KEMELUT Batu Uban dan tapak warisan lain di Pulau Pinang sebagai satu peninggalan sejarah tamadun Melayu merupakan satu manifestasi betapa orang Melayu sebenarnya tidak sepakat.
Ini boleh dilihat dalam konteks keikhlasan. Ramai pihak berkepentingan sama ada daripada ahli politik, tidak kira dari kerajaan apatah lagi pembangkang serta badan-badan bukan kerajaan (NGOs) yang masing-masing kelihatan menangguk di air keruh.
Bahkan sehingga kini, pelbagai sudah saranan dan suara dibangkitkan untuk memperjuangkan Batu Uban supaya diselamatkan sebagai tapak warisan kedengaran. Persoalannya kenapa cadangan dan memorandum dahulu tidak dipedulikan? Kenapa ia menjadi sebagai melukut di tepi gantung, lepas pucuk masing-masing? Kenapa zon warisan hanya mengutamakan artifak di bandar sedangkan 'living habitat' seperti perkampungan awal di Batu Uban dan di Tanjung Tokong dipinggirkan. Apakah hanya memulihara masjid di Batu Uban sudah memadai sedangkan generasi akan datang menghargai betapa suasana perkampungan dihayati dan di alami, bukan sebaliknya dipulihara kekal sebagai tapak warisan?
Senario ini dibangkitkan oleh Profesor Madya Mohamad Md. Yusoff dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Mohamad menimbulkan ini bagi mempertahankan hujah dan fakta yang dibangkitkan oleh rakan-rakan seperjuangannya, Dr. A. Murad Merican, seorang Profesor di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi PETRONAS, Bandar Seri Iskandar, Perak dan aktivis sejarah dan warisan Pulau Pinang, Mohd. Salleh Yahaya.
"Yang pasti, Batu Uban dan Tanjung Tokong sudah diperjuangkan sejak sekian lama lagi oleh para sarjana khususnya Prof Murad Merican dan para sarjana lain di USM dan NGO di ketuai Pak Salleh dari Tanjung Tokong .
"Mereka sudah meneliti dan membentangkan kertas kerja bahkan menyerahkan cadangan bagaimana Batu Uban dan Tanjung Tokong perlu diselamatkan dari arus pembandaran yang dahsyat. Satu cadangan menerusi projek Dasar Perumahan Negara sudah di majukan agar warisan Melayu bersejarah di PUlau Pinang di zonkan dan diwartakan.
"Namun, malangnya sehingga berita terkini kemungkinan akan terhakis Batu Uban dengan projek perumahan yang akan didirikan, barulah ramai terngantuk dan terngadah? Ramai menjadi juara sedangkan hal ini sudah lama di majukan dan dicadangkan kepada pihak bertanggungjawab untuk menjadikan ia sebagai zon warisan.
Pihak-pihak berkepentingan di Pulau Pinang terutama pemimpin politik Melayu seharusnya akur dan menyalahkan diri sendiri bagaimana mungkin tapak warisan di Batu Uban boleh 'terlepas pandang' meskipun terletak di halaman hadapan Universiti Sains Malaysia (USM), universiti penyelidikan tersohor yang berdiri megah sejak 1969. Benar kata Mohd. Salleh yang mempersoalkan bagaimana mungkin dalam kerangka pembangunannya selama 40 tahun lebih institusi tersebut boleh terlepas pandang tentang nilai sejarah dan peradaban yang begitu tinggi di persekitarannya.
Kampung Batu Uban, menurut Dr. A.Murad, bukanlah sama dengan Kampung Buah Pala, atau Kampung Baru di Kuala Lumpur. Batu Uban adalah penempatan Melayu yang terawal di Pulau Pinang. Malah ia juga adalah pekan dan pelabuhan terawal di pulau itu.
Batu Uban adalah pusat aktiviti wilayah Gelugor dan kawasan sekitarnya. Ramai keturunan peneroka awal Batu Uban menyumbang kepada perkembangan budaya dan ekonomi kawasan Tanjung - pekan Melayu di Lebuh Acheh dan Armenian khususnya. Ini mula berlaku pada lewat 1700. Batu Uban mempunyai jalinan dengan pelabuhan Batu Bara, yang kini sebuah daerah di pesisir pantai timur Sumatera - di wilayah Sumatera Utara, lebih kurang tiga jam perjalanan ke arah selatan dari Medan. Malah, saya dimaklumkan satu masa dulu Batu Uban dikenali sebagai Batu Bara.
Batu Uban adalah sebuah pusat metropolitan yang menghubungkan Pulau Pinang/Kedah dengan Sumatera, India dan Hadhramaut. Malah, Batu Uban bukan hanya membuka ruangnya kepada Selat Melaka, tetapi juga kepada Lautan Hindi. Jalinan Batu Uban dengan Selat Melaka dan Lautan Hindi jelas dilihat dengan kedatangan orang Minangkabau dan Melayu yang berlayar dari Batu Bara, kaum-kaum dari India, dan Arab sama ada terus dari Hadhramaut, melalui India, atau melalui Aceh. Di situlah juga mula terbentuknya identiti Jawi Pekan di Pulau Pinang, mendahului lain-lain tempat di Nusantara. Batu Uban pada satu masa dulu bukan kampung, tetapi sebuah pekan dengan segala rencam dan ragamnya.
