Lebih 5,000 penduduk yang tinggal berhampiran sempadan Temerloh dan Bentong merayu kerajaan negeri menaik taraf jalan ladang sejauh enam kilometer menghubungkan Felda Lakum di sini dengan Kampung Paya Pelantar, Bentong.
Laluan terbabit hanya perlu diturap dan jika dilaksana, ia akan menjimatkan jarak perjalanan ke Kampung Paya Pelantar daripada 25 kilometer menggunakan jalan raya sedia ada kepada enam kilometer.
Peneroka Felda Lakum, Abdul Aziz Senawi, 60, berkata, dia telah lama berharap jalan itu dinaik taraf kerana penduduk Felda Lakum dan Felda Bukit Damar lebih gemar ke Pekan Karak bagi mendapatkan keperluan berbanding ke Lanchang.
"Jika ingin ke klinik, bank dan mencari barang biasanya kami lebih selesa ke Karak kerana lebih banyak pilihan. Tetapi laluan sekarang melebihi 25 kilometer sedangkan ada jalan dalam ladang yang jaraknya hanya enam kilometer.
"Namun, jalan ini tidak dapat dilalui kereta biasa dan hanya sesuai untuk kenderaan pacuan empat roda. Justeru itu, kami sangat berharap ia dapat dinaik taraf," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Seorang lagi peneroka, Ishak Che Soh, 61, berkata, akibat tiada jalan yang baik, penduduk di tanah rancangan seolah-olah terputus hubungan dengan penduduk di Kampung Paya Pelantar dan Kampung Jambu Rias.
Menurutnya, jika dinaik taraf bukan sahaja akan memendekkan perjalanan malah sudah pasti dapat menjana ekonomi membabitkan penduduk Felda dan kampung tradisional di Bentong.
"Laluan sudah ada, malah kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga ada di situ," kata peneroka generasi pertama Felda Lakum tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lengkong, Jahaya Othman berkata, pihaknya telah lama mencadangkan jalan berkenaan dinaik taraf.
Katanya, beliau sendiri pernah membangkitkan perkara itu bersama Penghulu Mukim Sabai, Askandarudin Razlan beberapa tahun lalu.
"Di sini kami mempunyai pusat pertumbuhan desa untuk menjana ekonomi namun jika hanya digunakan penduduk di sini ia mungkin kurang berkembang. Jika jalan itu dinaik taraf sudah tentu akan membuka hubungan antara peniaga tempatan dan masyarakat Felda di Lakum dan Bukit Damar, Lanchang.
"Ini sekali gus akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan kawasan ini akan maju sekali gus menguntungkan penduduk di kedua-dua daerah," katanya.
Jahya berkata, beliau menyokong penuh jika penduduk di Felda mempunyai perancangan untuk memohon menaik taraf jalan berkenaan.
0 comments:
Post a Comment