereka takut dan malu hanya kepada Allah, tidak kepada makhluk yang lain.

Kelompok kedua ialah golongan kanan yang hanya dimasukkan ke syurga setelah dibicarakan di mahkamah Allah yang maha adil. Kemudian, ada yang dimasukkan sekejap ke dalam azab neraka sebelum akhirnya dimasukkan ke syurga. Ada yang menunggu terlalu lama dengan penuh keluh-kesah dan ketakutan kerana tidak tahu ke mana destinasi kekal mereka. Bagaimanapun, golongan ini akhirnya tetap ke syurga.

Dan kelompok ketiga ialah golongan yang celaka kerana tempat kekal mereka ialah neraka. Mereka ini adalah golongan yang langsung tidak mempunyai sifat kehambaan. Mereka tidak menyembah dan mengesakan Tuhan. Ada yang zahir sahaja kelihatan menyembah Allah, tetapi hakikatnya mereka adalah orang yang fasik dan munafik. Mulut sahaja mentaati Allah, tetapi hati dan perbuatan sentiasa kufur.

Sudah tentulah semua manusia mahukan kehidupan yang terbaik di akhirat kelak. Melalui al-Quran dan Rasulullah, digariskan jalan untuk kehidupan dunia dan akhirat yang terbaik. Tetapi kebanyakan manusia tidak beriman kepada Allah, rasul dan kitab-Nya. Ada yang kelihatan warak, tetapi apabila diuji sedikit, hilang kesabaran dan sifat kehambaan.

Sebab itulah Allah menceritakan dalam Quran kisah Nabi Yusuf dan bapanya Nabi Yaakob untuk menjadi pedoman kepada umat Muhammad tentang bagaimana hendak menjalani kehidupan sebagai hamba yang diredai-Nya.

Nabi Yusuf sentiasa berserah diri kepada Allah dan reda terhadap segala ketentuan-Nya. Semasa masih budak, dia nyaris dibunuh oleh adik beradiknya. Ketika dewasa dia difitnah kononnya mahu mencabul seorang wanita . Nabi Yusuf lebih rela dimasukkan ke dalam penjara daripada terus jadi sasaran godaan. Sejak kecil dia melalui pelbagai ujian yang hebat, tetapi sedikit pun tidak luntur iman dan sifat kehambaannya kepada Allah. Beliau tidak pernah menyalahkan orang lain, apatah lagi bersangka buruk terhadap Allah.

Bapanya Nabi Yaacob turut menderita, tetapi dia juga amat bersabar. Allah merakamkan dialog Nabi Yaakob dengan anak-anaknya untuk panduan kita umat Muhammad.

Dan Yaakob berkata: “Hai anak-anakku janganlah kamu masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian aku tidak dapat melepaskan kamu barang sedikitpun dari pada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan sesuatu hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya sahajalah orang-orang yang bertawakkal berserah diri.” - Yusuf 12: 67

Berserah diri kepada Allah dan mematuhi segala perintah-Nya adalah sifat seorang hamba. Janganlah bersifat pekerja yang sentiasa menuntut upahan dan mudah tidak puas hati. Jauh sekali daripada menjadi penderhaka yang berlagak lebih berkuasa daripada si tuan.

0 comments:

share2