Maka seharusnya, tegas Dr. A.Murad, Kampung Batu Uban dijadikan kampung istimewa di Pulau Pinang. Di situlah masjid yang terawal dibina. Di situlah juga tanah dikurniakan oleh Sultan Kedah kepada para peneroka awal sejak 1730an lagi, dan ia berlaku sehingga tahun 1740an.
Hakikatnya di Pulau Pinang, kita mudah terlepas pandang mengenai peri pentingnya kawasan yang sewajarnya berada dalam 'peta' warisan. Sekali lagi Mohd. Salleh menarik perhatian mengenai tidak jauh dari USM, kedapatan rumah warisan Syed Sheikh Al Hadi dan pusara Allahyarham serta Masjid Jamik Jelutong yang didirikan oleh Datuk Nakhoda Kecil pembuka Tanjong Penaga yang kini bernama George Town. Demikian juga perkuburan Datuk Keramat seorang peneroka dan ulama dari Aceh, rumah penulis novel Melayu yang pertama Ahmad Rashid Talu, Bukit Tok Setia dan Datuk Janaton di mana bertempatnya USM Minden Pulau Pinang kini.
"Umum mengetahui rumah bersejarah Syed Sheikh Al Hadi sudah jadi apa? Kita sekadar boleh menyebut rentetan keunggulannya. Tokoh yang memulakan gerakan Islah di Malaya dengan penerbitan Majalah Al Imam. Tokoh pendidikan Islam moden dengan terasasnya Madrash Al Masyhur, tokoh persuratan dan pesuratkhabaran dengan terasasnya akhbar Saudara dan The Jelutong Press dan Pengarang emansipasi wanita Hikayat Faridah Hanum.
"Malangnya rumah bersejarah tersebut kini terlepas daripada jangkauan kita dan lebih memilukan sekali apabila ditukar menjadi rumah peribadatan. Mungkin kita boleh menyebut retorika "Hanya bangsa yang besar mengenang jasa para tokoh dan pahlawannya". Kita telah gagal untuk menghargainya," kata Mohd. Salleh.
Atas semua faktor ini, Mohamad yang mengakhiri temu bual dengan penulis semalam menegaskan, justeru demi menyelamatkan tamadun Melayu di PUlau Pinang, beliau mahu saranan Dr. A. Murad supaya satu Suuhanjaya Bebas melihat kepentingan Batu UBan dan Tanjung Tokong sebagai zon warisan Melayu perlu disegerakan penubuhannya.
"Bahkan, kita tiada masa untuk menuding jari mahupun menangguk di air keruh sedangkan arus globalisasi sedang mengganas tanpa sebarang wajah memihak kepada peribumi.
"Kita tak mahu melihat sejarah Pulau Pinang dihapuskan secara halus dengan 'membuldozekan' semua tapak warisan Melayu dan Islam yang masih ada. Kita tak mahu anak cucu kita yakin bahawa Francis Light membuka Pulau Pinang sedangkan proses menciptakan sejarah tempatan masih diperlukan," katanya.
Tegas Mohamad lagi: "Bahkan kini ternyata Pulau Pinang dibuka lebih awal oleh pedagang dari Sumatera.
"Maka, saya cadangkan kita bermuafakat dan membawa mesej sama kepada pihak berwajib agar suara kita lebih kuat, konsisten dan bermakna bukan sekadar hangat -hangat tahi ayam sambil menangguk di air keruh sahaja. Buang segala kepentingan demi memartabatkan ketamadun Melayu Islam kita. Jika tidak, anak cucu kita akan mempersoalkan kita sehingga akhir zaman kerana kita senantiasa lali, leka dan mengutamakan sikap acuh tak acuh kita yang merugikan."
Kampung Batu Uban - harta intelek yang tidak ternilai ini telah terbazir dan disia-siakan begitu saja. Bagaimana kita hendak setanding dengan bangsa-bangsa yang besar. Mereka menghargai jasa para tokoh dan leluhurnya. Sedangkan kita tidak. Kita sekadar menyebut dalam sejarah tetapi kenyataannya warisan yang ada lenyap dan pupus di depan mata secara sedar.
Kini sebuah lagi perkampungan Melayu yang bersejarah Batu Uban bakal menjadi mangsa pembangunan. Juga sedang berlaku di depan lensa kita. Kajian demi kajian telah didedahkan tentang nilai sejarah dan peradaban yang tercetus di kampung ini.
Adakah sekali lagi kita akan terlelap, tidur berdengkur dan terus melupakan implikasi pahit yang memilukan ini.
Renung-renungkanlah kata-kata hikmah Mohd. Salleh ini.
0 comments:
Post a Comment