Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 29, 2012

Meningkatkan Integriti Kabinet, Kerajaan


Januari lalu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mencadangkan supaya anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan termasuk menteri Kabinet menyerahkan salinan fail pengisytiharan harta mereka dan keluarga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kelmarin, 27 Februari - kerajaan bersetuju membenarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran Persekutuan termasuk menteri, timbalan menteri dan keluarga mereka. Semua ini untuk memastikan bahawa kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) bersih dan telus.

Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan Management & Science University (MSU) Prof. Dr. Mohd Zainul Fithri Othman berpandangan dakwaan bahawa kerajaan BN hari ini cuba berselindung daripada mengisytiharkan harta mereka adalah tidak benar dan ia disambut dengan tindakan yang berani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pendekatan ini juga akan meningkatkan integriti dalam kerajaan dan memberikan penglihatan jelas kepada rakyat bahawa kerajaan BN yang ada bukan sebuah kerajaan yang tidak telus seperti mana yang difitnah oleh pihak pembangkang selama ini, kata Mohd. Zainul Fithri.

"Ini adalah kerana pemeriksaan harta ini, bukan hanya melibatkan individu tertentu tetapi juga saudara mara individu tersebut, agar fitnah bahawa kakitangan 'makan suap' dan menggunakan anak, isteri, serta abang atau adik serta sepupu sebagai proksi akan terjawab.

"Keberanian Najib memberikan kebenaran kepada SPRM menampakkan keikhlasan beliau sebagai Pentadbir Negara No. 1. Beliau mahu pentadbiran yang diterajuinya ini bersih dan mencorakkan model kepimpinan yang berintegriti.

"Pada pandangan saya, Perdana Menteri melalui pendekatan ini, beliau ingin melonjakkan martabat serta darjat pentadbiran kerajaan di bawah BN sebagai sebuah pentadbiran yang berkredibiliti dan berakauntabiliti," jelas Mohd. Zainul Fithri.

Memang ada yang akan 'mengelabah' tetapi, ia berlaku jika ada yang melakukan perkara yang di luar jangkaan dan dugaan. Tetapi, tindakan ini akan melonjakkan integriti pemimpin, apatah lagi ia juga akan membersihkan persepsi negatif terhadap pemimpin dalam kerajaan BN.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamad jumlah aset milik menteri, timbalan dan anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menjadi perhatian SPRM adalah sepanjang tempoh mereka memegang jawatan sahaja.

Maknanya pemilikan kekayaan dan harta sebelum memegang jawatan dalam kerajaan tidak diambil kira.

"Apa yang menjadi perhatian SPRM bukanlah jumlah aset sebelum mereka menyandang jawatan dalam kerajaan, tetapi yang penting ada atau tidak pertambahan yang mendadak sehingga boleh menimbulkan keraguan sepanjang memegang jawatan kerajaan.

"Jadi, jumlah aset atau harta yang mereka peroleh atau sedia ada, kita akur," katanya.

Menteri Kabinet dan anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan perlu bersifat telus dan jujur dalam apa juga perkara, termasuk mengisytiharkan harta mereka dan keluarga kepada SPRM.

Bagaimanapun, maklumat tersebut tidak perlu dimaklumkan kepada masyarakat umum kerana ia akan mengundang pelbagai spekulasi dan fitnah.

Pengisytiharan harta kepada rakyat mampu untuk membendung budaya rasuah dan kronisme dalam pentadbiran kerajaan.

Kesediaan mengisytiharkan harta menunjukkan kerajaan sanggup meletakkan keutamaan rakyat melebihi kepentingan diri mereka sendiri.

Rakyat berhak mengetahui aset pemimpin mereka supaya mereka mengerti bahawa pemimpin yang diangkat benar-benar ikhlas memperjuangkan rakyat, bukan diri mereka sendiri.

Mengisytiharkan harta boleh mengelakkan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah dalam kalangan pemimpin negara.

Bagaimanapun Mohd. Zainul Fithri yang juga Naib Presiden Industri dan Perhubungan Organisasi MSU, menyarankan supaya bukan sahaja pengisytiharan harta yang hanya perlu diberikan perhatian tetapi hendaklah dilihat juga siapakah yang menjadi lembaga pengarah anak-anak syarikat dalam kementerian-kementerian.

"Adakah lembaga pengarah syarikat ini 'proksi' kepada seseorang. Ini sekali gus akan mematikan persepsi rakyat bahawa anak-anak syarikat di bawah kementerian dikuasai oleh puak-puak tertentu," kata Mohd. Zainul Fithri.

Satu lagi pandangan dan saranan Lembaga Penasihat SPRM sebelum ini berhubung dana politik turut diberi perhatian oleh Najib sehingga membawa kepada pelaksanaan inisiatif mengawal pembiayaan politik.

Perdana Menteri telah menyatakan semua dana politik hendaklah dimasukkan dalam sebuah akaun khas di mana semua kemasukan dana ini akan direkod bagi memastikan ia telus dan tidak disalahgunakan oleh sesiapa.

Ini juga satu tindakan berani dan baru dalam pentadbiran Najib.

Menurut Mohd. Zainul Fithri, selama ini kita acap kali mendengar ada saja orang hendak beri sumbangan atas aktiviti politik yang dikenali sebagai dana politik (political fund). Tetapi, tiada siapa yang 'accountable' kepada sumbangan ini maka sumbangan ini dengan jelas boleh diguna pakai secara sewenang-wenangnya oleh orang yang berkepentingan.

Inisitaif dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) ini amatlah dialukan oleh rakyat dan juga golongan profesional agar kerajaan yang akan diberikan mandat oleh rakyat kelak bersedia untuk membuat perubahan agar ia lebih telus, berintegriti dan berakauntabiliti.

"Ini adalah tindakan yang diambil oleh Kerajaan BN kepada parti-parti komponennya. Namun demikian, adakah perkara yang sama akan dilakukan oleh parti-parti pembangkang itu adalah di luar jangkaan dan dugaan.

"Mungkin, mereka mempunyai agenda dan pengurusan dana yang 'berbeza' daripada apa yang disarankan," kata Mohd. Zainul Fithri.

Tindakan Najib ini sekali gus memberikan penekanan bahawa beliau 'serius' memberikan pendekatan dalam membina satu persepsi baru kepada rakyat terhadap kerajaan yang baru nanti apabila rakyat memberikan mandat itu kepadanya.

Mohd. Zainul Fithri melihat ini adalah bukti keikhlasan dan kejujuran dalam pentadbiran Najib. Sesiapa sahaja yang akan berada bersama beliau nanti setelah kerajaan baru dibentuk, hendaklah bersedia menerima the new political culture dan the new administrative culture.

Sesiapa yang masih ditakuk lama dan masih mahu mengamalkan budaya lama, maka dipercayai akan membantut dan merosakkan imej yang hendak diguna pakai.

"Ini adalah usaha Perdana Menteri untuk memberikan nafas baru dan nilai tambah kepada pentadbiran yang sedia ada. Nilai baru ini hendaklah diterjemahkan dalam bentuk amalan di setiap agensi dan pentadbiran kerajaan di bawah naungan Kerajaan Persekutuan," kata Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan MSU itu.

Apa pun rakyat Malaysia pasti mahu mereka yang bersih, cekap dan amanah berada dalam tampuk kepimpinan kerajaan.

0 comments:

share2